Masalah dikenal pasti tapi penyelesaian tak ada

Ucapan Bajet yang dibentang oleh YAB Menteri Kewangan boleh dsifatkan sebagai satu dokumen yang berjaya mengenal pasti masalah-masalah menghadapi masa depan ekonomi kita. Malangnya isu-isu yang dikenal pasti itu tidak dijawab dengan penyelesaian yang berkesan.

Secara am, saya ingin menyentuh perkara-perkara dasar Bajet 2010. Memang betul kenyataan YAB Menteri Kewangan bahawa ekonomi kita menghadapi masalah “perangkap pendapatan pertengahan” atau pun “middle income trap” yang memerlukan transformasi untuk menjadi ekonomi pendapatan tinggi dengan sasaran meningkatkan pendapatan warga negara sekurang-kurangnya dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

YAB Menteri Kewangan juga betul apabila berkata “inovasi merupakan agenda utama negara.” Struktur ekonomi kita yang bergantung kepada tenaga kerja kos rendah yang juga berkemahiran rendah telah mengakibatkan kita terkebelakang dalam persaingan antarabangsa untuk berinovasi dalam pelbagai bidang.

Saya juga bersetuju dengan YAB Menteri Kewangan bahawa tahap pelaburan swasta terlalu rendah. Sebelum krisis ekonomi 1997/8, pelaburan swasta pernah mencecah 30 peratus dari KDNK. Tetapi kini telah merosot teruk di bawah 10 peratus dari KDNK.

Kadar jenayah yang tinggi, rasuah yang tidak dapat dikawal, pengangkutan awam yang amat lemah, dan masalah kemiskinan bandar adalah masalah-masalah yang memang ketara tetapi tidak pernah diberikan tumpuan serius oleh pentadbiran sebelum ini.

Seperti yang saya katakan, Bajet 2010 tidak memberikan penyelesaian yang memuaskan. Sesiapa yang mengkaji secara terperinci Bajet ini, iaitu bukan sahaja ucapan YAB Menteri Kewangan tetapi juga anggaran perbelanjaan persekutuan yang lengkap, akan kecewa kerana kita tahu tidak ada kesungguhan atau dengan izin “political will” daripada kerajaan Barisan Nasional untuk berubah.

Sebagai contoh, walaupun inovasi telah dikatakan diberikan tumpuan, yang diumumkan cuma usaha untuk membina sebuah pusat inovasi! Adakah kita sudah lupa pengalaman pahit sebelum ini di mana kita sibuk membina, dengan izin, “first world infrastructure” dengan “third world mentality” – satu sindrom yang telah pun diakui oleh mantan Perdana Menteri tetapi tidak dibuat apa-apa oleh kerajaan Barisan Nasional.

Untuk menghadapi masalah kekurangan pelaburan swasta, Bajet ini bercadang untuk melancarkan “gelombang penswastaan kedua” supaya “syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan agensi Kerajaan yang berdaya maju” diswastakan. Saya agak hairan dengan cadangan dasar ini kerana masalah kita bukan kerana Malaysia tidak menarik perhatian pelabur. Masalah besar kita adalah karenah birokrasi, sistem kehakiman yang dicurigai integriti dan keadilannya, kadar jenayah yang semakin meningkat dan persekitaran perniagaan yang tidak mengalu-alukan pelabur. Jika isu-isu pokok ini tidak dikaji dan diselesaikan, “gelombang penswastaan kedua” atau ketiga atau keempat, tidak akan mengubah apa-apa persepsi pelabur. Adakah kita telah lupa masalah-masalah penswastaan yang masih ada bersama dengan kita, seperti IPP ataupun pengusaha tol.

Sebagai contoh, dalam Bajet 2010 di bawah Kementerian Kerja Raya, sebanyak RM394 juta diperuntukan untuk Bayaran Pampasan Tol. Apa gunanya pengswastaan jika wang rakyat terus dibazirkan? Nampaknya kerajaan Barisan Nasional masih tidak ubah perangai lama. Saya meminta Kerajaan supaya memberi maklumat dan butiran penerima pampasan.

Walaupun Bajet ini berhasrat untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia, dasar-dasar baru seperti Real Property Gain Tax dan Caj Kad Kredit RM50 akan turut menjejas kebajikan rakyat jelata. Bukan sahaja ini akan mengancam kesejahteraan rakyat Malaysia, terutamanya golongan rakyat berpendapatan sederhana, ia juga menambah beban dengan usaha kerajaan untuk perkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan atau “goods and services tax”, iaitu GST.

Saya ingin bertanya mengapa kerajaan mahu membelanjakan RM22 juta semata-mata untuk “mengkaji” sahaja GST. Saya mahu kerajaan menjelaskan kepada rakyat apakah bentuk kajian itu, apakah kandungan kajian itu dan apa yang diharapkan dari kajian itu, dan firma perunding mana yang telah diberikan kontrak untuk membuat kajian itu. Sudah pasti saya ingin tahu mengapa kajian itu bernilai RM22 juta. Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa apabila Australia melaksanakan GST, ia diputuskan dalam pilihanraya tahun 1998, iaitu bukan sahaja dibincangkan di Parlimen tetapi di semua peringkat masyarakat kerana ia akan membabitkan setiap individu di negara ini. Kita sudah dibebankan dengan berbagai cukai, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Cukai GST bersifat regresif dan tentunya akan memerosotkan pendapatan rakyat Malaysia golongan serdehana dan rendah.

Saya tidak faham rasional kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar baru yang saya sebut tadi. Bukankah kita masih berada dalam senario kemelesatan ekonomi dan kerajaan-kerajaan sedunia sibuk mencipta pakej stimulus untuk meningkatkan tahap consumption supaya menjana pertumbuhan ekonomi. Kita pula mengambil hala tuju yang sebaliknya.

Apa yang patut dilaksanakan oleh kerajaan ialah mengurangkan pembaziran supaya kerajaan tidak perlu lagi menyusahkan dan membebankan rakyat dengan cukai-cukai yang baru. Kerajaan juga perlu menyusun semula tumpuan atau prioritinya supaya dana awam digunakan secara berhemat.

(Ucapan Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP Liew Chin Tong pada 5hb November 2009 )

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles