
Projek Kabel Dasar Laut Jamin Bekalan Elektrik Mencukupi
- 18 November 2009
- Uncategorized
Penyaluran bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun, Sarawak ke Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut adalah penting bagi menjamin bekalan elektrik yang mencukupi, berdaya harap dan pada harga yang berpatutan kepada pengguna di Semenanjung.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata ia juga bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang membekalkan lebih 90 peratus daripada keperluan elektrik di Semenanjung pada masa kini.
“Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil mendedahkan Semenanjung kepada risiko perbekalan dan harga bahan api ini selain boleh menjejaskan keselamatan bekalan elektrik bagi Semenanjung.
“Selain itu, analisis yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kos untuk mendapatkan bekalan elektrik dari Bakun bagi tempoh jangka panjang adalah lebih rendah daripada kos mendapatkan bekalan elektrik daripada loji-loji janakuasa gas dan arang batu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Chin menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu apakah keperluan projek itu dan antara usaha kerajaan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik.
Beliau berkata projek bernilai hampir RM10 bilion itu dijangka siap pada 2012 dan bakal menyalurkan 1,700 megawatt bekalan elektrik ke Semenanjung.
Katanya kadar simpanan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia pada ketika ini ialah sekitar 50 peratus, Sabah 7 peratus dan Sarawak 30 peratus.
“Pelbagai program kecekapan tenaga telah dan sedang dijalankan yang menyasarkan pelbagai kategori pengguna elektrik termasuklah industri yang berintensifkan tenaga dan pengguna-pengguna domestik.
“Antara usaha yang dijalankan ialah mengadakan kempen kesedaran iaitu Energy Month (Bulan Tenaga) untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan amalan kecekapan tenaga,” katanya.
Selain itu, katanya kerajaan juga menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai jualan dan duti import bagi peralatan cekap tenaga yang digunakan serta elaun cukai pelaburan bagi syarikat yang menjalankan usaha kecekapan tenaga.
Share this article
Related Articles


- 12 May 2023·
A new era of ‘Look East’ would boost both Japan and Malaysia

- 1 May 2023·
Critical Shifts Needed in Malaysia’s Economic Thinking
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.