Khazanah, Jabatan Warisan Negara Dipertanggungjawab Pulihara Tapak Warisan

Kerja-kerja pemuliharaan tapak warisan di Melaka dan Pulau Pinang

Khazanah Nasional Berhad dan Jabatan Warisan Negara dipertanggungjawab memulihara dua tapak warisan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) iaitu Melaka dan George Town, Pulau Pinang. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung berkata Khazanah diberi tanggungjawab melaksanakan kerja pemuliharaan tapak warisan di Pulau Pinang manakala Melaka di bawah seliaan Kumpulan Wang Warisan di bawah Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

“Selaras dengan pengiktirafan itu, kerajaan meluluskan RM5O juta untuk pemuliharaan tapak warisan berkenaan dan peruntukan tahunan biasanya disediakan di bawah Jabatan Warisan Negara.

“Selaras dengan itu, sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi Pulau Pinang dan RM30 juta bagi Melaka,” katanya semasa menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin kementerian menyatakan secara terperinci peruntukan kepada Melaka dan Pulau Pinang serta senarai kegunaan dan projek-projek peruntukan tersebut pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Chor berkata peruntukan yang disediakan bagi kedua-dua tapak warisan itu adalah untuk kegunaan seperti penyediaan pelan pengurusan pemuliharaan bertujuan untuk menentukan dasar berkaitan aspek-aspek warisan dipatuhi selaras dengan kehendak Unesco.

Selain itu, katanya peruntukan itu juga adalah untuk kegunaan seperti penyediaan Perancangan Kawasan Khas (SAP) yang merupakan sebuah pelan pemantauan di bawah Seksyen 16B(1) Akta Perancang Bandar Desa 1976.

“Ia disediakan sebagai kawalan perancang dan panduan pada peringkat yang lebih terperinci berdasarkan analisis tipologi-tipologi bangunan, komposisi sosial satu-satu kawasan,” katanya.

Chor berkata, ia juga bertujuan untuk kegunaan seperti penyediaan inventori setiap bangunan warisan dalam kawasan zon utama yang lebih komprehensif yang bertujuan untuk menaik taraf sistem inventori sedia ada untuk setiap bangunan warisan yang terletak dalam tapak Warisan Dunia.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan kerja-kerja pemantauan, konservasi dan dokumentasi yang lebih berkesan selain untuk kegunaan penyediaan manual penyelenggaraan dan penambahbaikan untuk pemilik bangunan,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan pemuliharaan tapak warisan di Pulau Pinang dan Melaka berjalan lancar, Khazanah dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Jabatan Warisan Negara akan mengemukakan laporan kemajuan perbelanjaan dan projek setiap suku tahun kepada Kementerian Kewangan.

BERNAMA

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles