‘KWSP lambat, suami saya sudah meninggal’

“Saya rasa terkilan dengan apa yang berlaku, kini semuanya sudah terlambat kerana suami saya telah pun meninggal dunia.”

Itulah luahan kesedihan Roszita Ahmad, 48, setelah gagal mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai kos pembedahan jantung suaminya, Ahmad Nazri Ibrahim, 47.

“Kami ada duit sendiri dalam KWSP tetapi bayangkan usaha saya sejak 22 November hingga 28 Disember tahun lalu musnah gara-gara peraturan yang dikeluarkan mereka.

Berita Harian

KWSP sangkal dakwaan tidak bantu ahli

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal dakwaan, pihaknya tidak membantu Allahyarham Ahmad Nazri Ibrahim, 47, bagi mendapatkan Surat Pengesahan Amaun Caruman (SPAC) menyebabkan kematiannya.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, dakwaan isteri Allahyarham, Roszita Ahmad, 48, bahawa dia (Roszita) diarah dari satu kaunter ke kaunter sebelum dilayan dan sukar mendapatkan surat jaminan adalah tidak benar.

Menurutnya, berdasarkan siasatan daripada sistem pengurusan pelanggan berkomputer di KWSP Cawangan Georgetown, Roszita hanya menunggu empat saat untuk berurusan di kaunter selepas nombor giliran diperoleh.

“Setelah menjelaskan kes beliau kepada petugas kaunter, Roszita dibawa ke kaunter khusus untuk penyediaan SPAC, di mana tempoh penyediaan surat tersebut mengambil masa kurang daripada 15 minit.

“KWSP ingin menegaskan bahawa setiap pengeluaran yang disediakan adalah untuk dimanfaatkan oleh ahli sepenuhnya dan seboleh-bolehnya KWSP ingin membantu ahli mengeluarkan simpanan mereka dengan lancar dan mudah,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Nik Affendi berkata, cawangan KWSP itu telah mengeluarkan SPAC pada 23 Disember lalu untuk ahli serahkan kepada pihak hospital, walaupun KWSP menyedari dokumen yang dikemukakan tidak lengkap.

“Inisiatif ini diambil atas dasar untuk membantu ahli yang memerlukan rawatan segera,” katanya.

Menurutnya, mengikut amalan selama ini, SPAC diterima pakai hospital kerajaan dan swasta tanpa sebarang masalah termasuk di Hospital Pulau Pinang.

“Di sini KWSP ingin menjelaskan, KWSP tidak pernah mengeluarkan surat jaminan untuk pembiayaan perubatan seperti yang dilaporkan.

“Pihak hospital pada kebiasaannya menerima SPAC sebagai dokumen yang membolehkan ahli atau waris terdekat mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, peraturan dan prosedur yang ditetapkan ini sebenarnya untuk melindungi kebajikan ahli dalam jangka panjang selaras dengan fungsi utama KWSP sebagai dana persaraan semasa ahli bersara kelak,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Ahmad Nazri memohon supaya KWSP memberikan surat jaminan bagi membolehkan penyakit jantung kroniknya dibedah.

Ia berikutan saluran jantungnya didapati tersumbat dan telah dibedah buat pertama kali pada 22 November lalu di sebuah hospital pakar dengan perbelanjaan sebanyak RM30,000 yang dibiayai majikannya sendiri.

Pembedahan kedua pula perlu dilakukan segera untuk memasang tiga rerelung dawai logam dengan kos dianggarkan sebanyak RM19,000 di Hospital Pulau Pinang.

Namun Nazri dan Roszita tidak mempunyai wang tunai dan pihak hospital meminta supaya surat jaminan dikeluarkan dari KWSP. Roszita terlebih dahulu membuktikan Nazri mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menjalani pembedahan.

Dia kemudian ke KWSP Pulau Pinang, namun kesal dengan mendakwa diperlakukan seperti ‘bola’ apabila ada antara pegawai KWSP yang tidak bersungguh-sungguh memenuhi hasratnya untuk memohon surat jaminan itu, katanya.

Akibat tidak dapat memberikan surat jaminan kepada hospital, Nazri tidak dapat dibedah dan hanya terlantar sakit di rumahnya sehinggalah Nazri menghembuskan nafas terakhirnya, kelmarin.

Pada 20 Januari lalu, Nazri menghembuskan nafas terakhirnya dan Roszita dilihat begitu kecewa dengan kematian Allahyarham yang tidak sempat menjalani pembedahan.

Roszita berkata, kesukaran mendapatkan surat jaminan KWSP telah menyebabkan suaminya terlantar sakit sehingga pembedahan jantung suaminya tertangguh.

Dia berharap apa yang berlaku ke atas dirinya tidak berlaku kepada orang lain.

“Walaupun suami saya sudah meninggal tetapi saya tetap mahu kemukakan kepada umum bahawa tindakan KWSP adalah tidak betul.

“Memang ajal suami saya sudah datang dan dia telah pun meninggal dunia tetapi yang paling saya kecewa ialah dia meninggal tanpa mendapat rawatan sepenuhnya terlebih dahulu, hanya kerana tidak mendapat surat jaminan daripada kumpulan wang tersebut,” katanya sambil menitiskan air mata.

Roszita ditemui media ketika majlis pengurusan jenazah suaminya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Dalam pada itu, Boon Poh juga akan menggesa Hospital Pulau Pinang menyerahkan laporan segera bagaimana pesakit kronik seperti Nazri dikeluarkan daripada hospital walaupun keadaan masih tenat.

“Saya mendapat tahu bahawa Nazri telah dikeluarkan dari hospital walaupun pada masa itu air telah memasuki paru-parunya.

“Sepatutnya beliau masih perlu duduk di hospital kerana hospital akan memberikan makanan yang berkhasiat bagi mengurangkan kesakitan, tetapi saya hairan bagaimana perkara ini boleh terjadi,” katanya.

Boon Poh memberi jaminan kepada Roszita laporan akan diberikan segera kepada keluarga mereka.

Sinar Harian

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More