
Kerajaan belanja RM1.16j kos kajian
- 29 March 2010
- Uncategorized
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.16 juta bagi melaksanakan kajian mengenai Kesan Pekerja Asing Terhadap Ekonomi Malaysia yang disiapkan pada 2004.
Perdana Menteri berkata, kajian yang dilakukan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu mencadangkan pelbagai penambahbaikan dalam proses pengambilan pekerja asing di negara ini.
‘‘Nota Kabinet mengenai kajian ini telah dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Julai 2004.
‘‘Sebanyak tujuh dasar baru telah dilaksanakan berdasarkan laporan kajian ini termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan pasukan petugas khas untuk meneliti semula semua dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing secara menyeluruh,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang meminta kerajaan menyatakan kos kajian itu yang telah dilaksanakan oleh MTEN pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dasar-dasar baru lain yang telah dilaksanakan, katanya, termasuk ditubuhkan Pusat Kelulusan Setempat untuk memproses permohonan majikan yang lengkap dan layak mengambil pekerja asing.
‘‘Turut diwujudkan jawatankuasa baru yang dianggotai wakil pelbagai kementerian bagi memantau prosedur permohonan kemasukan pekerja asing baru.
‘‘Dasar lain adalah supaya majikan memastikan semua pekerjaan ditawarkan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum mereka mengambil pekerja asing.
‘‘Turut disediakan buku panduan khusus bertajuk Buku Panduan, Dasar, Prosedur dan Syarat-Syarat Penggajian Pekerja Asing di Malaysia untuk rujukan majikan.
‘‘Dasar-dasar lain ialah majikan akan menanggung bayaran levi pekerja asing mulai 1 April 2009,’’ katanya.
Walaupun cadangan dalam kajian ini telah dilaksanakan, kata Perdana Menteri, kerajaan masih lagi prihatin dan sentiasa memantau perkembangan pekerja asing di negara ini.
Share this article
Related Articles


- 12 May 2023·
A new era of ‘Look East’ would boost both Japan and Malaysia

- 1 May 2023·
Critical Shifts Needed in Malaysia’s Economic Thinking
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.