MEB sekadar omong kosong?

Lee Chean Chung | Apr 01, 2010 07:18:20 pm

Seringkali kerajaan memasukkan tangannya ke dalam bidang ekonomi. Malah, ekonomi negara juga tidak terelak daripada pengaruh dasar awam. Oleh itu, apabila dasar awam dibincangkan, maka pelaksana dasar awam, iaitu kakitangan kerajaan akan disentuh.

Ketika kita merungut kerana terpaksa berbaris panjang, atau berdepan dengan seribu satu kerenah kakitangan di jabatan kerajaan, kita mungkin terlupa bahawa jumlah pegawai kerajaan di negara kita amat mengejutkan. Menurut perangkaan Ketua Setiausaha Negara, Sidek Hassan (gambar kiri) pada Januari 2008, bilangan kakitangan kerajaan negara kita mencecah 1.2 juta orang.

Angka ini semestinya melonjak setelah mengalami pertumbuhan dua tahun. Untuk negara kita yang mempunyai populasi 27 juta orang, jumlah kakitangan kerajaan sebegini telah mencakupi 4% daripadanya, atau bersamaan 10% daripada populasi pekerja (Malaysia mencatat populasi pekerja sejumlah 12 juta orang).

Ini bermakna daripada 10 orang warga Malaysia yang bekerja, salah seorang daripadanya bekerja di sektor awam. Juga, dalam negara yang sekecil Malaysia ini, seseorang kakitangan kerajaan hanya berkhidmat untuk 27 orang awam. Sila rujuk kadar nisbah antara kakitangan kerajaan dengan populasi negara di bawah:

Negara
Kadar(%)
Malaysia
4.68
Thailand
2.06
Korea
1.86
Filipina
1.81
Indonesia
1.79
Laos
1.24
Kemboja
1.18

(Sumber: Organisation for Economic Co-operation and Development-OECD)

Fenomena yang aneh

Berbanding dengan negara membangun yang lain, nisbah Malaysia jelas melebihi piawaian normal. Malaysia bukanlah negara yang menganuti sosialisme, malah mengutuk sosialisme, pada masa yang sama menyambut pasaran terbuka dan dasar penswastaan. Bertitik tolak daripada itu, adalah sesuatu yang aneh kerana sistem kakitangan kerajaan kita cukup gemuk-gedempol, malah pelaburan sektor awam jauh lebih tinggi daripada pelaburan swasta.

LCT (merdekareview)

Menurut statistik yang dipetik oleh ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, bilangan kakitangan kerajaan bertambah dari 894,788 orang pada tahun 2000 kepada 1.2 juta orang pada tahun 2008. Ini bermakna, kakitangan kerajaan telah bertambah sebanyak 300 ribu orang, dalam tempoh lapan tahun sahaja. Angka ini bersamaan dengan pertambahan 38,151 orang setiap tahun, atau 104 orang setiap hari. Sekiranya dihitung berdasarkan waktu kerja, jabatan kerajaan telah menemuramah dan mengupah enam orang kakitangan kerajaan setiap jam, sejak tahun 2000.

Pada masa yang sama, gaji yang diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan juga melonjak secara mendadak. Peruntukan gaji kepada kakitangan kerajaan pada tahun 2008 ialah RM41.0 bilion, memperlihatkan penambahan kira-kira 60% dalam jangka tiga tahun jika dibandingkan dengan RM 25.6 bilion pada tahun 2005.

Di Malaysia, kita hanya mempunyai kira-kira 1.8 juta orang pembayar cukai. Untuk menampung gaji kakitangan kerajaan, setiap pembayar cukai perlu menampung RM23,000 secara puratanya, pada tahun 2008. Dari persepktif yang lain pula, ianya juga bermakna gaji setiap orang kakitangan kerajaan ditanggung oleh 1.5 orang pembayar cukai. Perkembangan sedemikian adalah sesuatu yang pincang.

Malah, jangan pula kita terlupa bahawa projek penswastaan yang dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun lalu, telah “menswastakan pegawai sektor awam”. Menurut kertas kajian Jeff Tan, antara tahun 1983 hinggalah 2000, penswastaan telah menswastakan 114,198 orang kakitangan kerajaan. Angka ini tidak termasuk projek penswastaan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, sejak 10 tahun yang lalu, kerajaan telah mencurahkan peruntukan yang besar untuk menggerakkan projek pendigitalan, seperti e-kerajaan, mykad dan sebagainya. Apa yang menyusul selepas peningkatan teknologi maklumat ini bukannya pengurangan sumber tenaga manusia, sebaliknya penambahan kakitangan kerajaan.

Lebih-lebih lagi, banyak projek kerajaan yang penting seperti rundingan FTA dengan US, penyelidikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah diserahkan kepada syarikat perunding asing, malah program peningkatan imej kerajaan turut diserahkan kepada firma perhubungan awam antarabangsa, APCO.

Bermula dengan program penswastaan, GLC selanjutnya, dan kini pula perancangan kerajaan yang penting, telah mengagihkan tenaga kerja dan beban kerja itu ke sektor swasta mahupun asing. Persoalan yang tinggal, apakah kita masih memerlukan kakitangan kerajaan yang sebegitu ramai?

“Sumpah sumber”

Persoalan pertamanya, mengapakah nisbah kakitangan kerajaan kita begitu tinggi? Keduanya, mengapa negara kita mempunyai jumlah kakitangan kerajaan yang sebegitu ramai, namun produktivitinya masih begitu rendah?

Biarpun puncanya banyak untuk persoalan pertama, namun pada hemat saya, punca utamanya berasal dari dasar kerajaan yang kurang memperlihatkan keberanian dan berwawasan. Selepas berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1997, suasana ekonomi suram, kadar pengangguran melonjak, dan kerajaan pula berdepan dengan tekanan sosial dan gerakan reformasi. Cara terbaik adalah untuk menyelesaikan masalah, walaupun penyelesaian yang bersifat sementara, adalah penyerapan graduan ke dalam sistem kerajaan dan membekalkan mereka dengan periuk nasi. Dengan ini, rungutan rakyat diredakan, malah mengalih tekanan dari luar ke dalam sistem. Kemudiannya, pembentukan dan perubahan minda dijana melalui Biro Tatanegara, untuk menangkis tentangan dari luar.

Selepas itu, harga minyak global melonjak. Ekonomi mula memulih. Pemerintah bukan sahaja tidak memandang berat kepada punca akar umbi, mengambil kesempatan untuk merombak bidang pendidikan, kewangan, pencukaian dan reformasi sosial secara besar-besaran, tetapi menggunakan wang untuk pelaksanaan dasar yang flip-flop.

Akhirnya, sistem pendidikan gagal mengasuh graduan yang berdikari dalam sektor swasta selepas krisis ekonomi, malah kerajaan telah menyerap secara besar-besaran golongan ini ke dalam sistem kakitangan kerajaan. Justeru itu, kita akan mendapati penambahan kakitangan kerajaan berkadar langsung dengan harga petroleum. Fenomena ini disifatkan oleh ahli parlimen Selayang, William Leong sebagai Malaysian resource curse (sumpah sumber).

Maknanya, di negara yang kaya dengan sumber semula jadi, kerajaannya mendapati bahawa pengagihan sumber kepada bidang atau komuniti tertentu lebih memudahkan mereka untuk mengekalkan kuasa, berbanding dengan memberi tumpuan kepada dasar ekonomi, pembentukan sistem yang saksama dan baik. Antara reformasi sistem dan pertimbangan kuasa, biasanya pemerintah akan memilih kuasa.

Perluasan kuasa yang tidak bermakna

Produktiviti sektor awam yang rendah berpunca daripada pemusatan kuasa pada Jabatan Perdana Menteri, dan fenomena pertindihan bidang kuasa antara pegawai kerajaan. 52 unit badan kerajaan tertakluk di bawah JPM, seolah-olah satu “kabinet mini”. Antaranya, Petronas, Felda, Unit Perancangan Ekonomi, koridor ekonomi yang masing-masingnya boleh menjadi institusi yang berdikari.

Pemusatan sumber dan kuasa yang keterlaluan ini telah menjurus kepada kekosongan kuasa di sesetengah jabatan, di samping ada pula yang bertindih. Wujudnya fenomena “tak ada kerja”, atau “ada kerja tapi tiada sumber”. Fenomena ini cukup melemahkan semangat jutaan orang kakitangan awam.

Akhirnya, rasuah bermaharajarela, mereka yang berbakat pula berlari lintang-pukang untuk keluar dari sistem ini. Seterusnya, mereka yang kebosanan dalam kerja mereka akan memperluaskan kuasa mereka, menyebabkan fenomena red tape dalam sistem birokrasi. Dengan itu, sistem birokrasi kakitangan kerajaan ini menjadi makhluk yang gemuk-gedempol, kompleks, tidak bermaya dan menyerap wang rakyat.

Reformasi dalam sektor awam

Untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan perlu membuat perubahan dalam sektor awam yang mana populasinya adalah 10% daripada populasi pekerja. Malah, PM harus bermula dengan menguruskan badan JPM-nya yang jelas terlalu “gemuk”. Keadaan pemusatan kuasa di JPM disebabkan ketagihan kuasa PM. Kuasa harus diagihkan ke peringkat kementerian, negeri, malah kerajaan tempatan sendiri mengikut merit. Sekurang-kurangnya, peta perjalanan bas di Pulau Pinang tidak perlu menunggu kelulusan Putrajaya.

Sememangnya, manifestasi pengagihan kuasa termasuklah mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat dengan pilihan raya tempatan. Kuasa yang bermula dari JPM dan dihubungkan ke peringkat negeri, daerah, kerajaan tempatan harus dikembalikan ke tangan rakyat. Malah rakyat akan menggunakan hak undi untuk menyekat dan memantau kerajaan.

Najib menyedari bahawa pengagihan kuasa akan berakhir dengan kebangkitan kuasa rakyat, lantas tidak melepaskan kuasa dari genggamannya. Namun, seandainya transformasi kerajaan dan Model Ekonomi Baru (MEB) dilaungkan tanpa reformasi struktur kuasa dan politik, bukankah ia gimik politik yang sekadar omong kosong sahaja?

*Lee Chean Chung ialah penyelidik dasar. Tulisan ini disiarkan di MerdekaReview dalam bahasa Cina, diterjemahkan dan disunting oleh Lim Hong Siang.
MerdekaReview

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More