Malaysia Timur bukan lagi deposit tetap BN

Keputusan PRK Sibu merupakan lambang kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Sarawak, dan tsunami politik telah melanda ke tebing Laut China Selatan. “Malaysia Timur bukan lagi deposit tetap Barisan Nasional,” kata penganalisa politik, Wong Chin Huat.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Wong Chin Huat membaca kemenangan DAP dalam PRK Sibu sebagai kemenangan PR. Untuk Wong Chin Huat, hasil daripada kerjasama PR, DAP telah meraih sokongan di kawasan bukan Cina, selain kawasan pengundian yang majoritinya kaum Cina.

“Tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa Malaysia Timur adalah deposit tetap BN pada hari ini. Tidak semestinya begitu. Keputusan PRK juga menunjukkan bahawa bukan sahaja Cina yang menolak BN, malah undi Melayu juga kurang mantap (untuk BN),” kata Wong Chin Huat.

Menurut Wong Chin Huat, mustahil DAP hanya menang dengan kawasan Pelawan (majoriti Cina), kerana penambahan undi ada batasnya. Dengan kata lain, DAP juga menang di peti undi lain. Keadaan ini cukup memberangsangkan terutamanya apabila beberapa peti undi di kawasan Nangka, yang memenangkan DAP daripada kekalahan PRU-12 lalu. Keadaan ini diperlihatkan di Teku, yang mana tiga peti undi daripada dua pusat pengundian kini memihak kepada DAP walaupun parti tersebut memihak kepada BN pada PRU ke-12.

Penambahan undi Cina
DAP sepatutnya memperolehi majoriti yang melebihi 2,000 undi, seandainya tiada “penyelewengan” seperti Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak profesional dan rasuah politik yang disogokkan secara terbuka, menurut Wong Chin Huat.

Selain daripada itu, SUPP mengulangi strategi MCA sebelum PRU ke-12, iaitu menyerang PR dengan isu Negara Islam. Strategi ini mungkin berjaya memandangkan wujudnya jurang politik yang melebar antara Malaysia Timur dan Barat, tetapi kini “tsunami politik” terbukti telah melanda tebing Laut China Selatan, kata Wong Chin Huat.

Selain daripada itu, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong pula menyatakan bahawa keputusan PRK Sibu memperlihatkan DAP berjaya mengekalkan undi Iban dan Melayu, di samping penambahan undi Cina. Keadaan ini agak menarik apabila undi Melayu dan Iban tidak menjunam biarpun diserang dengan jentera negara dan rasuah politik yang berleluasa.

Situasi semestinya berbeza menjelang pilihan raya negeri atau pilihan raya umum, kerana taburan wang tunai dengan amaun yang besar, antara RM500 hingga RM600 kepada pengundi tidak mungkin berlaku dalam PRU. Dengan ini, pembangkang mungkin mempunyai peluang yang lebih untuk membuat kejutan.

SUPP mungkin jadi MIC
Kekalahan SUPP kali ini melakar gambaran politik di Sarawak, memperlihatkan bagaimana BN yang dikejar dari belakang kini menemui jalan buntu di hadapan. Agak sukar untuk SUPP mencari penarik undi untuk dirinya. Sementara pimpinan Ketua Menteri Taib Mahmud semakin hilang sokongan, SUPP juga tidak boleh mengharapkan Pengerusi BN, Najib Razak. Dengan ini, SUPP mungkin mengikut jejak MIC pada PRU yang akan datang.

Sebaliknya, Wong Chin Huat melihat kerjasama PR bakal melepasi rintangan di sesetengah kawasan. Sungguhpun masih jauh untuk PR menguasai kerajaan negeri di Sarawak, namun kemenangan ini semestinya menyuntik semangat kepada PR.

Selain itu, Liew Chin Tong berkata bahawa PRK Sibu telah menggagalkan strategi lawan yang menggunakan “Negara Islam” sebagai senjata untuk menakut-nakutkan komuniti bukan Islam. Beliau menambah, PRK ini memberi kesan kepada kelangsungan SUPP memandangkan parti ini gagal menarik sokongan pengundi baru, meskipun mengekalkan asas sokongannya.

SUPP ditubuhkan pada 19 Jun 1959, membuka tirai kepada perjuangan politik sayap kiri melalui dewan perundangan. SUPP adalah parti yang membantah rancangan Malaysia, tetapi menyertai kerajaan pada tahun 1970. Kini, SUPP muncul sebagai parti kedua terbesar di Sarawak, tetapi mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006. SUPP kian lemah apabila melalui pergelutan kuasa dalaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

UMNO mempercepatkan langkah ke Sarawak
Selain itu, Wong Chin Huat juga menganggap kemenangan PR dalam PRK Sibu akan mempercepatkan langkah UMNO memasuki Sarawak. Bagaimanapun, Wong Chin Huat menjangkakan dilema yang dihadapi UMNO, kerana kemasukannya ke dalam Sarawak seolah-olah langkah membunuh diri, sebaliknya keadaan BN gagal diredakan seandainya UMNO tidak masuk ke Sarawak.

“Hari keesokan Malaysia menjadi menarik selepas hari ini,” kata Wong Chin Huat ketika ditemuramah MerdekaReview, semalam.

Liew Chin Tong pula menganalisa politik Sarawak dari segi geografinya, yang mana DAP telah menembusi Sarawak Selatan (Kuching), kini pula bertapak di Sarawak Tengah berikutan kemenangan ini. Presiden SUPP George Chan Hong Nam sedang menguasai Utara Sarawak setakat ini.

Menurut Liew Chin Tong (gambar kiri), biasanya DAP akan bertanding tiga kawasan parlimen di pertengahan Sarawak, iaitu Lanang, Sibu dan Sarikei, tetapi kalah setiap kali. Di bawah tiga kawasan parlimen ini, DAP berniat bertanding di lima hingga enam kerusi DUN. Dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006, DAP telah memenangi Bukit Assek (juga oleh Richard Wong Ho Leng) dan Meradong. Kini, DAP boleh menaruh harapan untuk menyerang ke arah Utara.

Kedua-dua Liew dan Wong meramalkan pilihan raya negeri Sarawak pada tahun ini, namun menjangka ia mungkin ditundakan sehingga tahun depan, atau diadakan bersama PRU ke-13, selepas kekalahan BN semalam.

merdekareview

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More