
Kadar baru Tol 2 Jambatan Pulau Pinang bebankan rakyat
- 17 June 2010
- Uncategorized
Kadar tol jambatan Pulau Pinang akan meningkat daripada RM7.00 sehala kepada RM9.40 atas alasan bagi tujuan penyelarasan dengan jambatan kedua yang masih dalam pembinaan dan akan siap pada tahun 2013 nanti.
Namun Ahli Parlimen Bukit Bendera-DAP Liew Chin Tong dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, pelaksanaan yang diputuskan kerajaan itu adalah tidak munasabah malah hanya akan membebankan pengguna.
Liew membangkitkan persoalan dalam Dewan Rakyat mengenai kadar tol yang ditetapkan untuk Jambatan Kedua Pulau Pinag selepas ia siap dibina.
Beliau menyoal sama ada kadar tol jambatan sedia ada akan dikaitkan dengan jambatan kedua atau pun kadar tol tidak akan dikenakan selepas konsesi jambatan pertama berakhir.
Namun jawapan yang diterimanya adalah kadar tol yang ditetapkan di Jambatan Pulau Pinang Kedua adalah selaras dengan kadar tol yang dikenakan di Jambatan Pulau Pinang Pertama sehingga tamat tempoh perjanjian konsesi pertama.
Pihak kerajaan juga memberi alasan bahawa disebabkan jumlah pelaburan sebanyak RM4.5 bilion dan tempoh konsesi selama 45 tahun, tol akan tetap dikenakan di Jambatan Kedua Pulau Pinang selepas konsesi jambatan pertama berakhir.
Tol bebankan rakyat
Mengulas mengenai jawapan yang diterimanya itu, Liew berkata walaupun pembinaan jambatan kedua mampu memberi manfaat kepada pengguna jalan raya di Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya, namun pelaksanaan kadar tol itu amat membeban dan akan menimbulkan kemarahan rakyat.
“Kita jangkakan kadar tol jambatan kedua itu akan lebih mahal berbanding jambatan yang pertama. Tapi nampak gayanya, jambatan pertama dan kedua akan dikenakan kadar tol yang mahal dari sekarang.
“Jadi apa logiknya membina jambatan kedua jika harga yang dikenakan adalah sama dan pengguna tidak diberi pilihan walaupun ada dua jambatan?” soal beliau.
Beliau berkata, ini hanya akan membebankan rakyat terutamanya pengguna seharian walaupun tujuan pembinaan jambatan kedua ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping merangsang pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.
“Kita minta kerajaan kaji semula kadar ini kerana ia hanya membebankan rakyat ditambah pula dengan kestabilan ekonomi negara yang masih tidak menentu,” katanya.
Apabila beroperasi pada tahun 2013 nanti, kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang akan meningkat bagi kelas pertama (motosikal) akan dikenakan bayaran tol sebanyak RM1.90, kelas kedua (kereta, teksi dan van dua gandar empat roda kecuali MPV) RM9.40, kelas ketiga (lori dua gandar empat roda termasuk pick up dan SUV) RM16.20.
Manakala bagi kelas keempat (lori dua gandar enam roda, van dua gandar enam roda, bas dua gandar enam roda) kadar bayaran tol sebanyak RM33.60 akan dikenakan, kelas kelima (lori tiga gandar) RM60.60, kelas keenam (lori empat gandar) RM80.80, dan kelas ketujuh (lori lima gandar) RM100.90.
Jambatan kedua sepanjang 26 km itu akan menghubungi Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar.
Konsesi selama 25 tahun untuk jambatan pertama pula akan berakhir pada 2018.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.