Tiada cadangan mansuhkan PGA: Abu Seman

Kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata ia berikutan tugas dan tanggungjawab pasukan itu sama seperti anggota polis dalam jabatan atau pasukan lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu jumlah tenaga PGA serta adakah kerajaan bersedia menamatkan pasukan itu dan menyerapkannya dalam pasukan lain untuk membanteras jenayah.

Abu Seman berkata, PGA yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PHH) kini mempunyai kekuatan seramai 12,746 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, pada masa ini pasukan itu ditugaskan untuk mencegah penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin terutama di sempadan negara, membanteras rompakan di laut dan mengawal keselamatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Malaysia-Thailand serta Sarawak, dan Malaysia-Kalimantan, Indonesia.

“Mereka juga terbabit membuat kawalan keselamatan orang kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa dan kawasan strategik lain, serta terbabit dalam operasi semasa krisis atau bencana. PGA juga ditugaskan untuk mencegah jenayah di kawasan panas di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya.
Menjawab soalan Ir Hamim Samuri (BN-Ledang) mengenai usaha memastikan PGA benar-benar boleh memberi sumbangan untuk menurunkan kadar jenayah di kawasan hitam ke tahap terendah, Abu Seman berkata tugas yang dipertanggungjawabkan kepada PGA di kawasan itu adalah membuat rondaan.

“PGA ada latihan asas polis berkaitan undang-undang, disiplin, kegunaan senjata api dan sebagainya. Sudah tentu tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

BERNAMA
Berita Harian
Mstar

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles