Ujian untuk Najib – sokong rakyat Mesir atau regim Hosni Mubarak?

Kenyataan Akhbar Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong pada 5hb Februari 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata bahawa kebangkitan rakyat Mesir menentang Presiden Hosni Mubarak adalah satu pengajaran penting kepada kerajaan supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat jelata.

Beliau turut berkata bahawa fenomena globalisasi telah menjana kebangkitan rakyat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka secara terbuka. Najib juga mengenalpasti kemajuan teknologi ICT dan tahap pendidikan yang tinggi sebagai faktor-faktor yang memperkasakan rakyat Mesir.

Saya ingin memuji sikap positif Perdana Menteri berbanding pandangan lapok mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menganggap perubahan bukan semestinya untuk kebaikan.

Namun, dari segi prinsip, saya kecewa kerana kenyataan Najib lewat dikeluarkan. Malah, tindakan kerajaan Malaysia juga lewat dalam usaha menjaga keselamatan dan nyawa pelajar serta rakyat kita di Mesir.

Adalah mengecewakan melihat respon krisis Wisma Putra terutamanya berkenaan pemanggilan balik pelajar-pelajar Malaysia yang terlalu lambat meskipun diminta oleh pelbagai pihak sejak awal.

Lebih dari itu, kita ingin mengetahui pendirian kerajaan Malaysia dengan jelas terhadap kebangkitan rakyat Mesir.

Sebagai mantan Pengerusi Non-Aligned Movement (NAM) dan Organisation of Islamic Countries (OIC), kerajaan Malaysia sepatutnya mengemukakan pandangan yang jelas dan tegas tanpa perlu berselindung serta tidak kabur.

Malaysia sepatutnya berani dan tegas dengan mencontohi Turki yang secara terbuka telah menyatakan sokongan kepada rakyat Mesir yang telah dengan lantangnya menentang kerajaan Presiden Hosni Mubarak yang mengekang demokrasi dan kebebasan rakyat.

Najib tidak seharusnya menjadi pengikut takild buta dasar luar negeri Amerika Syarikat tetapi menjadi pemimpin dunia yang tegas sebagai opinion leader dalam arena antarabangsa.

Najib perlu menyatakan apa yang sanggup dilakukannya atau cuma mampu menjadi pak turut kepada kuasa-kuasa besar melalui tiga ujian dasar ini:

Pertama, bersediakah kerajaan Najib menyatakan sokongan kepada kebangkitan rakyat Mesir berpandukan prisip demokrasi? Hanya dengan ini akan Malaysia tidak disalahanggap sebagai negara yang menyokong regim kuku besi Hosni Mubarak.

Kedua, bersediakah kerajaan Najib memikul tangungjawaban sebagai opinion leader global dan dunia Islam yang menegaskan kepada masyarakat antarabangsa, terutamanya Amerika Syarikat dan Israel, untuk meyahut saranan rakyat Mesir dan menghentikan sokongan kepada regim Hosni Mubarak yang sudah ditolak oleh rakyatnya sendiri?

Ketiga, bersediakah kerajaan Najib memanggil Duta Mesir ke Malaysia untuk menyuarakan pendirian pro-demokrasi dan pro-kebangkitan rakyat? Selain itu menegaskan bahawa kerajaan dan pasukan keselamatan Mesir bertanggungjawab ke atas hak asasi dan keselamatan rakyat yang berdemostrasi.

Atau Najib sebenarnya bercita-cita mahu menutup ruang kebebasan dan demokrasi rakyat Malaysia dengan mencontohi apa yang sedang dilakukan oleh regim Mesir terhadap rakyatnya sendiri yang sudah tidak tahan lagi dikongkong dan dipermainkan oleh kerajaan?

Sehubung ini, DAP mengutuk penangkapan 7 peserta pehimpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat oleh polis dan menyeru pembebasan mereka dengan serta-merta supaya tidak memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia dan masyuarakat antarabangsa bahawa Malaysia menyokong regim kuku besi Hosni Mubarak.

Liew Chin Tong

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More