Hak negeri, hak Pusat

22 March 2012

Wawancara wakil Roketkini Mazir Ibrahim dan Iskandar Fareez bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong merangkap Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP

Apa pandangan saudara tentang keadaan di Kuala Lumpur sekarang ini?

Struktur masa sekarang tidak sesuai. Ia tidak sesuai dari beberapa segi. Pertama, ia tiada akauntabiliti. Ia dikawal oleh Putrajaya dengan adanya campurtangan Menteri, Datuk Bandar dan Ketua Pengarah. Jadi ini seperti adanya tiga pemandu yang tidak tahu arah tuju. Isu di Kuala Lumpur ini memang kompleks. Kuala Lumpur sebagai bandar utama harus diberikan struktur pentadbiran yang dapat mengendalikan isu-isu yang berbangkit di Kuala Lumpur. Isu jangka panjang ialah bagaimana Kuala Lumpur dapat jadi satu bandar yang sesuai didiami. Satu bandar dengan pengangkutan awam yang baik, persekitaran yang mempunyai kecekapan tenaga (energy efficiency). Kecekapan tenaga itu penting. Semua ini memerlukan perancangan yang baik dan berwawasan. Ia mesti baik dari segi teknikal dan juga memenuhi kehendak awam.

Jika dilihat dari jawapan saudara, hal ini ada kaitannya bengan konsep federalisme. Boleh saudara terangkan sedikit tentang konsep tersebut dalam konteks mudah untuk difahami oleh pembaca?

Malaysia ditubuh sebagai satu persekutuan. Persekutuan sebenarnya bermakna badan-badan berautonomi (berdikari) bergabung bersama supaya mereka mendapat manfaat yang lebih luas, mendapat sinergi dan beberapa manfaat yang lain. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, Malaysia tidak berfungsi sebagai gabungan badan-badan berdikari. Ia sebenarnya lebih teruk daripada negara kesatuan yang mana kerajaan pusat mempunyai semua kuasa. Malaysia seharusnya memberikan lebih kuasa kepada negeri-negeri kerana sebagai persekutuan, ia tidak seharusnya menjadi sebagai satu central overstate, tetapi kesemuanya bergabung kuasa untuk menubuhkan persekutuan yang kita ada ini. Jadi, inilah serba sedikitlatar belakangnya.

Dalam Tawaran Jingga, Pakatan Rakyat ada mengetengahkan idea disentralisasi. Bagaimanakah hal ini akan terlaksana?

Sekarang ini, jika saudara bandingkan dengan negara-negara lain seperti di Indonesia, Korea , Taiwan dan juga di merata tempat, trendnya ialah disentralisasi. Hal ini adalah apabila kuasa diturunkan kepada provinsi atau pun unit yang lebih rendah (kecil) supaya mereka dapat menjadi lebih responsif terhadap tuntutan ataupun keperluan tempatan. Matlamatnya di sini, keperluan tempatan itu dapat dipenuhi.

Apakah impak ataupun kesan yang Pakatan Rakyat harapkan daripada proses disentralisasi ini?

Pada pandangan saya, isu pertama ialah isu Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri ini perlu diberikan lebih kuasa dan juga sumber supaya ia lebih responsif. Tetapi yang penting sekali, disentralisasi adalah salah satu ciri ataupun elemen utama dalam proses demokratisasi. Demokratisasi tidak boleh berlaku dalam pengasingan. Ia harus berlaku sebagai salah satu program atau pakej. Kita perlu kembalikan atau turunkan kuasa kepada unit yang lebih kecil supaya unit itu dapat mengendalikan isu-isu tempatan dengan lebih responsif. Berbalik kepada Sabah dan Sarawak, mereka telah bergabung dengan Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) supaya membentuk Malaysia, unit yang lebih besar. Kita juga perlu menghormati kewujudan perjanjian 18 perkara dan 20 perkara antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

Hal ini amat penting kerana penduduk Sabah dan Sarawak memerlukan lebih perhatian dan sumber yang lebih banyak supaya mereka dapat mengendalikan hal ehwal mereka. Tetapi yang lebih penting, proses ini (desentralisi) seharusnya berlaku dalam demokratisasi. Kita tidak boleh hanya memberikan kuasa kepada orang kuat tempatan seperti Taib Mahmud tanpa ada media yang bebas yang boleh melakukan semak dan imbangan. Ia juga tidak boleh berlaku tanpa Surhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang lebih berkuasa. Komponen masyarakat sivil, komponen media yang bebas, institusi-institusi semak dan imbang perlu diadakan sebelum disentralisasi boleh berlaku. Itu isu untuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pula dengan negeri-negeri lain?

Untuk tempat yang lain pula, Putrajaya telah memegang kuasa atau isu-isu yang boleh dikendalikan oleh orang tempatan ataupun kerajaan di negeri. Isu seperti pengangkutan awam. Pengangkutan awam dikuasai oleh Putrajaya diletak dibawah Jabatan Perdana Menteri bukannya dibawah kementerian pengangkutan. Dahulu (diletak) bawah Kementerian Kemajuan Keusahawanan. Sekarang di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dibawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Isunya di sini, bagaimana Putrajaya membuat keputusan tentang laluan perjalanan bas di Kota Bharu atau di Kangar? Keputusan-keputusan sedemikian adalah lebih baik dibuat oleh kerajaan negeri ataupun tempatan. Perancangan pengangkutan tidak boleh berlaku di Kuala Lumpur kerana isu-isu yang perlu dikendalikan oleh Kuala Lumpur ataupun Putrajaya terlalu banyak. Isu terperinci tidak harus berlaku di peringkat persekutuan. Ia seharusnya berlaku di tempat-tempat berkenaan. Isu-isu ini isu mikro jadi kenapa perlunya dipusatkan? Hal ini kerana, (semua) ini isu kronisme atau isu memberi kontrak.

Apakah contoh-contoh kepada masalah ini?

Saya beri dua contoh. Contoh pertama, air, sampah, dan sanitasi. Ketiga-tiga ini dahulunya di bawah isu majlis ataupun kerajaan negeri. Air, sampah dan sanitasi merupakan fungsi kerajaan tempatan tetapi pada awal 1990an, Mahathir Mohamad berpendapat bahawa, kuasa ini perlu dipusatkan di bawah kerajaan pusat dan diberikan kepada kontraktor besar-besaran yang ada kaitan dengan kerajaan pusat. IndahWater diberikan kepada Berjaya dan kemudiannya gagal. Dikembalikan pula kepada kerajaan pusat.

(Berkenaan) isu air pula, dulu ia merupakan senarai negeri tetapi pada 2005 perlembagaan dipinda supaya ia dijadikan senarai bersama. Sisa pepejal setelah sekian lama berada di bawah senarai negeri, pada 2007 akta telah digubal supaya kuasa (pengurusan) sisa pepejal diletakkan di bawah kerajaan pusat. Perkara ini baru dikuatkuasakan pada tahun 2011. Kompromi terbaru ialah Selangor, Perak dan Pulau Pinang dikecualikan daripada akta itu. Tetapi bagaimana Putrajaya mengendalikan sampah sarap di siri rumah di Kelantan ataupun di kampung di Johor. Tidak boleh. Ia tidak akan berkesan. Birokrasi yang diciptakan ini tidak akan berkesan. Isu-isu ini harus dikendalikan oleh kerajaan negeri ataupun tempatan.

Contoh kedua ialah pengangkutan. Saya beri satu contoh, pengangkutan awam di Pulau Pinang. Feri dulunya di bawah kerajaan pusat , Penang Port Commission (PPC) tetapi pada 1990-an satu syarikat baru ditubuhkan, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) – anak syarikat di bawah kerajaan pusat . Pengerusi PPSB daripada UMNO. Pengerusi PPC selalunya daripada MCA, sekarang Chua Soi Lek. PPC kecil tetapi PPSB besar.

Jambatan Pulau Pinang pula dikuasai oleh UEM satu syarikat konsesi kroni dan bas RapidPenang dibawah syarikat yang dikuasai oleh Prasarana, juga syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Syarikat-syarikat ini seharusnya berbincang antara satu sama lain supaya suatu sistem pengangkutan yang lancar dan berintegrasi dapat diadakan, tetapi ini tidak berlaku. Jambatan tak bincang dengan feri, feri tak bincang dengan bas. Semuanya bekerja secara berasingan. Tiada sinergi langsung. Dan kerajaan negeri tiada kawalan atas mana-mana pihak. Malah lapangan tebang Pulau Pinang pun di bawah kawalan kerajaan pusat dan juga diswastakan kepada Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).

Jadi apa cara mengatasinya?

Cara yang lebih baik ialah supaya pengurusan pengangkutan awam, sisa pepejal dan air dikembalikan kepada negeri. Sudah tentu kita tidak mahu satu diktator itu menggantikan diktator yang lain. Yang penting itu ia perlu terlibat dalam proses demokratisasi secara keseluruhan. Dalam jangka panjang mungkin isu pendidikan pun boleh diserahkan kepada negeri. Sama juga dengan isu kesihatan. Dengan adanya penyertaan orang tempatan dalam proses membuat keputusan dalam sistem pendidikan atau kesihatan, ia akan menjadi lebih responsif.

Seperti contoh di Sarawak, kerajaan negeri boleh diberikan lebih kuasa untuk memajukan bahasa-bahasa tempatan seperti Bahasa Iban. Memang orang Iban mengharapkan yang bahasa mereka dapat dimajukan. Tetapi ini tidak bermakna kita meminggirkan bahasa kebangsaan. Kita boleh bertutur dalam lebih daripada satu bahasa. Idea lama yang mengatakan kita hanya boleh bertutur dalam satu bahasa adalah salah. Hari ini kita boleh bertutur dalam beberapa bahasa. Itu menunjukkan bahawa jika peluang diberikan beserta dengan mekanisme sokongan rakyat Malaysia boleh bertutur dalam beberapa bahasa. Ini semua hanya dapat dicapai dengan disentralisasi.

Untuk sistem yang lebih kompleks, adakah kita akan lihat pertambahan kos untuk membiayai strukur pentadbiran sebegini?

Perbincangan tentang kos ini agak sukar untuk diteliti. Saya beri contoh seperti di Taiwan. Jumlah penduduknya hampir sama, seramai 24 Juta orang berbanding kita yang mempunyai 28 Juta orang. Kerajaan pusat diberi peruntukan sebanyak RM195 billion. Peruntukan untuk kerajaan pusat kita ialah sebanyak RM232 billion. Ini bermakna kalau kita bandingkan bajet kerajaan pusat Malaysia dengan Taiwan, kerajaan pusat Malaysia mempunyai sumber yang lebih banyak daripada kerajaan pusat Taiwan.

Sekarang kita bandingkan bajet Taipei dengan Selangor. Kerajaan Taipei mempunyai bajet sebanyak RM19 bilion. Selangor pula mempunyai bajet sebanyak RM1.6 bilion. Cuba bandingkan kedua-duanya, RM19 bilion dengan RM1.6 bilion. Bandar raya keduanya, Kaohsiung, mempunyai bajet sebanyak RM13 bilion. Pulau Pinang hanya RM 747 Juta. Malahan USM mempunyai bajet yang lebih besar daripada Pulau Pinang. Bajet USM sebanyak RM1.2 bilion. Satu masalah lagi ialah kerajaan negeri tiada kuasa mengutip cukai. Cukai di hantar ke Kuala Lumpur. Jadi isunya bukan isu kos. Isunya berapa bidangkuasa yang diamanahkan kepada kerajaan negeri dan juga apa sumber kewangan yang diamanahkan kepada negeri.

Dalam kes Kuala Lumpur contohnya, berapakah kos untuk membuat pilihan raya tempatan?

Kos pilihanraya tak banyak. Biasanya kos untuk pilihanraya umum adalah dalam lingkungan RM200 juta. Jadi mengikut perangkaan tersebut mungkin kos plihanraya tempatan adalah sebanyak RM10-RM15 juta. Ini adalah kos untuk mewujudkan demokrasi. Kos ini semua rakyat bersedia tanggung kerana ia adalah untuk memilih pemimpin yang lebih baik dan responsif. Dan jika ada pilihanraya sudah tentunya perwakilan akan lebih responsif. Seperti yang saya kata, KL mempunyai tiga set pemimpin iaitu Kementerian Wilayah, Datuk Bandar, dan Ketua Pengarah. Sememangnya di sini berlaku konflik.

Jika kita dapat perkemaskan sedikit, (Kuala Lumpur) hanya mempunyai Datuk Bandar dan beliau mungkin dipilih beserta ahli majlis, sistem keseluruhannya pasti akan jadi lebih responsif. Walaupun ramai yang akan mengkritik berkaitan dengan kos, sistem sekarang ini sarat dengan kos terembunyi. Kos tersembunyi yang kita hadapi sekarang ialah seperti rasuah, salahguna kuasa dan sistem yang tidak efisyen. Kehidupan di Bandar raya Kuala Lumpur sekarang tidak lagi kondusif. Kementerian seharusnya menggubal dasar bukannya memberi kontrak. Masalah yang kita hadapi sekarang ini ialah kementerian menjadi pemberi kontrak.

Bagaimana pula dengan kos pentadbiran?

Sekarang ini (kita) langsung tidak ada pilihan raya tempatan. Perdana Menteri akan mengarahkan seseorang itu menjadi Menteri, Datuk Bandar atau Ketua Pengarah. Rakyat tidak diberikan peluang untuk memutuskan siapa yang akan mewakili mereka dan siapa yang akan bertanggungjawab terhadap keputusan-keputusan yang dibuat Kuala Lumpur untuk jangka panjang. Apa-apa keputusan yang dibuat sama ada mereka hendak membina bangunan di sini atau jalan di sana, semua ini tiada penyertaan awam. Kos untuk membiayai pegawai dan pentadbiran tidak banyak beza dengan sekarang. Sekarang juga ada ahli majlis tetapi mereka memainkan peranan sebagai penasihat. Mereka tak dapat gaji tetapi dapat elaun, sama juga.

(Sekarang) kos pentadbiran atau untuk membiayai gaji-gaji pimpinan kerajaan baru ini sudah diperuntukkan kepada orang lain yang tidak dipilih. Kos untuk pilihanraya memang tidak wujud sekarang kerana semua perwakilan tempatan dilantik, tetapi seperti yang saya kata sebelum ini jika kita peruntukkan RM10 juta setiap 5 tahun untuk membiayai pilihanraya bagi Kuala Lumpur, itu adalah kos yang perlu untuk demokrasi berfungsi. Saya rasa ini boleh diterima oleh rakyat

Roketkini.com

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More