Mampukah Najib bertahan sebagai Perdana Menteri?

KL112-236Di kala negara menantikan saat Parlimen dibubarkan, timbul satu persoalan baru – mampukah Dato’ Seri Najib Razak bertahan sebagai Perdana Menteri?

Sekiranya Barisan Nasional kehilangan kuasa, Najib pastilah tidak akan kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi seandainya BN menang pilihanraya, meski dengan majoriti yang lebih kecil, adakah para pemimpin UMNO dan ahlinya akan merelakan Najib terus memimpin parti itu?

Saya berkesempatan untuk berbual seketika dengan Najib Razak sewaktu dialog Shangri-La pada 1 Jun 2008 di Singapura sebelum beliau naik ke pentas pada persidangan pertahanan tahunan itu. Pada waktu itu beliau masih Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan.

Waktu itu baru sahaja lebih kurang tiga bulan selepas tarikh bersejarah pilihanraya umum 8 Mac yang menyaksikan pihak oposisi memenangi kuasa di lima kerajaan negeri dan memecahkan kuasa majoriti dua-pertiga BN di Parlimen.

Najib tidak kenal saya. Jadi saya perkenalkan diri sebagai “Bukit Bendera” dan beliau lantas sedar saya adalah seorang Ahli Parlimen DAP.

Apa Najib beritahu saya

Tanpa disoal atau mungkin kerana beliau defensif, Najib menyebut tiga perkara dalam perbualan singkat itu. Pertamanya bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan kes Altantuya. Kedua, bahawa beliau bukanlah seorang yang rasis dan mempunyai ramai kawan bukan-Melayu. Dan ketiga, bahawa beliau mahu BN mula memikirkan bagaimana untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri “Pembangkang”.

Saya berkongsi pengalaman ini dengan beberapa teman yang rapat dengan UMNO dan mengenali cara fikir Najib Razak. Salah seorang daripadanya dengan pantas mengatakan bahawa Najib amat tertekan dengan kes Altantuya, sehinggakan beliau terpaksa menyebut tentang perkara itu secara defensif apabila bertemu dengan orang yang tidak dikenali untuk pertama kali.

Kenyataan itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.

Dengan dibantu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Najib telah memulakan usaha “rampasan kuasa” terhadap (mantan) Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi. Mula-mula pada 17 September beliau telah diberikan portfolio Kewangan yang menjadi rebutan ramai, dan kemudian pada 25 September 2008 berjaya pula meyakinkan Abdullah untuk bersara pada tahun berikutnya.

Najib mengambil alih tampuk kekuasaan pada 3 April 2009.

Membisu seribu bahasa

Tertimbulnya semula kes Altantuya dalam bentuk tuduhan yang pelbagai oleh pengusaha karpet Deepak Jaikishan sejak penghujung November 2012 sewaktu dan sesudah Perhimpunan Agung UMNO adalah mungkin lebih buruk dari yang disangka.

Hampir dua bulan sejak tuduhan Deepak mula timbul, Najib dan isterinya Rosmah Mansor telah kekal membisu seribu bahas, meniru gaya Abdullah yang turut membisu untuk mengelak isu-isu sebenar.

Pergolakan dalaman UMNO memang sentiasa wujud. Namun mutakhir ini, ia semakin jelas kelihatan. Parti tersebut barangkali runsing dengan Najib yang dilihat tidak mampu memenangi lebih sokongan Melayu untuk UMNO serta pada masa yang sama gagal juga mendapatkan sokongan bukan-Melayu melalui slogan 1Malaysianya.

Mungkin beliau bukanlah seorang yang bersifat perkauman dengan cara yang menjijikkan, tetapi beliau gagal mematahkan kempen perkauman oleh UMNO, Perkasa dan Utusan Malaysia. Usahanya untuk “bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri Pembangkang” langsung tidak menjadi, terutamanya selepas rampasan kuasa terhadap Kerajaan Negeri Perak pada Februari 2009.

Rojak singkatan nama program-program kerajaan yang dihidangkan Najib menyajikan kesan dasar yang terlalu sedikit dalam kehidupan nyata, dan usahanya untuk meninggalkan legasinya dalam UMNO dengan membariskan ‘calon boleh menang’ telah memakan diri sendiri.

Setelah menimbang-nimbang bila kiranya masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen dalam tiga tahun yang lalu, soalan yang lebih ketara sekarang ialah mungkinkah ada lagi insan yang bernama Najib Razak yang bakal memimpin BN selepas pilihanraya umum akan datang? – Roketkini.com

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More