Pertanyaan Lisan Parlimen 03.07.13 : ‘Skim Rumah Pertamaku’ & PRIMA

PERTANYAAN: LISAN

TARIKH: 03 JULAI 2013

NO. SOALAN: 76

 

SOALAN:

Y.B. TUAN LIEW CHIN TONG [ KLUANG ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan :-

(A)    statistik terperinci peminjam “Skim Rumah Pertamaku” bagi tahun 2011, 2012 dan 2013 mengikut umur. jantina, bangsa dan lokasi; dan

(B)   senarai rumah PRIMA yang siap dibina pada tahun 2012 dan 2013 mengikut lokasi, harga, peratus jualan projek dan senarai projek-projek PRIMA lain yang dirancang untuk tahun 2013 dan 2014 mengikut lokasi, harga dan tarikh dijangka siap.

 

JAWAPAN:

(A)

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan teiah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada bulan Mac 2011. Skim ini bertujuan membantu golongan muda yang baru bekerja untuk memiliki rumah sendiri. Di bawah skim ini, golongan muda boleh mendapat pembiayaan sehingga 100% daripada institusi-institusi kewangan untuk membeli rumah pertama mereka tanpa perlu membayar 10% wang pendahuluan.

2. Pembeli bebas untuk memilih jenis dan lokasi kediaman yang dibangunkan oleh mana-mana pemaju berlesen tidak kira di bandar mahupun di luar bandar. Skim ini bukanlah jaminan bahawa setiap pemohon layak diberikan pembiayaan perumahan. Pemohon perlu memenuhi kriteria asas skim dan juga memenuhi syarat kelayakan pinjaman yang ditetapkan oleh institusi kewangan. Keputusan muktamad pembiayaan adalah bergantung kepada kemampuan pemohon dan penilaian kredit oleh bank yang terlibat. Bagi memastikan rakyat sentiasa memperolehi maklumat yang tepat mengenai skim ini terutamanya mengenai kriteria kelayakan, satu laman sesawang telah diwujudkan. Laman sesawang tersebut boleh dilayari di www.srp.com.my.

3. Dalam pembentangan Bajet 2013, Kerajaan telah menambahbaik Skim Rumah Pertamaku dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga telah dimansuhkan.

4. Selain itu, Kerajaan juga telah melanjutkan pengecualian duti setem 50% ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga RM350 ribu sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga RM400 ribu. Langkah ini diharap dapat meluaskan lagi jangkauan rakyat yang ingin memiliki rumah.

5. Dari tahun 2011 sehingga akhir Mei 2013, sebanyak 1,410 permohonan sebenar telah dikemukakan kepada institusi-institusi kewangan. Daripada jumlah ini, sebanyak 485 permohonan bernilai RM72.5 juta telah diluluskan dengan 395 pinjaman bernilai RM61.3 juta berjaya mendapat jaminan.

6. Bagi permohonan yang lulus dan berjaya mendapat jaminan mengikut negeri bagi tahun 2011, Selangor telah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 91 permohonan bernilai RM13.7 juta, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (56 permohonan; RM8.3 juta), Johor (31 permohonan; RM4.7 juta), Perak (19 permohonan; RM2.7 juta), Pulau Pinang (19 permohonan; RM2.6 juta), Melaka (17 permohonan; RM2.4 juta), Sabah (11 permohonan; RM1.7 juta), Kedah (8 permohonan; RM1.1 juta), Pahang (6 permohonan; RM966 ribu), Negeri Sembilan (7 permohonan; RM916 ribu), Sarawak (1 permohonan; RM192 ribu) dan Terengganu (1 permohonan; RM135 ribu).

7. Bagi tahun 2012, Selangor terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 17 permohonan bernilai RM2.6 juta, diikuti oleh Johor (12 permohonan; RM2.1 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9 permohonan; RM1.4 juta), Perak (6 permohonan; RM971 ribu), Pulau Pinang (5 permohonan), Sabah (5 permohonan), Kedah (5 permohonan), Melaka (3 permohonan), Sarawak (3 permohonan), Pahang (3 permohonan), Negeri Sembilan (2 permohonan), Kelantan (2 permohonan) dan Terengganu (1 permohonan). Bagi negeri Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Putrajaya, masih tiada permohonan pada tahun ini.

8. Untuk statistik sehingga Mei 2013, Selangor masih lagi mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 27 permohonan bernilai RM5.3 juta, diikuti oleh Johor (6 permohonan; RM1.5 juta) dan Negeri Sembilan (6 permohonan; RM1.4 juta).

9. Peminjam yang berjaya mendapatkan pinjaman dan jaminan adalah terdiri daripada pelbagai kaum, di mana sejak dari tahun 2011 sehingga Mei 2013, peminjam tertinggi adalah kaum Cina sebanyak 50.14% (195 peminjam) diikuti oleh peminjam kaum Melayu sebanyak 37.63% (150 peminjam) dan selebihnya 12.23% adalah peminjam dari kalangan kaum India dan Melayu serta Iain-Iain bukan Bumiputera (50 peminjam).

10. Bagi permohonan yang lulus dan berjaya mendapat jaminan mengikut umur, kumpulan umur 24 tahun hingga 29 tahun rmenunjukkan jumlah tertinggi sejak dari tahun 2011 sehingga Mei 2013 iaitu sebanyak 259. Bagi kumpulan umur 30 tahun hingga 35 tahun pula berjumlah 88 pinjaman. Manakala daripada kumpulan umur 18 tahun hingga 23 tahun ialah 48 pinjaman.

(B)

Tuan Yang di-Pertua,

11. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri. Kerajaan sedar bahawa perumahan yang selesa, berkualiti dan mampu milik adalah keperluan yang penting kepada golongan berpendapatan sederhana terutamanya di kawasan bandar dan pinggiran bandar. Justeru itu, satu inisiatif yang diterajui oleh Perbadanan PRIMA akan membantu Kerajaan dalam mencapai hasrat ini. Adalah disasarkan sebanyak 500,000 unit rumah PRIMA akan dibina di seluruh Malaysia di dalam tempoh lima tahun.

12. Rumah-rumah PRIMA akan dibina di kawasan strategik bandar-bandar utama serta pinggiran bandar di seluruh Malaysia. Rumah-rumah PRIMA adalah terbuka kepada individu atau keluarga (suami dan isteri) dengan pendapatan purata bulanan isi rumah antara RM2,500 – RM 7,500. Harga rumah yang ditawarkan adalah di antara RM100,000 – RM400,000 dan ianya tertakluk kepada lokasi dan jenis spesifikasi rumah berkenaan. Dalam ertikata lain, harga rumah PRIMA adalah sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran rumah yang mempunyai spesifikasi yang sama di kawasan persekitaran projek perumahan PRIMA tersebut.

Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat,

13. Bajet 2013 telah mensasarkan PRIMA untuk melaksanakan sebanyak 80,000 unit rumah di seluruh Malaysia. Bagi merealisasikan jumlah tersebut, pendekatan yang dilaksanakan oleh Perbadanan PRIMA adalah seperti berikut:

1)   50,000 unit rumah dibangunkan oleh PRIMA; dan

2)   30,000 unit rumah dilaksanakan secara usaha sama dengan pemaju swasta;

Kerja-kerja untuk merealisasikan jumlah tersebut sedang giat dijalankan oleh Perbadanan PRIMA. Secara amnya, proses pembinaan akan mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk disiapkan dan projek-projek perumahan ini akan dibina secara berperingkat.

14. Bagi peringkat pertama, sejumlah 560 unit kediaman PRIMA sedang dibina di Presint 11, Putrajaya. Projek ini dilaksanakan secara usaha sama dengan Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH). Sebanyak 420 unit mempunyai keluasan 815 kaki persegi (76 meter persegi) dan dijual pada harga RM120,000 setiap satu, manakala 140 unit lagi berkeluasan 1,006 kaki persegi (93 meter persegi) berharga RM150,000. Seterusnya, sebanyak 201 unit rumah PRIMA juga dibina di Nusantara Prima, Nusajaya, Johor. lanya dijangka siap sepenuhnya pada 2016. Kediaman teres dua tingkat itu ditawar dengan harga RM199,000 dan dibina oleh pemaju swasta Denia Development Sdn. Bhd., dengan kerjasama UEM Land Holdings Berhad.

15. Sebagai makluman, perumahan PRIMA diperuntukkan melalui proses pengundian terbuka. Proses cabutan undi ini akan dijalankan secara berperingkat mengikut projek. Perbadanan PRIMA sedang meneliti setiap cadangan pembangunan yang akan dilaksanakan oleh pihaknya sebelum memuktamadkan pelaksanaan selanjutnya.

 

Sekian, terima kasih.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More