
Kekurangan peruntukan bagi pengangkutan awam
- 4 October 2013
- Uncategorized
Dalam sesi kedua Parlimen, saya telah membuat pertanyaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan. Pertanyaan saya mengenai keadaan pengangkutan awam di Kluang. Jawapan Parlimen yang diberi dilampirkan seperti di bawah.
Menteri telah menyatakan bahawa “penambahan perkhidmatan bas henti-henti pada ketika ini ialah tertakluk kepada kelulusan permohonan dari syarikat pengendali yang berminat.”
Berkenaan perkara ini, saya ingin mendesak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor untuk mengambil langkah proaktif untuk meluangkan peruntukan awam bagi memperkembangkan pengangkutan awam tempatan.
Kerajaan persekutuan tidak patut menunggu sehingga syarikat persendirian mempunyai minat untuk menawarkan perkhidmatan bas awam di Kluang.
Di Pulau Pinang, kerajaan negeri menawarkan perkhidmatan bas percuma dengan kos RM2.5 juta setahun. Bas percuma ini terdiri daripada bas BEST dari Seberang Perai ke Pulau Pinang, dan juga bas di bandar George Town. Saya menggesa kerajaan negeri Johor untuk mencontohi teladan ini.
Dalam Belanjawan 2013 kerajaan persekutuan yang berjumlah RM252 billion, hanya RM369 juta yang diperuntukkan untuk pengangkutan awam iaitu jumlah dalam tiga tahun yang lepas. Ini merupakan kekurangan peruntukan dan menunjukkan keutamaan yang salah. Saya berharap Menteri Pengangkutan dapat meneliti keadaan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Jawapan Parlimen
TUAN LIEW CHIN TONG [KLUANG] minta PERDANA MENTERI menyatakan:
(a) jumlah pengangkutan awam darat yang sedang beroperasi di kawasan
Parlimen Kluang dan samada perkhidmatan dan laluan bas terutamanya, akan ditambah bagi menampung peningkatan penduduk di kawasan ini.
(b) peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pengangkutan awam darat dari 2003 hingga 2013
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
1. Pada masa ini, perkhidmatan pengangkutan awam sedang beroperasi di kawasan Parliment Kluang adalah seperti berikut:
(i) Bas Henti-henti:
Terdapat 4 buah syarikat beroperasi di 17 laluan
(ii) Kereta sewa:
Sebanyak 228 lesen telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D)
(iii) Keretapi:
Terdapat 2 stesen keretapi iaitu Stesen Keretapi Kluang dan Stesen Keretapi Chamek
2. Penambahan perkhidmatan bas henti-henti pada ketika ini ialah tertakluk kepada kelulusan permohonan dari syarikat pengendali yang berminat. Bagi perancangan dan keperluan jangka panjang, SPAD sedang merangka jaringan perkhidmatan bas henti-henti yang lebih tersusun dan lestari di seluruh negara.
3. Bagi projek yang berkaitan dengan SPAD dari tahun 2003 hingga 2013, Kerajaan telah memperuntukkan lebih daripada RM369 juta melalui Rancangan Malaysia ke-10 di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk penambahbaikan sistem pengangkutan awam darat.
Share this article
Related Articles


- 26 Sep 2022·
Ending low pay

- 2 Jul 2022·
𝗧𝗵𝗲 𝗔𝘀𝗶𝗮𝗻 𝗙𝗶𝗻𝗮𝗻𝗰𝗶𝗮𝗹 𝗖𝗿𝗶𝘀𝗶𝘀: 𝟮𝟱 𝘆𝗲𝗮𝗿𝘀 𝗼𝗻
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.