Punca kematian Norazita

Pegawal keselamatan warga asing haram menjadi isu terhangat setelah berlakunya tragedi pembunuhan Norazita Abu Talib baru-baru ini. Pegawai Ambank di USJ ini ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan yang memiliki MyKad palsu. Dua kes yang agak sama menyusul kemudian, sehingga kita tertanya-tanya, bagaimana kejadian sedemikian boleh berlaku?

Biar saya berterus-terang, UMNO harus dipertanggungjawabkan kerana keengganan kerajaan untuk mereformasikan institusi polis, dan kemudian memberi lampu hijau kepada kroni untuk menubuhkan syarikat keselamatan.

Pertama, kadar jenayah melambung tinggi, sungguhpun angka polis dan kerajaan menunjukkan sebaliknya. Malah Menteri KDN mendakwa bahawa jumlah jenayah pada tahun 2013 telah berkurang sebanyak 50% berbanding tahun 2008. Ketakutan terhadap jenayah meningkatkan permintaan terhadap perlindungan keselamatan dari sektor swasta. Pondok pengawal keselamatan tumbuh bagai cendawan selepas hujan di kawasan perumahan kelas menengah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.

Kedua, polis seolah-olah beroperasi dalam suasana Perang Dingin, dengan andaian bahawa Komunis masih ancaman terhadap negara, sungguhpun Chin Peng sudah menjadi abu, malah Perjanjian Damai Haadyai telah ditandatangani 24 tahun yang lalu.

Apa yang menarik, Bajet 2014 masih memperuntukkan dana untuk memburu komunis. Padahal kita mempunyai nisbah polis kepada populasi yang agak memadai (kira-kira 110,000 polis kepada populasi 28 juta orang), namun hanya sebahagian tenaga polis dikerah untuk memerangi jenayah. Dua faktor penting dalam usaha membanteras jenayah, iaitu polis perlu berada di merata-rata, dan penyiasatan yang berkualiti. Malangnya, hampir 50% tenaga polis diagih untuk pengurusan, cawangan khas (5%), logistik (20%), FRU (3%), dan Pasukan Gerakan Am (15%) untuk memerangi komunis!

Justeru itu, kita kekurangan polis ronda. Hanya 10% tenaga polis diperuntukkan dalam jabatan penyiasatan jenayah, dan hanya kira-kira 2,000 tersenarai sebagai inspektor dan ke atas untuk memegang kuasa penuh dalam penyiasatan. Saya bersimpati kepada penyiasat jenayah yang dibeban dengan kerja berlebihan sehingga terpaksa tidur di atas sofa lapuk dalam balai yang serba kurang.

Maka jangan kita harapkan penyiasatan sebagaimana yang ditonton dalam rancangan CSI dari televisyen akan berlaku di sini. Penyiasatan jenayah berasaskan sains dan kebijaksanaan jarang berlaku di sini, sebaliknya ia lebih bergantung kepada “pengakuan”. Mungkin kita masih ingat Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin pada zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. Barangkali habuknya kini lebih tebal daripada laporan setebal 600 mukasurat yang dibentangkan pada Mei 2005.

Apabila kerajaan BN enggan mengagihkan tenaga polis untuk memerangi jenayah daripada memerangi komunis, maka perlindungan keselamatan sektor swasta menemui pasarannya. Sekali imbas ia bukan masalah kerana syarikat keselamatan swasta semestinya dikawal dengan rapi, melalui sekatan lesen yang ketat untuk memastikan kelayakan pemiliknya.

Dalam satu jawapan KDN kepada saya di parlimen pada Oktober 2011, terdapat 584 buah syarikat keselamatan berdaftar, dengan pengawal keselamatan yang terdiri daripada 160,000 orang warga Malaysia dan 1,049 orang bekas askar Nepal. Dua tahun kemudian, angka syarikat keselamatan melonjak kepada 751 buah. Menurut laporan The Star, daripada 400,000 orang pengawal keselamatan, 150 ribu adalah pendatang asing yang haram!

Masalah di sebaliknya mencerminkan transformasi politik UMNO dari segi pengagihan kepentingan. Pada tahun 1980-an, UMNO menyalurkan kepentingan melalui pembinaan infrastruktur, misalnya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Pada tahun 1990-an, UMNO bergantung kepada penswastaan syarikat utiliti, misalnya Penjana Tenaga Bebas (IPP). Pada tahun 2000-an, kepentingan diagihkan kepada pimpinan UMNO pelbagai peringkat melalui pemberian kontrak projek, lesen, permit dan sebagainya.

Begitu juga dengan syarikat keselamatan. Syarat untuk memperolehi lesen agak ketat sebermulanya, dihadkan kepada bekas pegawai tinggi PDRM atau ATM, tetapi dilonggarkan kemudian dengan pegangan 30% ekuiti saham syarikat oleh pegawai tersebut, dan lebih longgar selepas itu.

Syarikat keselamatan hanya memerlukan modal berbayar RM300 ribu. Keuntungan diperah dari kos buruh asing yang rendah – bayangkan, mereka membantah gaji minima RM700 untuk pengawal keselamatan pada tahun 2011. Mereka memberi alasan bahawa tiada warga Malaysia yang sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan. Saya menolak alasan sedemikian kerana seandainya ditawarkan gaji bulanan RM2,500, saya yakin ramai bekas anggota keselamatan yang sanggup menawarkan diri.

Semestinya kos keselamatan akan melonjak, tetapi pada masa yang sama ia memaksa rakyat untuk memikirkan secara serius tentang reformasi PDRM. Daripada bergantung kepada pengawal keselamatan peribadi upahan, lebih baik peruntukan ditambah untuk memperbaiki kebajikan PDRM, agar mereka menawarkan perkhidmatan yang lebih profesional.

Ringkasnya, Norazita mati kerana dasar kerajaan, ketamakan elit pemerintah yang lebih mementingkan pengagihan permit dan lesen tanpa kesungguhan untuk mengkaji situasi penjenayahan yang serius. Norazita mati kerana tiada reformasi institusi polis untuk menumpukan tenaga dalam pembasmian jenayah, dan beliau mati kerana kepentingan kroni didahulukan daripada kepentingan rakyat.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More