Apakah tugas sebenar Ahli Parlimen?

Seandainya anda menaruh harapan agar parlimen berfungsi untuk meluahkan suara rakyat dengan sepenuhnya, memberi kesan positif sepanjang proses penggubalan dasar, maka dewan perundangan kita sudah tentu mengecewakan anda.

Persidangan mesyuarat dewan rakyat tahun ini berakhir pada 5 Disember, dan mesyuarat akan ditangguh sehingga Mac 2014. Dewan bersidang tiga kali setahun, biasanya pada Mac, Jun dan akhir tahun (untuk belanjawan). Tempoh persidangan mesyuarat biasanya 70 hari setahun. Dewan bersidang untuk 80 hari pada tahun 2010 lantaran perbahasan Rancangan Malaysia ke-10, dan 50 hari untuk tahun ini kerana kesemua sidang mesyuarat berlangsung hanya selepas PRU 13 pada 5 Mei. Di Britain dan Australia, parlimen bersidang selama 150 hari setahun, dan banyak negara demokrasi bersidang hampir sepanjang tahun, setelah ditolak cuti musim panas dan sejuk.

Pada pagi 4 Disember, ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengemukakan usul tergempar agar isu banjir di Kuantan dibahaskan tanpa notis 24 jam. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin kali ini agak murah hati untuk membenarkan usul tergempar ini dibacakan dalam dewan, kerana kebanyakan masanya usul tergempar dari pembangkang ditolak terus di dalam kamar.

Berkali-kali ahli parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin bangkit mencelah, dengan sindiran bahawa Fuziah seharusnya bersama rakyat di tempat kejadian banjir, seolah-olah sesuatu yang memalukan seandainya Fuziah masih berada di dalam dewan.

Sementara itu, ketika respon kepada soalan mengapa parlimen Malaysia tidak mempunyai sistem jawatankuasa, Pandikar Amin memberi alasan bahawa situasi Malaysia berbeza dengan negara lain, di mana pengundi kita menuntut agar wakil rakyat turun padang. Menurut beliau, sukar juga untuk dipanjangkan tempoh sidang mesyuarat parlimen di Malaysia.

Kenyataan Bung dan Pandikar dalam nada yang berbeza mendendangkan kesimpulan yang sama bahawa tugas wakil rakyat adalah untuk bersama rakyat di kawasannya. Sama ada dewan bersidang atau tidak, apapun yang diperbahaskan dalam parlimen, seolah-olah tidak memberi kesan yang nyata.

Apakah masalahnya? Selalunya pengundi berharap untuk berjumpa dengan wakil rakyat, dan untuk menang dalam pilihan raya, ahli parlimen terpaksa menemui rakyatnya setiap masa. Asal susuk tubuhnya ditemui pengundi, ahli parlimen tidak kisah, sama ada diminta untuk menjalankan tugas yang barangkali seharusnya dijalankan ADUN atau ahli majlis tempatan. Masalahnya, parti pemerintah mahupun sistem birokrasi tidak mahu ahli parlimen terlibat dalam penggubalan dasar. Untuk mereka, parlimen sekadar “rubber stamp” untuk mengiyakan keputusan parti pemerintah dan sistem birokrasi.

Cuba kita fikir dari sudut ini. Seandainya sidang parlimen disiarkan secara langsung, dan jawatankuasa parlimen ditubuhkan, malah “sesi pendengaran” dalam jawatankuasa parlimen yang penting juga diberi liputan media; dan perbahasan parlimen, hasil rundingan pemerintah dan pembangkang dalam jawatankuasa parlimen mampu mengubah dasar, memberi tekanan sehingga pegawai yang gagal melaksanakan tugasnya diberhentikan, menjamin lebihan kos tidak berlaku dalam kementerian – maka pengundi akan “menemui” wakil rakyatnya yang bertugas dan memainkan peranan dalam dewan melalui siaran televisyen atau laporan media. Jadi, apakah pengundi akan mempunyai permintaan yang berbeza terhadap wakil rakyatnya?

Cuba ambil kes Fuziah sebagai contoh. Seandainya parlimen meluluskan usul tergempar untuk membahaskan isu banjir, maka menteri berkenaan terpaksa berdepan dengan tekanan dari seluruh Malaysia. Justeru itu banjir di Kuantan akan ditangani sebagai bencana negara yang harus diberikan bantuan sepenuhnya, dan kesannya semestinya lebih besar berbanding ahli parlimen secara individu balik ke Kuantan untuk bersama rakyat.

Mengapa jawatankuasa parlimen penting? Dalam dewan perundangan di serata dunia, perbahasan antara ahli dewan sedikit sebanyak mengandungi unsur “lakonan”. Namun demikian, hal ehwal negara terlalu rumit, dan jentera negara terlalu besar untuk diselesaikan hanya melalui silat lidah. Justeru itu, parlimen negara lain akan menubuhkan jawatankuasa parlimen supaya ahli dewan kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang boleh terlibat sepanjang penggubalan undang-undang dan dasar, malah memantau pentadbiran dan kewangan sistem birokrasi.

Bayangkan, seandainya 24 kementerian dibahagikan kepada 12 jawatankuasa parlimen yang ditubuhkan, dan ahli parlimen sama ada pemerintah mahupun pembangkang dikhususkan untuk menganggotai jawatankuasa masing-masing, maka perbincangan, penggubalan dan pemantauan sesuatu dasar boleh dijalankan secara lebih khusus dan terperinci.

Perbahasan belanjawan terdiri daripada dua peringkat, iaitu peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa. Sistem parlimen sedia ada tidak mengkhususkan ahli dewan ke dalam jawatankuasa. Biasanya perbahasan peringkat jawatankuasa mengambil masa 18 hari (dipendekkan kepada 11 hari untuk tahun ini), untuk 24 kementerian sedia ada. Tempoh perbahasan dipendekkan dan waktu sidang mesyuarat dilanjutkan hingga lewat malam.

Seandainya ahli dewan dikhususkan ke dalam jawatankuasa masing-masing, dan jikalau kita gabungkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri di bawah Jawatankuasa Parlimen Keselamatan, misalnya, maka ahli dewan akan mempunyai 18 hari (mengikut kebiasaan) untuk membahas belanjawan dua kementerian, dengan purata 9 hari untuk setiap kementerian. Ini bermaksud lebih masa diperuntukkan bagi memperincikan setiap butiran belanjawan, malah ahli dewan pemerintah yang tidak berjawatan dalam kerajaan, dan pembangkang dilatih untuk menguasai kementerian tertentu – menyediakan bakat untuk menerajui kementerian pada masa depan. Lebih-lebih lagi, dengan perbincangan yang berterusan dalam jawatankuasa ini, lebih muafakat dibina antara pemerintah dan pembangkang.

Jadi, apa lagi alasan parlimen menolak pembaharuan ini? Yang Dipertua Dewan Rakyat, ini kalilah!

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More