Putrajaya: Daripada Mahathir dan Untuk Mahathir

 

Putrajaya milik siapa

Tahun 2013 disambut dengan harapan. Puluhan ribu manusia membanjiri Stadium Merdeka pada 12 Januari, mengidamkan “kemerdekaan kedua” melalui kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU13. Lantas kita berhempas-pulas untuk menjayakan cita-cita ini. Segala-galanya berlaku secara tergesa-gesa, termasuk selepas PRU13 apabila siri himpunan diadakan untuk memprotes penipuan dalam pilihan raya.

Dalam keadaan yang tergesa-gesa inilah saya menerbitkan sebuah buku kecil berjudul “Putrajaya Milik Siapa?”. Padahal artikel ini bermula dengan assignment dalam bahasa Inggeris untuk kelas Psychological Perspective on Politics semasa saya menuntut di Australian National University pada tahun 2002, kemudiannya ditulis dalam bahasa Cina pada tahun 2003, ketika Tun Dr.Mahathir Mohamad berundur sebagai Perdana Menteri yang menerajui tampuk kuasa selama 22 tahun. Artikel ini diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia, dan disesuaikan dengan konteks politik terkini menjelang PRU13.

Untuk saya, kita perlu memahami Putrajaya sebelum menawan Putrajaya. Bertitik tolak dari pembedahan peta kuasa lakaran Mahathir, kita membayangkan masa depan Malaysia di luar kerangka Mahathirisme. Padahal Putrajaya adalah satu projek daripada Mahathir, oleh Mahathir dan untuk Mahathir. Sudah tiba masanya rakyat melakar peta politik yang dimiliki rakyat. Untuk tujuan ini, kita perlu berdepan dengan Mahathir, pencipta Putrajaya.

Kos pembinaan Putrajaya?

Kos pembinaan Putrajaya kekal misteri sehingga kini. Anggarannya pada tahun 1995 mencatat RM20 bilion, melonjak kepada RM26 bilion sebelum kemelut ekonomi pada tahun 1997, dan tiada lagi maklumat selepas itu. Lebih menarik, kos pembinaan kediaman rasmi PM yang menyaksikan “perubahan” dramatik. Angka RM200 juta dilontarkan buat kali pertama dalam PRK Arau pada Julai 1998 oleh PAS. Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri ketika itu, menyanggah tuduhan tersebut dengan memberikan angka RM17 juta. Anwar Ibrahim yang dipecat pada 2 September 1998, mengulangi angka RM200 juta sebelum ditangkap pada malam 20 September.

Timbalan Menteri JPM kemudiannya “memperbetulkan” angka RM17 juta kepada RM17.5 juta, tetapi menambah bahawa kemudahan awam untuk kediaman rasmi PM menelan RM57.9 juta, membawa kepada jumlah RM75.4 juta. Angka ini terus ditambah atas nama kos “software” pada tahun 1999, sehingga mencecah jumlah RM120.4 juta. Namun, satu angka telah diperolehi tanpa diduga, apabila firma arkitek yang bertanggungjawab merekabentuk Seri Perdana memfailkan saman terhadap kontraktor utama di mahkamah pada tahun 2002. Jumlahnya RM110 juta, tidak termasuk kos “software”. Ahli parlimen Kubang Kerian ketika itu, Husam Musa (Naib Presiden PAS sekarang) mengambil kesempatan untuk mengajukan soalan dalam parlimen, dan akhirnya JPM mengakui bahawa kos pembinaan kediaman rasmi PM adalah RM201 juta – RM1 juta lebih daripada dakwaan Anwar Ibrahim!

Hujahan bahawa kediaman rasmi Perdana Menteri adalah institusi penting untuk negara kita kurang tepat. 10 Downing Street dan White House adalah pejabat di mana ketua negara bekerja. Pejabat rasmi Perdana Menteri Malaysia terletak dalam Bangunan Perdana Putra.

Mengapa Putrajaya?

Barangkali lonjakan lebihan kos telah menjadi budaya kita. Persoalannya, apakah munasabah di sebalik pembinaan Putrajaya? Kita memetik salah satu alasan kerajaan Barisan Nasional untuk menjustifikasikan pembinaan Putrajaya ketika itu, iaitu memindahkan pejabat kementerian kerajaan dari Kuala Lumpur, sebagai penyelesaian untuk kesesakan populasi dan jalan raya di ibu kota tersebut.

Kita hanya mampu tersenyum pahit melihat keadaan jalan raya di Kuala Lumpur pada hari ini. Padahal populasi Kuala Lumpur hanya mencatat 1.4 juta pada tahun 2000, dan kira-kira 1.6 juta pada tahun 2012 (ramai yang memasuki Kuala Lumpur sebenarnya bermastautin di Selangor). Angka ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan kota seperti Bangkok dan Jakarta, yang mencatat angka belasan juta populasi. Lebih-lebih lagi, kesesakan lalu lintas tidak semestinya mempunyai hubungan langsung dengan pertambahan populasi, tetapi bilangan kereta peribadi yang terlalu banyak, lantaran sistem pengangkutan awam yang pincang!

Jelas, pembinaan Putrajaya tidak menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur, malah Putrajaya mengalami masalah parkir yang tidak mencukupi kerana ketiadaan sistem pengangkutan awam yang baik. Maka faktor “praktikal” di sebalik pembinaan Putrajaya amat dipertikaikan. Membina bangunan untuk masa depan juga bukan alasan yang bernas, kerana siapakah yang mampu menganggarkan secara tepat keperluan pada 100 tahun, malah 1,000 tahun akan datang? Perlu diingatkan bahawa pelabur utama Putrajaya adalah Petronas, Khazanah Holdings dan Kumpulan Wang Amanah Negara. Jikalau pendapatan daripada sumber alam semulajadi digunakan untuk pelaburan projek yang tidak diperlukan, bukankah ia satu ketidakadilan pengagihan sumber untuk generasi akan datang – kerana mereka bakal terbeban dengan hutang generasi sebelumnya?

Kerana Mahathir!

Projek Putrajaya diketengahkan ketika kewibawaan politik Mahathir berada pada kemuncaknya. Mahathir mengalami saat-saat genting sepanjang hayat politiknya pada tahun 1969, dipecat dari UMNO lantaran kritikannya terhadap Tunku. Beliau berdepan dengan saingan sengit Tengku Razaleigh pada tahun 1987, dan PRU tahun 1990. Namun kuasa Mahathir sampai ke puncaknya setelah Wawasan 2020 dicanangkan, ditambah pula dengan pembangunan ekonomi yang memesat ketika itu.

Faktor-faktor ini memberi laluan kepada pemusatan kuasa dalam tangan Mahathir, sehingga projek Putrajaya seolah-olah “dirahsiakan” dari pengetahun awam. Upacara pecah tanah dijalankan pada 29 Ogos 1995, sebelum Rang Undang-Undang Perbadanan Putrajaya diperdebatkan dalam Dewan Negara pada 4 September 1995, dan diperkenan Yang Di-Pertuan Agong pada 19 Oktober 1995.

Apa yang berlaku sebelum ini, kerajaan telah melantik enam syarikat penasihat untuk mengkaji konsep pusat pentadbiran kerajaan persekutuan bersama jabatan teknikal kerajaan. Dalam tempoh tiga bulan, beberapa konsep ini dibentangkan kepada Mahathir, bukan kabinet dan bukan parlimen. Mahathir akhirnya memilih konsep A City in Garden (Kota Dalam Taman). Kaitan rapat antara Mahathir dengan Putrajaya bukan lagi rahsia, malah Mahathir sendiri tidak menyelindung keghairahannya terhadap realiti bahawa dirinya mendominasi perekaan Putrajaya.

Kesemua ini meyakinkan kita bahawa perancang dan pereka utama Putrajaya adalah Mahathir. Jadi, kita perlu meneliti lakaran peta kuasa Mahathir melalui penempatan bangunan di Putrajaya. Perdana Putra adalah bangunan yang paling mustahak jikalau dikaji dari segi ketinggian dan kedudukannya di pusat. 50 meter dari aras laut, dikelilingi Tasik Putrajaya – sesiapa yang menjejak kakinya ke Putrajaya sudah pasti akan terkagum dengan bangunan yang tersergam di situ. Dengan pejabat PM di tingkat lima, Mahathir telah menguasai Putrajaya secara simbolik.

Bukan itu sahaja, mengkaji apa yang tersisih dari Putrajaya juga tidak kurang pentingnya. Anda mungkin tersenyum jika saya memetik hujah Allahyarham Tunku Abdul Rahman ketika mengulas penubuhan UMNO Baru oleh Mahathir, “Memecat orang dari mana-mana organisasi adalah sesuatu yang lumrah. Ia berlaku di mana-mana organisasi. Tetapi apa yang dilakukan Dr.Mahathir adalah melakukannya (memecat) dengan menubuhkan sebuah parti baru.”

Parlimen dan Istana Negara tidak dimasukkan ke dalam peta Putrajaya. Istana Melawati hanya “Istana Hinggap” untuk Yang Dipertuan Agong ketika baginda berada di Putrajaya, menurut Mahathir. Barangkali kita akan lebih faham jikalau didedahkan kos pembinaannya, iaitu RM120 juta – jelas lebih rendah berbanding RM201 juta untuk kediaman rasmi PM.

Mungkin ada yang menganggap bahawa Putrajaya adalah “Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan”, atau dengan bahasa yang mudah, tempat kerajaan bekerja. Istana Negara dan Parlimen bukan institusi yang “bekerja”, dari kaca mata Mahathir. Apa yang menarik di sini, Istana Kehakiman pula dirangkumi ke dalam Putrajaya! Mengimbas kembali krisis kehakiman pada tahun 1988, barangkali cabang kuasa ini telah terangkum sebagai sebahagian daripada kuasa eksekutif!

Atas nama Putra?

Kajian terhadap Putrajaya tidak sempurna tanpa kita mengendalikan misteri bagaimana Putrajaya dinamakan. Semua catatan rasmi menunjukkan bahawa kota ini dinamakan untuk memperingati PM pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Namun, pada masa yang sama, kita tahu permusuhan antara Mahathir dengan Tunku. Persoalannya, mengapa Mahathir menamakan kota yang dibinanya dengan nama musuhnya?

Pertembungan antara Mahathir dengan Tunku berlaku sekurang-kurangnya empat kali. Hubungan antara Mahathir dengan Tunku menjadi jelas seandainya kita meneliti nasib bangunan-bangunan yang direka Tunku untuk Malaysia, termasuk Masjid Negara, Universiti Malaya, Stadium Merdeka, Stadium Negara, Muzium Negara, Tugu Negara, Parlimen dan Lapangan Terbang Subang.

Hanya tiga yang masih sempurna dan tidak diusik, iaitu Universiti Malaya, Muzium Negara dan Parlimen. Masjid Negara kini berdepan dengan “saingan” Masjid Putra yang mampu menampung 15 ribu orang makmum. Untuk Tugu Negara pula, satu monumen setinggi 68 meter, dinamakan “Monumen Alaf Baru” telah dibina di Presint 2, Putrajaya dengan kos RM21 juta. Jikalau tidak berlakunya kemelut ekonomi pada tahun 1997, kedua-dua Stadium Merdeka dan Stadium Negara mungkin telah diratakan. Lapangan Terbang Subang hanya beroperasi sehingga tahun 2002 setelah KLIA mula digunakan pada tahun 1997.

Justeru itu, kita tertanya-tanya, apakah “Putra” itu benar merujuk kepada Tunku, dalam hati Mahathir?

Tunku adalah Putera negeri Kedah, sementara Mahathir adalah rakyat jelata negeri Kedah. Mahathir juga PM pertama dari kalangan rakyat jelata. Ramai menganggap Mahathir anti-feudalisme berdasarkan usahanya untuk menghakis kuasa pemerintah Melayu sebanyak dua kali. Namun, Mahathir tidak semestinya seorang penganut republik yang menolak monarki mahupun feudalisme. Beliau sekadar memperlekehkan pemerintah Melayu.

Seorang lagi penulis biografi Mahathir, Robin Adshead mengingatkan kita bahawa wira dalam hati Mahathir semasa zaman kanak-kanaknya termasuklah Peter the Great dari Russia, dan Emperor Meiji dari Jepun. Mahathir mengkagumi kejayaan mereka untuk membangunkan sesebuah negara dari mundur ke maju. Dari susuk mereka Mahathir nampak dirinya.

Siapakah Putra? Dinamakan dengan nama Tunku, barangkali untuk memperlihatkan penguasaan Mahathir dalam penafsiran “warisan” Tunku, lantas menewaskan Tunku. Namun, jikalau dibaca buku ini dari awal hingga akhir, malah mengambil kira pertimbangan bahawa semua bangunan yang berkaitan dengan PM di Putrajaya, dinamakan Putra… Besar kemungkinan, Mahathir adalah Putra – The Prince ala Machiavelli di Malaysia!

(Putrajaya Milik Siapa? boleh dibeli di kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya dengan harga RM10, atau hubungi Gentamedia.com 03-92818105)

*Liew Chin Tong ialah ahli parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi dengan supportlct@liewchintong.com

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More