Mencari jalan keluar dari kebuntuan

Mencari jalan keluar dari kebuntuan

Keputusan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bertanding dalam PRK Kajang mengundang pertikaian yang mengombak. Pertarungan Kajang barangkali cabaran paling sengit, pertaruhan paling berisiko untuk Anwar sepanjang hayat politik yang berdekad-dekad lamanya. Sedikit sebanyak beliau merasakan dirinya diasak dari luar dan dalam – memandangkan keputusan tidak popular ini turut ditentang masyarakat sivil. Tetapi untuk saya, pertarungan ini adalah keperitan yang wajib ditanggung dalam proses Pakatan Rakyat mencari jalan keluar dari kebuntuan selepas PRU13.

Sahabat saya Wong Chin Huat, mengingatkan saya bahawa saya telah mencadangkan Anwar agar bertanding untuk kerusi DUN Selangor pada tahun 2005, sebagai langkah kembali ke pusat persekutuan melalui pentadbiran Selangor. Anwar masih tidak dibenarkan untuk bertanding pada ketika itu lantaran sekatan perundangan, dan hanya dipulihkan kelayakannya selepas April 2008.

Pandangan saya ketika itu didasari dua faktor yang utama. Pertama, dalam sistem politik Malaysia, meskipun bidang kuasa seseorang Menteri Besar sangat terbatas, tetapi martabat seseorang MB yang bergelar Yang Amat Berhormat agak setara dengan seseorang Perdana Menteri dari kaca mata khalayak ramai, khususnya masyarakat Melayu.

Post-mortem sekretariat Pakatan Rakyat mengesahkan andaian ini. Pola pengundian Melayu pada PRU13 tidak bersifat nasional. Undi untuk Pakatan melambung tinggi di negeri Terengganu dan Perlis kerana pergelutan dalaman UMNO untuk menggulingkan calon Menteri Besarnya; undi yang diperolehi Pakatan di negeri Kedah menurun kerana sentimen rakyat terhadap mantan MB; sementara pola pengundian Melayu di negeri lain naik turun secara tidak konsisten. Jelas, pola pengundian Melayu tidak memihak kepada Pakatan di beberapa negeri yang mana tiada calon MB yang terserlah ditawarkan.

Politik masyarakat Cina agak bersifat nasional sejak awal lagi, iaitu polanya agak konsisten di seluruh negara. Wacana politik masyarakat India selepas kebangkitan Hindraf juga memperlihatkan sifat nasionalnya, tetapi unsur kenegerian tetap penting untuk politik masyarakat Melayu.

Kedua, dalam politik, ia merupakan sesuatu yang agak jauh untuk meninjau 1998 dari tahun 2005. Pada tahun 2005, Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi masih berada pada kemuncak politiknya, dengan menguasai 91% kerusi parlimen dan 64% undi popular. Gerakan pembangkang Malaysia pada ketika itu sungguh malap. Apa yang bermain dalam fikiran saya ketika itu adalah – pada tahun 2008, rekod Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah kisah 10 tahun lalu, yang tidak dialami sendiri pengundi muda. Oleh itu, Anwar memerlukan rekod baru dalam kerjaya politiknya.

Biar kita mengimbas statistik. Pada tahun 2008, jumlah pemilih berdaftar mencatat 10 juta (10,740,227 orang), dengan 76% keluar mengundi. Pada tahun 2013, jumlah pemilih berdaftar melonjak kepada 13 juta (13,268,002 orang), namun masih terdapat kira-kira 3 juta orang pengundi yang sudah memenuhi kelayakan usia 21 tahun, tapi belum berdaftar sebagai pemilih. Ditambah pula dengan penambahan 500 ribu warga berusia 21 tahun setiap tahun, maka jumlah pemilih mungkin menjangkau 18 juta orang pada tahun 2018 – hampir sekali ganda lebih berbanding tahun 2008.

Seandainya PRU14 diadakan pada tahun 2018, maka bayi yang berumur satu tahun ketika Anwar dipecat pada tahun 1998 akan memenuhi kelayakan pengundi pada usia 21 tahun. Pengalaman tahun 1998 telah menjadi kisah 20 tahun dahulu. Betapa rancak sekalipun pergolakan politik pada tahun 1998, kita perlu menterjemahkan semangat Reformasi ketika itu ke dalam wacana dan dasar, malah prestasi pentadbiran kita pada hari ini – untuk meyakinkan pengundi baru terhadap Pakatan. Untuk berdepan dengan situasi ini pada masa depan, kita harus memandang berat suara pengundi baru, dan memimpin wacana yang baru.

Parti pemerintah dan pembangkang masing-masing mencari jalan keluar dari kebuntuan selepas PRU13. PM Najib Razak gagal menemui penyelesaiannya, malah tidak mempunyai idea baru. Dari segi pengurusan ekonomi, beliau mencetus rungutan rakyat sehingga popularitinya semakin merudum, dan mula diasak oleh puak Mahathir Mohamad. Anwar juga menemui kebuntuan selepas 5 Mei 2013, dan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor tidak boleh terus bergelut dalam kekecohan yang tidak berpenghujung.

Dalam politik, kita sebenarnya mundur jikalau tidak mara ke depan. Formula untuk Pakatan memenangi 51% undi dalam PRU13 tidak memadai untuk menjanjikan kemenangan Pakatan dalam PRU14. Pakatan perlu mempunyai kecemerlangan yang terserlah dalam wacana dan prestasi politik jikalau mahu mengekalkan 51% undi popular yang asal, dan menawan undi yang kunci di atas pagar.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah ini masa yang sesuai? Untuk saya, bertolak dari sekarang lebih baik dari menunggu dua tahun lagi. Kita akan terlewat dan tidak sempat untuk memperbaiki keadaan seandainya terus menunggu. Ada yang bertanya lagi, apakah “martabat” Anwar direndahkan? Jawapnya tidak – ia bukan penurunan darjat, tetapi sekadar strategi politik berperingkat untuk mengepung pusat persekutuan dengan negeri – melainkan kita tidak mahu lagi Anwar untuk menjadi calon PM Pakatan Rakyat dalam PRU14.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More