Dewan Undangan Negeri Johor berperanan untuk ” menyemak dan mengimbangi” badan eksekutif

Pakatan Rakyat Johor di DUN Johor

Kenyataan Media Pakatan Rakyat Johor pada 20 Februari 2014 di Lobi Dewan Undangan Negeri Johor, Kota Iskandar, Nusajaya

Negara kita mengamalkan sistem kerajaan Demokrasi Berparlimen atau juga dikenali sebagai sistem Westminister yang berasal daripada Britain. Dalam sistem Demokrasi Berparlimen ini doktrin pengasingan kuasa merupakan tonggak yang mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memberi perlindungan undang-undang kepada setiap rakyat. 
 
Menurut doktrin ini, Dewan Negeri sebagai badan perundangan bukan sahaja berfungsi menggubal undang-undang untuk negeri tetapi juga berfungsi menyemak dan mengimbangi (check and balance) badan eksekutif. Bagaimana pun, fungsi dan peranan Dewan yang mulia ini semakin terhakis sehingga kadang-kala Dewan dilihat sebagai cop getah (rubber stamp) badan eksekutif atau kerajaan. 
 
Oleh yang demikian, peranan dan fungsi Dewan Negeri haruslah diperkasakan supaya tidak lagi dilihatkan sebagai cop getah tetapi suatu platform untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan betul-betul membawa manfaat kepada rakyat dan masalah rakyat akan dibincang dan diselesaikan melalui platform ini. 
 
Kita perlu sedar bahawa Dewan Negeri Johor merupakan Dewan yang pertama dan paling bersejarah di negara kita yang mana sejarahnya lebih lama daripada Parlimen. Maka Dewan kita ini haruslah menjadi model kepada Dewan-dewan yang lain dan lebih ke hadapan supaya terus menjadi Dewan yang terulung di negara kita.
 
Usaha untuk memperkasakan Dewan Negeri adalah begitu penting dan haruslah dimulakan dengan secepat yang mungkin. Sebagai langkah pertama kita haruslah memberikan pengiktirafan rasmi terhadap kedudukan ketua pembangkang dalam Dewan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya supaya pengiktirafan ini bukannya sesuatu hiasan tetapi sesuatu tugas rasmi yang dapat berfungsi dengan berkesan.
 
Salah satu alasan yang mungkin timbul ialah pengiktirafan ini melibatkan proses pindaan Undang-undang Tubuh Negeri yang memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada Ahli Dewan Negeri (ADN). Kami melihatkan perkara ini langsung tidak menjadi suatu isu di mana ADN Barisan Nasional seramai 38 orang ini telah memenuhi had minimum untuk membuat pindaan Undang-undang Tubuh Negeri. 
 
Tambahan pula, kesemua 18 orang ADN daripada Pakatan Rakyat bersedia menyokong pindaan ini. Dengan kata lain, tiada alasan lain bagi pihak kerajaan untuk menolak cadangan ini dan enggan mengiktirafkan kedudukan Ketua Pembangkang mengikut tradisi berparlimen Westminister. 
 
Pada masa yang sama, kami juga menyarankan supaya masa persidangan Dewan Negeri haruslah diperbanyakkan supaya lebih masa diperuntukkan untuk membahaskan perkara-perkara yang penting dan berkait rapat dengan kepentingan rakyat. 
 
Kami berpendapat bahawa persidangan satu hari yang memperuntukkan waktu persidangan sebenar yang hanya beberapa jam sahaja tidak dapat mengoptimasikan fungsi dan peranan Dewan Negeri sebagai badan perundangan yang menyemak dan mengimbangi badan eksekutif. Hal ini jelas kelihatan apabila Dewan meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan secara tergesa-gesa tanpa melalui proses perbahasan. 
 
Selain itu, beberapa isu baru-baru ini seperti pemindahan perkampungan orang asli di Gunung Arong, Mersing, projek penambakan laut yang dijalankan di perairan Tanjung Kupang, peristiwa kematian misteri puluhan ribu ikan di perairan Tanjung Kupang, kekontangan sumber air di daerah Kluang dan lain-lain isu yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat juga tidak dapat diperbahaskan dalam Dewan Negeri. 
 
Keadaan seperti ini telah menyebabkan isi hati penduduk yang terbabit dan masalah yang dihadapi mereka tidak diberikan perhatian yang secukupnya. 
 
Pendek kata, persidangan satu hari ini telah memberikan gambaran bahawa persidangan ini diadakan semata-mata untuk bersidang bagi memenuhi kehendak teknikal sahaja, sperti mana yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap. 
 
Ini telah memperkukuhkan lagi gambaran Dewan Negeri hanyalah cop getah (rubber stamp) kepada badan eksekutif yang mana segala yang dihasratkan oleh pihak eksekutif akhirnya akan tercapai dan persidangan Dewan Negeri hanyalah sesuatu proses untuk meluluskannya. 
 
Kami juga amat prihatin dengan desas-desus yang mengatakan bahawa sebuah kasino akan dibina di negeri Johor. Kami mendesak kerajaan Negeri Johor supaya memberikan jaminan kepada semua rakyat bahawa kerajaan Negeri tidak akan membenarkan sebarang pembinaan kasino di mana-mana pelosok di Negeri Johor.
 
Kita perlu sedar bahawa pembinaan kasino akan membawa impak yang besar kepada sosio ekonomi negara kita secara amnya dan rakyat Johor secara khususnya. Adalah dijangkakan pelbagai masalah sosial yang akan memusnahkan institusi keluarga akan timbul jika wujudnya sebuah kasino di negeri Johor. 
 
Perkara ini tidak seharusnya dipandang semata-mata dari segi keagamaan sahaja. Kegiatan berjudi juga merupakan sesuatu kegitan yang tidak produktif. Dengan kata lain, perjudian tidak dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan masyarakat atau tidak dapat menghasilkan sebarang produk sahih yang membawa manfaat kepada masyarakat. Sebaliknya, perjudian akan menyebabkan produktiviti masyarakat kita merosot dan kehilangan daya saing. 
 
Atas sebab-sebab ini, sekali lagi kita mendesak kerajaan Negeri Johor memberi jaminan kepada seluruh rakyat Johor bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang pembinaan kasino di negeri Johor. 
 
 
YB Hj Aminolhuda bin Hj Hassan, Pesuruhjaya PAS Johor
YB Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Negeri Johor
Steven Choong, Timbalan Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat
Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More