Takziah kepada keluarga lapan mangsa tragedi pelajar meninggal dunia kerana lemas di Sungai Muar, Buluh Kasap, Segamat, Johor

Buloh Kasap lemas

Kenyataan Media Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor dan Ahli Parlimen Kluang, 22 Februari 2014 di Kluang, Johor

Saya bagi pihak DAP Negeri Johor ingin menzahirkan simpati dan rasa dukacita yang amat kepada seluruh keluarga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap, yang menjadi mangsa lemas di sungai Muar semalam.

Tragedi menyayat hati ini bukan sahaja amat mendukacitakan kita sebaliknya mengundang rasa bimbang dengan tahap keselamatan anak khususnya diluar waktu persekolahan yakni diluar kawasan sekolah.

Mangsa bukan sahaja anak kepada keluarga mereka malah semua mangsa adalah aset penting negara yang pastinya bakat dan potensi mereka akan diperlukan oleh negara tercinta suatu masa kelak.

Tragedi ini seharusnya menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat tidak kira sebagai ibu bapa, guru, pemimpin dan juga rakan-rakan untuk melihat aspek keselamatan sebagai unsur penting dalam kehidupan kita.

Kes yang membabitkan kematian pelajar akibat lemas bukanlah kes baru, sebaliknya ia berlaku saban tahun. Begitu juga dengan langkah-langkah kesedaran dan amaran telah pun diambil oleh semua pihak. Namun semua itu, nampak belum memadai untuk mengelak daripada berulangnya tragedi seperti ini.

Kita menyarankan kepada pihak keselamatan dan agensi berkaitan untuk mengenalpasti semua kawasan yang berbahaya atau kawasan yang terdedah kepada berlakunya kemalangan agar sentiasa dipantau dan jika perlu, ia mestilah diwarta sebagai kawasan larangan untuk orang awam termasuk pelajar sekolah.

Kawasan yang dimaksudkan termasuk kawasan sungai, tasik, lombong, tapak pembinaan, bangunan lama/usang, kawasan cerun berbahaya, bukit, hutan, kawasan muara, pantai dan sebagainya.

LIEW CHIN TONG
PENGERUSI DAP JOHOR

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles