Soalan Parlimen 14: Perbandingan antara hospital milik Kerajaan, GLC & Swasta

NO. SOALAN: 14

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT JAWAPAN OLEH YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

PERTANYAAN :LISAN
DARIPADA :YB TUAN LIEW CHIN TONG [KLUANG]
TARIKH :11 MAC 2014

SOALAN:
YB Tuan Liew Chin Tong [ Kluang ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan perbandingan antara hospital milik Kerajaan, GLC dan swasta daripada segi jumlah hospital, doktor, pakar perubatan,
jururawat, bilangan katil dan pesakit dari tahun 2001 hingga 2014.

Tuan Yang di-Pertua,

Hospital-hospital milik Kerajaan terdiri daripada hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hospital-hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Sehingga Disember 2012*, terdapat 147 buah hospital Kerajaan di seluruh negara, iaitu 140 buah hospital Kementerian Kesihatan, 4 buah hospital Kementerian Pertahanan dan 3 buah hospital Kementerian Pendidikan. Sementara itu, jumlah hospital swasta pula adalah 247 buah dan jumlah ini termasuk rumah bersalin swasta dan rumah jagaan kejururawatan swasta atau private nursing homes.

*Nota. Data tahun 2013 belum dapat dikeluarkan, tertakluk kepada pengesahan pihak yang berkaitan

Daripada jumlah kesemua hospital yang dinyatakan tadi, jumlah hospital sama ada hospital milik Kerajaan mahupun swasta didapati semakin bertambah dari setahun ke setahun sejajar dengan pertambaha penduduk negara. Bagi tempoh 2001 hingga 2012, bilangan hospital Kerajaan telah bertambah daripada 128 buah hospital pada tahun 2000 kepada 147 buah hospital pada tahun 2012, iaitu pertambahan 19 buah hospital dalam tempoh 11 tahun. Sementara itu, hospital swasta termasuk rumah bersalin swasta dan rumah jagaan kejururawatan swasta bertambah daripada 224 hospital pada tahun 2001 kepada 247 hospital pada tahun 2012, iaitu pertambahan 23 hospital dalam tempoh yang sama.

Sejajar dengan pertambahan bilangan hospital, bilangan katil juga bertambah. Pada tahun 2001, jumlah katil di hospital Kerajaan adalah 7,434 buah, namun pada tahun 2012, jumlah katil telah bertambah kepada 42,707 buah, iaitu pertambahan sebanyak 5,273 katil atau 14.7 peratus dalam tempoh 11 tahun. Hospital swasta juga mencatatkan pertambahan jumlah katil, iaitu daripada 9,949 buah katil pada tahun 2001 kepada 14,127 buah katil (pertambahan 4,178 buah katil atau 42.0 peratus) pada tahun 2012. Secara keseluruhan, bagi tempoh 2001 hingga 2012, jumlah katil di hospital Kerajaan melebihi jumlah katil di hospital swasta, iaitu antara 74.8 peratus hingga 79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan katil di kedua-dua sektor.

Dari segi profesyen perubatan, jumlah doktor dan jururawat yang berkhidmat di sektor Kerajaan dan swasta turut mencatatkan pertambahan. Sehingga Disember 2012, seramai 38,718 orang doktor berkhidmat di sektor Kerajaan dan swasta. Daripada jumlah tersebut, seramai 27,478 atau 71.0 peratus adalah doktor yang berkhidmat di sektor Kerajaan dan 11,240 atau 29.0 peratus adalah doktor yang berkhidmat di sektor swasta. Berbanding tahun 2001, jumlah doktor yang berkhidmat di kedua-dua sektor adalah 16,146, dengan 8,615 atau 53.4 peratus doktor di sektor Kerajaan dan 7,531 atau 46.6 peratus doktor di sektor swasta. Walau bagaimanapun, jumlah doktor yang berkhidmat di sektor Kerajaan merangkumi doktor pelatih, dan dianggarkan bilangan doktor pelatih adalah seramai 3,000 orang setahun.

Sementara itu, bagi tempoh yang sama, sejumlah 84,968 oran jururawat telah berkhidmat di kedua-dua sektor pada tahun 2012 dengan 56,089 orang atau 66.0 peratus adalah jururawat di sektor awam dan 34.0 peratus di sektor swasta. Berbanding tahun 2001, daripada 33,295 orang jururawat yang berkhidmat, sejumlah 24,543 orang jururawat atau 73.7 peratus adalah dari sektor Kerajaan manakala 8,752 orang jururawat atau 26.3 peratus dari sektor swasta.

Pertambahan bilangan hospital, katil dan profesyen perubatan yang dinyatakan di atas adalah bagi menampung keperluan rakyat yang mendapatkan rawatan dan perkhidmatan yang disediakan, sama ada di Hospital Kerajaan mahupun hospital swasta. Berdasarkan statistik yang dilaporkan, jumlah kemasukan pesakit dalam di wad-wad hospital KKM dari tahun 2001 hingga 2012 meningkat 42.9 peratus, iaitu daripada 1.63 juta pada tahun 2001 kepada 2.33 juta pada tahun 2012. Bagi hospital swasta pula, statistik yang diperoleh hanyalah mulai tahun 2007, di mana jumlah kemasukan pesakit dalam yang direkodkan adalah 754,378, meningkat 28.7 peratus kepada 971,080 pad a tahun 2012.
Jumlah kemasukan yang dinyatakan di atas merujuk kepada jumlah encounter dan bukannya jumlah pesakit.
Bagi kedatangan pesakit luar pula, hospital-hospital KKM mencatatkan 19.14 juta kedatangan pada tahun 2012 berbanding 9.20 juta pada tahun 2001. Hospital swasta pula merekodkan sejumlah 2.46 juta kedatangan pesakit luar pada tahun 2007 dan jumlah tersebut meningkat kepada 3.85 juta pada tahun 2012.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles