Air: Tingkatkan bekalan atau kurangkan permintaan?

Empangan Sembrong (BM)

Air menjadi istilah terhangat untuk dua minggu kebelakangan ini. Kluang, kawasan saya antara yang mengalami masalah kekurangan air paling ketara; kemudian pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan air Selangor, antara Menteri Besar Khalid Ibrahim dengan kerajaan persekutuan pula menjadi tumpuan umum. Jelas, isu pengurusan sumber air bukan sahaja memerlukan perhatian awam, tetapi juga wajar diteliti dengan perspektif baru.

Seandainya kita meneliti musim kemarau yang menimpa bumi kita kali ini, isu perubahan cuaca (climate change), pemanasan global tidak dirangkumi dalam agenda awam nasional kita. Projek pembinaan infrastruktur awam seperti empangan, penebat banjir, dan perancangan bandar masih diteruskan berdasarkan andaian terhadap permintaan dan pembekalan yang asal. Kita seolah-olah tidak bersedia untuk berdepan dengan sebarang perubahan yang mungkin berlaku lantaran perubahan cuaca yang baru.

Menurut akhbar, populasi penduduk negara kita kini mencecah 30 juta orang. Angka ini sudah tentu akan bertambah pada masa depan. Dari masa ke masa, pengurusan air dan sumber lain semakin menuntut pengendalian yang rapi.

Bagaimanapun, persoalan pokok dalam isu bekalan air dan elektrik adalah pilihan antara menambah bekalan atau mengurangkan purata permintaan. Dari sudut kroni yang mendahagakan kontrak, apa yang terfikir adalah pembinaan empangan baru apabila berdepan dengan masalah kekurangan air. Namun demikian, dari segi keberkesanan pengurusan sumber, pengendalian permintaan (demand management) adalah lebih penting. Hanya apabila permintaan diuruskan dengan baik (bukan meningkatkan pembekalan sewenang-wenangnya), barulah kesinambungannya terjamin.

Kluang adalah kawasan yang mengalami kekurangan air paling ketara di Johor. Catuan air telah dimulakan untuk tempoh lebih dua minggu. Persoalannya, Empangan Sembrong yang bertempat di Kluang dibina pada tahun 1984 sebagai penebat banjir. Empangan ini masih dikendalikan Jabatan Pengairan Dan Saliran. Kawasan di sekelilingnya digunakan untuk kegiatan pertanian dan penanaman – hampir tiada kawasan tadahan air yang dirizab untuk tujuan menyimpan air.

Secara ringkasnya, pembekalan air tidak hanya berkaitan dengan pembinaan empangan. Kita perlu memastikan kawasan hutan di sekitar empangan tidak terjejas fungsinya sebagai tadahan air, malah kita harus memberi perhatian agar air sungai tidak tercemar lantaran kegiatan industri.

Bertitik tolak dari sudut bahawa bekalan air bukan hanya membina empangan, air tidak berhasil (non-revenue water) menjadi tumpuan yang harus dipandang berat. Air tidak berhasil adalah air terawat yang ketirisan, atau dicuri sepanjang proses penyaluran. Air tidak berhasil di Selangor dan Johor kekal pada paras 30% ke atas. Seandainya ia boleh dikurangkan ke paras 15% sebagaimana yang dicatat Pulau Pinang, maka kita boleh mengurangkan kebergantungan terhadap empangan baru atau sumber air baru.

Berlatarbelakangkan konteks di atas, saya tidak bersetuju dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan air Selangor antara Menteri Besar Khalid Ibrahim dengan kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri Selangor telah membeli aset air dengan RM9.65 bilion dari empat syarikat konsesi air milikan kroni UMNO, kemudian kerajaan persekutuan akan memperuntukkan RM2 bilion untuk tujuan itu. Sungguhpun Khalid tetap mempertahankan kosnya pada angka RM9.65 bilion, tetapi saya percaya bahawa peruntukan RM2 bilion dari kerajaan persekutuan itu akan dibayar terus kepada empat syarikat konsesi. Maknanya, syarikat konsesi kroni memperolehi harga yang lebih tinggi, sungguhpun secara luaran kerajaan negeri Selangor hanya membayar harga yang disebut-sebut oleh Khalid Ibrahim.

Tetapi, apapun angkanya, ia ditanggung dengan dana daripada pembayar cukai. Setelah kerajaan Selangor mengambil alih aset air tersebut, ia akan dijual kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), dan kerajaan akhirnya akan membayar kos itu dengan penerbitan bon. Kerajaan persekutuan akan memajakkan aset air itu kepada kerajaan negeri, maka tarif air pada masa depan kemungkinan bukan lagi terikat pada kadar sekarang.

Menurut laporan The Edge, harga tersebut mungkin bukanlah angka muktamad, barangkali lebih tinggi daripada itu.

Memorandum tetap memorandum, bukan perjanjian, dan bukanlah muktamad. Namun sepanjang proses ini, Khalid telah melepaskan satu-satunya senjata kerajaan negeri Selangor dalam rundingan ini, iaitu kuasa pembinaan empangan Projek Langat 2. Sama ada Anwar Ibrahim bakal mengambil-alih jawatan Menteri Besar selepas ini, atau sama ada kerajaan persekutuan melaksanakan memorandum persefahaman ini, kroni pembina empangan telah menang lantaran pembidaan akan bermula untuk Projek Langat 2, dan akan dimulakan pembinaannya dalam tempoh 30 hari. Jikalau dilihat langkah BN mendesak agar MoU ini ditandatangani secara tergesa-gesa, kita percaya bahawa BN mungkin bimbang rancangannya tersekat seandainya Anwar mengambil alih jawatan MB Selangor kelak.

Akhir kata, pengurusan sumber air memerlukan perspektif baru, terutamanya untuk membebaskan diri dari stereotaip pembinaan empangan – sesuatu yang cuba dipahat dalam minda kita demi kepentingan ekonomi kroni.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles