Akta Air Minuman Bersih diperlukan untuk menyelesaikan kualiti air Johor

akta air minuman bersih (BM)

Kenyataan Media Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 30 Oktober 2014

Kluang 30 Okt- Sejak permulaan tahun 2014, penduduk Johor dilanda pelbagai masalah air, antaranya adalah masalah mutu bekalan air.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong mencadangkan bahawa kerajaan perlu membincangkan Rang Undang-Undang Air Minuman Bersih secara terbuka untuk menjamin kualiti bekalan air bukan sahaja di Kluang, malah Johor dan seluruh Malaysia.

“Kualiti air di Kluang agak teruk. Saya dimaklumkan bahawa kerajaan telah bercadang untuk menggubal Akta Air Minuman Bersih tetapi rang undang-undang ini belum dibincangkan secara terbuka,

“Saya rasa akta tersebut memang diperlukan, kita perlukan satu akta air minuman bersih supaya kita boleh menjaga kualiti air yang dibekalkan kepada rakyat jelata,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2015 peringkat dasar di parlimen.

Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang telah menerima banyak kes aduan tentang mutu bekalan air sejak kebelakangan ini. Antara aduan yang diterima adalah air paip berbau dan berwarna kuning.

Selain itu, Chin Tong juga meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk membanteras kegiatan pusat judi dengan tegas.

Ini kerana pertumbuhan pusat judi telah menyumbang kepada kenaikan kes-kes jenayah di Kluang.

“Semasa membuat tinjauan di kawasan Kluang dan berjumpa dengan pengundi, mereka akan mengadu bahawa salah satu penyumbang kes-kes jenayah adalah pusat judi atau pusat hiburan.

“Walaupun laporan media telah melaporkan bahawa Ketua Polis Negara mengarahkan supaya tindakan diambil terhadap perjudian haram, semakin banyak pusat judi baru seperti cendawan tumbuh lepas hujan walaupun operasi dan tindakan dijalankan,” kata beliau yang juga merupakan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.

Beliau juga meminta Kementerian Kerja Raya untuk membina pemisah di Jalan Batu Pahat antara Ayer Hitam dan Kluang yang sudah ditangguhkan banyak kali.

Ini adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan di Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles