
Pengorbanan Anwar mencerahkan generasi baru
- 2 November 2014
- Uncategorized
Saya berada di Universiti Malaya untuk menyaksikan kebangkitan generasi yang baru pada malam 27 Oktober 2014. Saya telah merasai momentum masyarakat zaman baru.
Jarang saya mengungkit bahawa saya juga adalah alumni UM, memperolehi Sarjana Antarabangsa dalam Integrasi Serantau dari Institut Asia-Eropah. Ini kerana saya hanya menggunakan tempoh setahun, iaitu antara tahun 2005 dengan 2006 untuk menghabiskan pengajian saya. Lebih-lebih lagi, saya telah mula berkecimpung dalam politik ketika itu. Keterlibatan saya dalam aktiviti kampus sudah tentu tidak setanding dengan mereka yang menghabiskan sepenuh masa untuk berada dalam kampus.
Saya menunggu di luar pintu UM bersama rakan saya. Hanya ratusan yang berada di situ. Mungkin itu sahaja angkanya, bisik dalam hati saya. Angka ini bukan kurang, cuma tidak cukup menggemparkan untuk diheboh-hebohkan. Malah, kebanyakan wajahnya adalah rakan-rakan seperjuangan, yang sering kali kita temui dalam gerakan sosial.
Pintunya telah dibuka mahasiswa. Anwar tiba kemudian, dan kami berjalan kaki untuk masuk ke dalam kampus. Pintu ini bagai mangga dalam hati kita, yang dibuka kuncinya secara tiba-tiba. Kejayaan kali ini meramalkan bahawa UM bakal menggalas semula misi sejarahnya, untuk menjadi pusat gerakan sosial, atau garis permulaan gerakan massa pada masa akan datang.
Dramatik sungguh taktik pihak universiti untuk menghalang kemasukan Anwar ke dalam kampus. Kuliah dibatalkan, elektrik pula terputus. Kesemua ini tidak masuk akal, mencetus kemarahan alumni dan siswa, sehingga menjurus kepada perhimpunan yang lebih besar.
Pendekatan pihak universiti ketika berdepan dengan Anwar ini bagaimanapun mencerminkan dilema golongan elit UMNO. Dalam sembang-sembang secara peribadi, ramai elit UMNO yang bermegah untuk mendakwa betapa mudahnya untuk mengesan kelemahan formula kepimpinan Anwar, lantas senang dipatahkan serangannya. Mereka kononnya begitu fasih dengan percaturan strategi politik Anwar, kerana dari Najib Razak, Muhyiddin Yassin hinggalah pemimpin Majlis Tertinggi UMNO pada hari ini, hampir semuanya pernah menjadi “orang Anwar”.
Namun ada bezanya antara Anwar dengan Najib. Pendekatan Najib tidak lain tidak bukan politik naungan yang menyuburkan kronisme dan nepotisme. Satu generasi pemimpin yang membesar bersama dalam zamannya – makan, minum dan berseronok bersama.
Apa bezanya Anwar? Anwar adalah antara pemimpin berkarisma yang menggalas harapan zamannya. Anwar disanjung dan dipuja sebagai Perdana Menteri akan datang. Semakin “irrelevant” Anwar dituduh mereka, semakin terdesak mereka untuk menyumbat semula Anwar ke dalam penjara. Mereka begitu gerun dengan gelombang Reformasi yang mungkin dicetuskan oleh seorang manusia bernama Anwar Ibrahim.
Ringkasnya, mungkin Anwar tidak sehebat itu. Namun apa yang pasti, golongan elit UMNO kesemuanya telah dijangkit sindrom “Anwar-fobia”.
Ratusan manusia di luar kampus menjadi ribuan apabila masuk bergabung dengan mereka yang menunggu di dalam kampus. Tiba-tiba saya ternampak diri saya pada tahun 1998. Saya nampak diri kita pada zaman Reformasi 1.0. Sudah tentu saya tidak akan terlibat dalam politik pada usia yang begitu muda, seandainya tahun 1998 tidak bergolak dibadai gelombang Reformasi. Saya hanya berusia 21 tahun pada tahun 1998. Malam ini, saya nampak wajah-wajah 20-an, sepanjang jalan menuju ke Dewan Tunku Canselor.
Saya agak terharu apabila Anwar mengisytihar bahawa beliau tidak akan melarikan diri ke luar negeri, biar apapun yang berlaku. Ini kerana watak-watak lain dalam gerakan Reformasi, Pakatan Rakyat, gerakan sosial dan sebagainya, tidak memiliki pilihan untuk melarikan diri. Beliau memilih untuk berada di Malaysia, berdepan rintangan yang menunggu di depan – sebagai pengorbannya yang sedikit demi pendemokrasian Malaysia.
Sudah beberapa kali beliau menegaskan bahawa dirinya tidak akan berkelana ke luar negeri. Pada Januari 2012 ketika menunggu keputusan Mahkamah Tinggi, beliau memaklumkan kita dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, bahawa dirinya tidak akan melarikan diri. Selepas dijatuhkan hukuman pada Mac tahun ini, sekali lagi beliau memberitahu saya, bahawa melarikan diri bukan pilihannya.
Setiap kali apabila Anwar mengulangi keputusannya untuk tidak melarikan diri, ia membuatkan saya merenung. Apapun yang dikatakan pengkritiknya, ketabahan susuk tubuh ini untuk berdepan dengan kezaliman regim harus diiktiraf. Tidak ramai yang mampu melakukan ini. Keberanian dan ketegasannya telah menjadi teladan yang mencerahkan generasi baru.
Ia adalah cahaya kemanusiaan yang bersinar dalam sejarah. Dan ia akan menerangi pergolakan zaman untuk generasi akan datang.
Share this article
Related Articles


- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆

- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.