Ruang hampa kepimpinan Melayu

Sekiranya kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang masing-masing kekal sebagai presiden Umno dan PAS, komuniti Melayu akan terus merasakan bahawa ia tidak mempunyai pemimpin.
Status quo bukanlah suatu situasi yang stabil, dan kita pastinya akan melihat pencabar-pencabar baru memasuki gelanggang untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini kemudiannya akan membuka peluang baru dalam politik Malaysia.
Amat dangkal sekiranya kita menjangka bahawa Umno tidak akan terlalu lama kekal berkuasa. Malah sekiranya ia terus dipimpin oleh Najib, dengan bantuan segmen tertentu daripada PAS yang dipimpin Hadi Awang, dan berjaya meminda Perlembagaan untuk menambah bilangan kerusi demi memberi faedah kepadanya, maka akan semakin payah untuk menewaskannya nanti.
Kita tidak boleh memandang rendah kuasa penyandang dan penggunaan jentera kerajaan oleh sang penyandang untuk memenangi pilihanraya.
Namun untuk menang bergaya dan dengan meyakinkan dalam politik Malaysia, seseorang itu haruslah menang melampaui garis perkauman, melampaui sempadan Laut China Selatan di Sabah dan Sarawak dan juga melampaui bilangan pengundi atas pagar dari kalangan orang Melayu yang boleh tahan ramai, terutamanya anak muda.
Najib telah mempertaruhkan segalanya, barangkali maruah dan harga dirinya sekali, dalam Pilihanraya Umum 2013 dan memenangi 47% undi popular serta 133 kerusi Parlimen. Terkejut dengan hal ini, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara tepat telah menyebut bahawa ‘swing’ dua peratus sahaja di lokasi-lokasi tertentu boleh menyaksikan Umno berkubur.
Justeru Najib sudah tidak laku lagi. Sementara Dr Mahathir pulih daripada kehilangan undi ketika pilihanraya umum pada tahun 1990 dan berjaya mendapatkan bahagian bilangan undi terbesar dalam sejarah (65%) pada tahun 1995, Najib tidak pula melakukan sebarang tindakan yang signifikan sejak pilihanraya dua tahun lalu untuk kembali laku.
Satu-satunya jalan yang ada bagi Najib ialah untuk mengundurkan diri.
Selain daripada status quo, berikut adalah beberapa kemungkinan yang boleh berlaku dalam pilihanraya umum akan datang:
Pertamanya, sekiranya Najib kekal sebagai Perdana Menteri dan menafikan peranannya dalam kesemua skandal serta membiarkan negara terus terawang-awang, Umno bakal berhadapan nasib sama yang melanda Parti Kongres India dalam pilihanraya umum negara itu pada tahun 2014.
Parti Kongres yang memerintah antara tahun 2004 sehingga 2014 kehilangan legitimasi dan memenangi hanya 44 daripada 543 kerusi, dan tidak terlalu mustahil untuk membayangkan Umno turut mengalami nasib yang sama. Sekiranya Najib masih menjadi nakhoda, ia malah menjadi satu kemungkinan.
Kedua, sekiranya berlaku rampasan kuasa dalam sebelum pilihanraya umum akan datang, dan Muhyiddin mengambil alih kawalan ke atas Umno dan berjaya mengekalkan tapak sokongan konservatifnya sambil mampu mendamaikan pengundi golongan pertengahan, kemenangan yang bergaya untuk parti tersebut adalah satu kemungkinan.
Saya menamakan ini sebagai senario LBJ, sempena bekas Presiden Amerika Syarikat Lyndon B. Johnson. LBJ dikenali sebagai seorang konservatif dalam sebahagian utama kerjaya politiknya terutamanya ketika bergelar senator, namun beliau berjaya mewujudkan dasar dan undang-undang yang paling progresif bagi negara tersebut ketika menjadi presiden setelah menggantikan JFK yang mati dibunuh. Kepimpinan Muhyiddin haruslah memenangi pengundi golongan pertengahan terutamanya anak muda Melayu dan juga pengundi bukan-Melayu untuk benar-benar menang bergaya.
Tetapi seandainya kepimpinan Muhyiddin juga bersikap lesu dan sambil lewa sepertimana Najib dan terus membenarkan golongan garis keras untuk terus merajalela, maka akhir hayat kekuasaan Umno juga mungkin boleh berlaku.
Ketiga, pilihanraya Sri Lanka juga menarik untuk dijadikan titik rujukan. Perpecahan saat akhir dalam parti pemerintah, apabila seorang menteri berani ‘memberontak’ bertanding melawan seorang penyandang akhirnya berjaya memberikan sebuah alternatif yang berdaya saing. Dengan sokongan separuh daripada majoriti populasi Sinhala dan sokongan hebat daripada minoriti Tamil dan Muslim, sang ‘pemberontak’ ini berjaya mengalahkan si penyandang.
Idea satu lagi perpecahan dalam Umno harus turut dimasukkan ke dalam sifir ini sebahagiannya berikutan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kerana ketidakupayaan Hadi Awang serta PAS untuk menangkap imaginasi sentris dan menawarkan alternatif yang kredibel.
Sekiranya Almarhum Fadzil Noor masih ada, dengan perawakan sentrisnya, pasti tidak ada sikap teragak-agak lagi di kalangan pembangkang untuk menyokong beliau sebagai ketua pembangkang de facto sebaik sahaja Anwar Ibrahim dilumpuhkan. Sebaliknya, Hadi hanya setakat menjadi pemimpin fraksi dalam PAS.
PAS memang sejak dahulu bermasalah dalam meyakinkan golongan pengundi pertengahan mengenai kemampuannya untuk beraksi di persada nasional, dan dengan Hadi kekal mengepalai parti, ia hanya akan terus terawang-awang ke dunianya yang kian mengecil.
Ini antara sebab kenapa saya katakan bahawa sekiranya status quo dikekalkan, sekiranya kedua-dua Najib dan Hadi terus mengetuai parti masing-masing, kita harus mengharapkan personaliti-personaliti baru untuk tampil ke hadapan dan bersaing demi kepimpinan masa depan Malaysia.
Siapakah mereka ini? Untuk mempermudahkan hal ini, kumpulan pertama saya namakan sebagai figur-figur ‘Bangsar’ seperti kalangan yang menganggotai kumpulan G25 dan yang sewaktu dengannya. Kumpulan kedua pula adalah golongan Islamis ‘Bangi’ yang masih belum melibatkan diri dalam politik pilihanraya.
Sumber ketiga lebih payah untuk ditafsirkan, namun ia akan muncul daripada kumpulan anak-anak muda Melayu. Lagipun merekalah yang bakal mendapat keuntungan terbesar dan hampir tidak akan rugi apa-apa.
Sebenarnya masih terlalu awal, dan faktanya sudah tersedia. Wujud vakum kepimpinan di Malaysia, dan kekosongan ini amat dirasakan di kalangan warga Melayu, terutamanya anak muda. Situasi sedemikian pastinya tidak akan berterusan.
Ucapan di Australian National University pada 8 April 2015
Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More