GST – Mana sudut pandang makroenomi?

Pertimbangan makroekonomi dan politik semakin hilang daripada fikiran kerajaan Malaysia dalam merencana Cukai Barang dan Perkhidmatan. Kerajaan berhujah, sepertimana yang ditampilkan oleh Perdana Menteri Najib Razak di dalam blognya[1], seperti berikut:

“GST akan mengurangkan kebergantungan Malaysia ke atas hasil cukai minyak, melihatkan kepada penurunan harga minyak dunia, Malaysia tidak lagi mampu untuk terus bergantung kepada pendapatan itu semata-mata.

“Hanya satu daripada 10 orang rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan peribadi, dan adalah penting untuk kita memperluaskan asas cukai demi kebaikan jangka panjang kepada ekonomi.

“Ia akan membantu mengurangkan defisit, membantu dalam pelaburan bagi masa depan, dan membantu untuk memacu negara ke arah pembangunan.”

Pendek kata, Kerajaan mau melebarkan asas percukaian dan menambahkan hasil kutipan cukai dengan tujuan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak yang kian merosot serta mengurangkan defisit fiskal, secara sekaligus.

Sebaik sahaja seseorang berhenti mempercayai para ‘pakar’ yang mencadangkan pelaksanaan GST secara membuta tuli, tidak sukar untuk dilihat bahawa GST adalah tidak sesuai dengan lanskap ekonomi Malaysia. Ia hadir pada ketika yang salah, dan ia tidak akan menyelesaikan masalah defisit fiskal kerajaan yang berpanjangan.

Mereka yang menyokong GST turut berhujah bahawa terdapat banyak perniagaan yang telah cuba mengelak daripada membayar cukai, dan gejala ini dapat dibendung dengan melaksanakan GST kerana sistem percukaian tersebut adalah lebih ‘telus’.

Satu lagi penjelasan kerjaan ialah kononnya lebih 160 negara di dunia telah pun melaksanakan GST dalam bentuk tertentu atau cukai yang dipanggil Value Added Tax (VAT), dan Malaysia tidak seharusnya terkecuali daripada trend antarabangsa ini.

Dalam kekalutannya untuk mengumpul lebih banyak hasil cukai, kerjaan dan juga ramai ahli ekonomi telah melakukan kesilapan besar apabila mereka enggan memahami struktur ekonomi Malaysia masa kini.

Dua ciri utama wajar diambil-kira: Lebih daripada 60 peratus isirumah menerima bantuan dalam apa jua bentuk daripada kerajaan, terutamanya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan lebih 30 peratus pencari nafkah isirumah bekerja di dalam sektor ekonomi tidak formal, dan ramai lagi yang menjalankan perniagaan kecil.

[1] Blog Perdana Menteri Najib Razak www.najibrazak.com pada 27 Mei 2015

Kumpulan 60 peratus terendah

GST adalah cukai regresif, yakni ia memerlukan pecahan pendapatan yang lebih besar daripada golongan miskin berbanding golongan kaya.[2] Ini adalah satu perkara yang sangat jelas tentang GST, namun wujud Menteri Persekutuan yang menafikan fakta ini.

Dengan bilangan 60 peratus is rumah Malaysia diiktiraf sebagai tidak mempunyai pendapatan yang cukup sehingga memerlukan bantuan kerajaan, kita tidak mampu memahami kenapa kerajaan merungut bahawa asas cukai mereka begitu kecil dan hanya 1 daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja membayar cukai pendapatan.

Sungguhpun wujud pihak yang cuba mengelak cukai, dan sudah ada undang-undang yang mencukupi untuk menangani jenayah sedemikian, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak membayar cukai hanya kerana pendapatan mereka meletakkan mereka di bawah garis cukai (sekitar RM2,850 untuk mereka yang bujang dan RM3,100 untuk mereka yang telah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak.)

Meminta mereka yang berpendapat rendah yang tidak pernah membayar cukai kerana mereka tidak pernah cukup pendapatan dan dibebani hutang isi rumah untuk membayar GST adalah undangan untuk mereka memantau perbelanjaan kerajaan dengan cara yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini. Ini menyebabkan mereka terkejut dan sangat tidak gembira dengan kerajaan.

Salah waktunya

Semua ini berlangsung pada ketika yang salah. Ekonomi Malaysia dahulunya dipacu industri eksport sehingga lebih kurang satu dekad lalu. Namun ia semakin bergantung kepada penggunaan domestik, terutamanya sejak krisis ekonomi dunia pada tahun 2008.

Eksport Malaysia pula adalah tertumpu kepada empat kuasa dunia utama, iaitu Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan China. Hanya ekonomi Amerika Syarikat sahaja yang menunjukkan tanda-tanda positif bagi tahun 2015. Pendek kata, masa depan industri eksport tidak lagi makmur bagi ekonomi Malaysia.

Penggunaan domestik yang digalakkan oleh hutang mempunyai had-had tersendiri. Hutang isi rumah telah mencapai takat 86% daripada KDNK, dan semakin meningkat.

Tidak seperti kebanyakan negara maju yang memperkenalkan GST untuk mengalihkan bebanan cukai daripada mereka yang berpendapatan tinggi tanpa sebarang niat untuk menambahkan pungutan cukai secara keseluruhan, kerajaan Malaysia sedang cuba untuk mengutip RM15 bilion bersih [3] daripada hasil cukai melalui pelaksanaan GST.

[2] Lihat kajian oleh Penang Institute http://www.penanginstitute.org/gst/

[3] Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapannya berkata ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 bahawa Kerajaan bertujuan mendapatkan RM31 bilion daripada GST, sementara cukai SST lama hanya mengumpul RM16 bilion, yang mendapat pungutan bersih RM15 bilion.

Ini hanya bermakna menyedut RM15 bilion daripada ekonomi domestik yang telah sedia tertekan ke dalam perbendaharan kerajaan yang penuh ketirisan.

Kita harus mengambil pelajaran daripada Jepun pada tahun 2014. Cukai jualan Jepun dinaikkan daripada 5% kepada 8% pada April 2014, dan dua suku tahun berikutnya menyaksikan ekonomi merudum dengan teruk sekali. Susulan daripada itu berlakukan pembuangan kerja, kes bunuh diri dan meningkatnya kadar jenayah.

Salah ubat

Secara mudah, seseorang tidak sepatutnya mencari ubat yang kononnya boleh menyembuhkan semua penyakit bagi membaiki pelbagai masalah ekonomi dan kewangan.

GST bukanlah ubat ajaib yang boleh membetulkan masalah defisit, anjakan daripada kebergantungan terhadap hasil cukai minyak, keperluan melebarkan asas cukai dan keperluan untuk membendung pebuatan mengelak cukai dan sebagainya. Ia pasti akan gagal.

Entah bagaimana tidak ada sesiapa di dalam kerajaan yang memahami bahawa sekiranya ekonomi mengecut, cukai korporat akan merosot. Atau sambil para peniaga terpaksa menyerap semua kos selama 18 bulan sehingga Jun 2016, mereka akan mengisytiharkan keuntungan yang lebih kecil, justeru membayar cukai korporat yang lebih rendah.

Itu tidak dikira lagi mereka yang akan terpaksa tutup kedai. Apabila ini terjadi, kedudukan fiskal kerajaan akan tambah memburuk disebabkan GST sepanjang sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Akhirnya, penambahbaikan atau reformasi yang lebih tegas bagi menghidupkan semula pertumbuhan yang berkualiti adalah sesuatu yang diperlukan negara buat masa ini.

Ini hanyalah pemikiran orang biasa. Namun saya berharap wujud minda-minda yang lebih befikiran wajar di dalam kerajaan dan di Malaysia, dengan latihan makroekonomi, dan mewacanakan isu ini dengan lebih mendalam.

*Rencana ini telah disiarkan dalam majalah perniagaan, MGCC Perspectives, milik Malaysian-German Chamber of Commerce and Industry.

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More