
Pendekatan rentas-parti diperlukan bagi menghadapi krisis air di zon Selatan Johor
- 22 November 2015
- Uncategorized
Kenyataan media oleh Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parimen Kluang – Liew Chin Tong pada 16 November 2015
DAP Johor menyeru Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membuat pengisytiharan rasmi bahawa krisis air di zon Selatan Johor berada pada tahap kritikal di mana buat pertama kalinya dalam sejarah Empangan Layang dan Lebam menyaksikan penyusutan paras air yang amat membimbangkan. Pendekatan rentas-parti diperlukan dalam menguruskan krisis ini.
Mewakili kepentingan dan kerisauan pengguna air di Johor, saya ingin mencadangkan agar Khaled menubuhkan satu Jawatankuasa Terpilih berhubung Krisis Air melibatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor dari kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) untuk mendapatkan konsensus yang rentas-parti sifatnya bagi menghadapi keadaan krisis ini. Dalam masa sama, pembentukan polisi jangka panjang dalam memastikan Johor bebas dari krisis air pada masa hadapan.
Kerajaan Negeri Johor telah memberikan komisen berjumlah RM4 juta untuk projek memindahkan 30 juta liter/hari (MLD) air sebagai tambahan air mentah dari Sungai Papan ke Empangan Sungai Lebam dan Sungai Tiram ke Empangan Sungai Layang.
Pun demikian, ia mungkin masih belum mencukupi.
Saya telah menemui Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings bersama-sama Pengerusi Parti Amanah Negara merangkap ADUN Parit Yaani – Tuan Hj Aminolhuda Hassan, Timbalan Ketua Pembangkang DUN Johor Sdr Tan Chen Choon, ADUN Johor Jaya Sdri Liow Cai Tung, ADUN Stulang Sdr Chen Kah Eng dan dua orang AJK DAP Johor Sdr Mahdzir Ibrahim dan Sheikh Omar Ali. Beberapa penduduk yang menjadi mangsa gangguan bekalan air juga turut hadir bersama.
Dalam pertemuan tersebut, kegelisahan penduduk yang terpaksa berhadapan catuan air sejak 16 Ogos 2015 yang lalu telah kami utarakan.
Kami telah diberikan taklimat oleh pegawai atasan SAJ seterusnya ditawarkan untuk melawat Empangan Layang dan Lebam bagi menyaksikan sendiri situasi di sana.
Kami amat prihatin dengan apa yang telah kami saksikan.
Pertama, kedua-dua empangan berhadapan penyusutan paras air yang amat kritikal sekali.
Air di Empangan Sungai Layang, Pasir Gudang yang membekalkan air kepada lebih kurang 580,000 orang pengguna (sehingga detik lawatan kami) adalah pada paras 19.29m (takat kritikal 23.5m)
Air di Empangan Sungai Lebam, Kota Tinggi yang membekalkan air kepada lebih kurang 53,000 orang pengguna (sehingga detik lawatan kami) adalah pada paras 8m (takat kritikal 12.27m)
Kedua, pembenihan awan telah berjaya menghasilkan hujan tetapi tidak turun di kawasan tadahan empangan.
Ketiga, diharapkan hujan yang lebat pada bulan November dan Disember ini akan meningkatkan paras air sehingga cukup untuk menghadapi musim panas-kering pada Januari hingga Mac tahun hadapan. Namun harapan tersebut seakan-akan masih jauh apabila melihat keadaan yang sedang berlaku sekarang ini.
Sekiranya hujan yang turun dalam kawasan tadahan empangan tidak mencukupi bagi tempoh enam minggu mendatang, zon Selatan Johor dikhuatiri berhadapan krisis air terburuk dalam suku pertama 2016 .
Beberapa bulan kebelakangan ini, saya mendapati ada anjakan terhadap pandangan-pandangan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri berhubung isu pengurusan air. Buat pertama kalinya, Menteri Besar Khaled membincangkan soal penuaian air hujan, kesan negatif penanaman kelapa sawit di kawasan tadahan air, memastikan perancangan pembangunan perumahan tidak mengakibatkan krisis air untuk jangka masa panjang dan juga kajian berhubung kesan perubahan iklim terhadap isu melibatkan air dan sebagainya.
Saya memuji Khaled atas kesedaran beliau bahawa Johor pada jangka masa yang panjang mungkin berhadapan krisis air yang menuntut agar satu proses ‘memikirkan semula’ dasar-dasar utama negeri melibatkan air dilaksanakan segera.
Saya mendesak beliau untuk menerima saranan DAP ini untuk menjalankan kerjasama menerusi penubuhan Jawatankuasa Terpilih berhubung Krisis Air yang bersifat rentas-parti untuk mencari jalan keluar bagi mengelakkan krisis ini berpanjangan yang akhirnya terus memangsakan rakyat.
Share this article
Related Articles


- 7 Nov 2023·
Thinking Strategically for Malaysia’s Semiconductor Industry

- 6 Nov 2023·
Bringing Malaysians back to the cities
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.