
Isu Keselamatan Jalan Batu Pahat – Kluang
- 31 October 2016
- Institution, Johor, Social

Minggu lepas saya telah mengangkat dua isu berkenaan Jalan Bata Pahat di kawasan Parlimen Kluang ke perhatian Parlimen dan Kementerian Kerja Raya. Pertama, cadangan pembinaan pembahagi jalan sepanjang Jalan Batu Pahat. Kedua, cadangan pemasangan lampu jalan bermula dari Tol Ayer Hitam hingga Kampung Sri Lalang.
Pada 24 Oktober, saya kemukakan soalan ke-2 pada sesi soal jawab parlimen seperti berikut:~
“YB. TUAN LIEW CHIN TONG minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan bila, anggaran kos, tempoh membina pembahagi jalan raya di Jalan Batu Pahat di kawasan Parlimen Kluang.”
Jawapan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Binti Hj Abdul Rashid Shirlin adalah seperti berikut:~
“Tuan Yang di-Pertua;
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, projek menaik taraf jalan persekutuan 50 (FT 50) dari Batu Pahat – Ayer Hitam – Kluang (termasuk skop membina pusingan U, median dan kerja-kerja berkaitan) dilaksanakan secara berfasa.
Fasa 1 (menaik taraf jalan FT 50; Kos projek: RM331 juta) telah disiapkan pada bulan Ogos 2011.
Manakala fasa 2 pula (membina pusingan U, median laluan Batu Pahat – Parit Raja, 14 km; Kos projek RM52.5 juta melibatkan 2 kontrak berasingan) telah siap pada Oktober 2012.
Untuk Fasa 2A pula (membina pusingan U, median laluan Parit Raja – Ayer Hitam, 12 km);
dan Fasa 3 (membina pusingan U, median laluan Ayer Hitam – Kluang, 26 km), ia telah dimohon untuk pertimbangan Agensi Pusat dalam tempoh Rancangan Malaysia Yang Ke-11 ini.
Anggaran kos kumulatif terlibat untuk Fasa 2A dan Fasa 3 ialah sebanyak RM80 juta. Pelaksanaan projek ini tertakluk kepada kelulusan peruntukan daripada Agensi Pusat.”
Saya memaklumkan kepada Parlimen dan Timbalan Menteri menerusi soalan susulan bahawa saya sendiri hampir-hampir terlibat dengan kemalangan di jalan tersebut pada tahun 2015 yang lalu dan dalam nada berseloroh saya memberitahu “nasib baik tidak ada pilihanraya kecil di Kluang”.
Saya medesak Kerajaan untuk mempercepatkan projek naik taraf Jalan Persekutuan 50 (FT 50) secepat mungkin kerana hampir setiap bulan sekurang-kurangnya satu kes kemalangan berlaku melibatkan jalan tersebut.
Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2017, saya juga meminta Kementerian Kerja Raya supaya memasang lampu jalan sepanjang Jalan Batu Pahat, terutama dari Tol Ayer Hitam ke Kampung Sri Lalang.
Mewakili rakyat setempat dan pengguna jalanraya yang amat bimbang dengan keselamatan mereka di Jalan Batu Pahat ini, saya harap agar projek tersebut dapat dijalankan dengan segera.
Share this article
Related Articles


- 26 Sep 2022·
Ending low pay

- 2 Jul 2022·
𝗧𝗵𝗲 𝗔𝘀𝗶𝗮𝗻 𝗙𝗶𝗻𝗮𝗻𝗰𝗶𝗮𝗹 𝗖𝗿𝗶𝘀𝗶𝘀: 𝟮𝟱 𝘆𝗲𝗮𝗿𝘀 𝗼𝗻
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.