Hentikan Cabutan Khas

Berikutan perbincangan bersama Menteri Kewangan II Datuk Johori Abdul Ghani pada 18hb Oktober 2016 di Parlimen, kami, Ahli Parlimen Seremban dan Kluang ingin menerang latar belakang berkaitan amalan cabutan khas dalam aktiviti nombor ramalan dan menggesa supaya Kementerian Kewangan menghentikannya untuk tahun 2017 dan tahun-tahun berikutnya.

Syarikat ramalan nombor Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai dibenarkan untuk mengadakan cabutan pada hari Rabu, Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Sejak kejadian epidemik wabak Nipah pada tahun 1999, Kementerian Kewangan membenarkan cabutan khas pada hari Selasa tertentu dan hasil daripada cabutan tersebut dikira sebagai kutipan untuk Kerajaan.

Sejak kami dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2008, kami telah berkali-kali menyeru Kementerian Kewangan untuk menghentikan amalan cabutan khas nombor ramalan yang kesannya akan membebankan rakyat dan juga menghakis pendapatan boleh guna (disposable income) golongan berpendapatan rendah.

Kami difahamkan golongan berpendapatan rendah merupakan kelompok yang seringkali terjebak dengan perjudian nombor ramalan ini. Dalam suasana hari ini yang memerlukan peningkatan permintaan domestik yang lebih tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi, tindakan menghentikan amalan cabutan khas adalah salah satu langkah yang perlu dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.

Dalam satu jawapan Parlimen kepada Loke Siew Fook pada 2010, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa hasil dari syarikat-syarikat nombor ramalan adalah RM2.3 billion (atau 1% daripada hasil kerajaan pada tahun tersebut).

Dalam satu jawapan Parlimen kepada bekas Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock pada 2001, hasil cabutan khas dikatakan digunapakai oleh Kerajaan untuk memberi pampasan kepada mangsa wabak Nipah, anjuran SEA Games dan F1.

Dalam satu jawapan Parlimen kepada Liew Chin Tong pada 19 November 2013, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa RM1.97 billion telah dikutip antara tahun 1999 dan 2013 hasil dari cabutan khas.

Difahamkan Syarikat Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai telah menjalankan sekurang-kurangnya 18 kali cabutan khas sejak awal tahun 2016 dan berjumlah sekurang-kurangnya 22 kali dalam tahun 2016.

Demi kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan menjana peningkatan permintaan domestik, kami menggesa agar Datuk Johari Abdul Ghani dan Kementerian Kewangan menghentikan cabutan khas pada tahun 2017 dan tahun-tahun seterusnya.

(Kenyataan Media Bersama oleh Ketua Whip DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 1hb November 2016 di Parlimen Malaysia.)

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles