
Setelah begitu lama berdolak-dalih, akhirnya kerajaan mula menunjukkan komitmennya untuk menggubal undang-undang agar hakim diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati dan menyegerakan pelaksanaan moratorium
- 3 November 2016
- Institution, National, Politics, Social

Dalam ucapan dasar Belanjawan 2017, isu pemansuhan hukuman mati mandatori serta pelaksanaan satu moratorium sehingga kajian penjatuhan hukuman mati dinegara ini telahpun dibangkitkan dua hari lepas oleh beberapa Ahli Parlimen dari Ipoh Barat, Puchong, Kluang dan Batu Kawan di Dewan Rakyat.
Menurut jawapan yang telah diberikan oleh Ahli Parlimen Pengerang Dato’ Azalina merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerajaan sedang menjalankan suatu kajian komprehensif berkenaan dengan isu hukuman mati termasuk mengambil kira cadangan supaya hakim diberikan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati serta satu pendekatan untuk melaksanakan moratorium diatas semua pesalah.
Skop kajian tidak hanya tertumpu pada pemansuhan hukuman mati mandatori tetapi juga hukuman mati pilihan iaitu sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup. Pada 17 Ogos 2016 yang lalu, satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung status kajian pemansuhan hukuman mati tersebut telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diputuskan untuk Jabatan Peguam Negara untuk membuat kajian lebih lanjut berhubung dengan perkara ini. Justeru itu, setelah kajian tersebut selesai ianya akan dibawa semula ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan selanjutnya.
Ini merupakan satu perkembangan yang positif memandangkan setelah sebegitu lama, melalui tekanan daripada wakil rakyat, badan bukan kerajaan serta masyarakat umum, kerajaan kini sudah mula memberikan sedikit sebanyak perhatian terhadap isu hukuman gantung mati ini serta pendekatan masa depan untuk penggubalan undang-undang yang perlu.
Sementara menunggu kajian dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara, kami menggesa kerajaan persekutuan untuk menangguhkan semua hukuman gantung dijatuhkan memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang memberikan tempoh masa dari tarikh hukuman dijatuhkan di mahkamah sehingga tarikh untuk hukuman mati itu dilaksanakan, terutama sekali bagi kes-kes terhadap pesalah muda atau keldai dadah dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, cadangan moratorium itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dengan kadar segera. Ini satu langkah yang amat digalakkan kerana satu kerajaan yang berdaulat tidak seharusnya terus menghukum rakyatnya apabila pesalah sedang menanti penggubalan undang-undang yang baru.
Tahun ini merupakan tahun terakhir negara Malaysia berkongsi pentas sebagai ahli tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB. Seterusnya, negara Malaysia berhasrat untuk menjadi ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB selepas tempoh keahlian luput pada akhir tahun ini dan lantikan baru dibuat bagi sesi yang akan datang.
Seharusnya, platform ini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk pindaan ini supaya negara Malaysia dapat membuktikan kesungguhan mereka untuk memperbaiki pencabulan hak asasi manusia dinegara ini serta menambah baik reputasi negara ini sebagai pendukung hak asasi manusia.
Setelah begitu lama berdolak-dalih, akhirnya kerajaan mula menunjukkan komitmennya untuk menggubal undang-undang agar hakim diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati.
Kulasegaran (Ipoh Barat)
Gobind Singh Deo (Puchong)
Liew Chin Tong (Kluang)
Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor)
Kasthuri Patto (Batu Kawan)
Hanipa Maidin (Sepang)
(Kenyataan media Ahli-ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik dan Amanah pada hari Khamis 3 November 2016 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.)
JAWAPAN MENTERI DALAM JABATAN PERDANA MENTERI
YB DATO AZALINA PADA 2/11/2016
Yang Berhormat Kluang pula telah membangkitkan mengenai isu hukuman mati mandatori di mana Yang Berhormat Kluang mencadangkan supaya hakim diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati. YB Kluang juga mencadangkan supaya satu moratorium dilaksanakan bagi menangguhkan hukuman mati mandatori sehingga kajian berkenaan perlaksanaan hukuman mati di negara ini selesai. YB Ipoh Barat dan YB Batu Kawan juga telah menyentuh isu yang sama, di mana bertanya mengenai bila Rang Undang-Undang berkenaan pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan di Parlimen
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sedang menjalankan suatu kajian komprehensif berkenaan dengan isu hukuman mati termasuk mengambil kira cadangan supaya hakim diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati.
Kajian merangkumi keseluruhan peruntukan hukuman mati yang dikuatkuasakan di negara ini dan juga pelaksanaannya. Kajian ini dibuat dengan mengambil kira semua peruntukan undang-undang yang sedia ada di negara ini dan kajian perbandingan dengan peruntukan undang-undang daripada negara lain.
Skop kajian tidak hanya tertumpu pada pemansuhan hukuman mati mandatori tetapi juga hukuman mati pilihan iaitu sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Keputusan berhubung pelaksanaan hukuman mati di negara ini, sama ada akan dimansuhkan atau diteruskan, merupakan perkara dasar yang akan diputuskan oleh Kerajaan berdasarkan hasil kajian tersebut.
Untuk makluman lanjut Yang Berhormat juga, pada 17 Ogos 2016 yang lalu, satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung status kajian tersebut telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diputuskan untuk Jabatan Peguam Negara untuk membuat kajian lebih lanjut berhubung dengan perkara ini. Justeri itu, setelah kajian tersebut selesai ianya akan dibawa semula ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan selanjutnya.
Untuk makluman, saya juga telah mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Bagi Membincangkan Pelaksanaan Hukuman Mati di Malaysia pada 5 September 2016 yang lalu. Mesyuarat tersebut merangkumi ahli-ahli akademik, wakil Majlis Peguam Malaysia, wakil SUHAKAM, wakil NGO seperti Amnesty International, wakil pembangkang dan Jabatan Peguam Negara serta agensi-agensi kerajaan berkaitan yang lain. Tahniah juga kepada YB Ipoh Barat yang telah menghadiri mesyuarat ini serta memberikan input yang bermanfaat. Beliau juga telah lama menyumbang pandangan berkenaan perkara ini bersama Menteri yang menjaga Hal Ehwal Perundangan pada masa itu, iaitu Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz yang telah menggerakan agenda ini sejak masa itu lagi. Ini yang kita mahukan, satu kerjasama antara semua pihak dalam perkara ini atau mana-mana perkara yang melibatkan rakyat.
YAB PM sendiri amat prihatin terhadap perkara ini khususnya terhadap pesalah-pesalah muda atau keldai-keldai dadah yang bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.