Politik ‘Ugut’: Lekeh Sangatkah Rakyat di Mata Khaled untuk Digertak-gertak?

Menteri Besar, Khaled Nordin dalam ucapan penggulungan Sidang DUN Johor semalam akhirnya memperlihatkan wajah beliau yang tidak lebih hanya mampu berterusan mengambil jalur perkauman sempit untuk berhadapan parti lawan.

Dengan lantang Ketua Perhubungan UMNO Johor ini membuat serangan menerusi tuduhan kononnya DAP hanya berjuang untuk masyarakat Tionghua dan mengenepikan aspirasi masyarakat Melayu dan India.

Tuduhan Khaled yang penuh dengan emosi dan tidak berasas tersebut telah dijawab oleh Ketua Pembangkang dan ADUN-ADUN DAP Johor pada sidang media sejurus selepas daripada itu.

Persoalan saya, apakah sebenarnya matlamat yang ingin beliau capai?

Apakah Khaled hanya mampu membawa skrip lapuk UMNO yang tidak lain hanya pandai mengimejkan bahawa segala kelemahan yang wujud adalah disebabkan oleh DAP? Ini sahajakah aras kemampuan Khaled dan UMNO untuk berhadapan lawan politik beliau?

Adakah dengan pendekatan ini Khaled berharap dapat menyekat grand coalition pembangkang dan rakyat untuk melawan UMNO/BN yang menjadi faktor utama membawa Malaysia ke arah pemerintahan kleptokrasi?

Khaled menjangkakan tindakan sebegini mampu menyekat gelombang Pakatan Harapan dalam rangka penjajaran semula permuafakatan politik pembangkang lebih-lebih lagi dengan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Baru seminggu yang lalu, Khaled menyatakan dihadapan ahli UMNO bahawa;

“PRU akan datang merupakan PRU paling sengit dan akan menjadi penentu hidup matinya UMNO dan kita perlu pertahankan parti ini lebih-lebih lagi pada saat ini, di mana kita berhadapan dengan cabaran yang berterusan.

“UMNO pada hari ini menjadi bahan kritikan dan senda, yang menyerang kita bukan hanya musuh tradisi politik tetapi yang menyerang kita juga ialah mereka yang pernah bersama-sama dengan kita, menjadi sebahagian daripada kita, memimpin kita dan tahu cara kita bergerak, beroperasi dan berfikir.”

Telahan Khaled memang benar. UMNO Johor kini berada dalam risiko kehilangan kuasa. Malangnya, UMNO tiada tawaran polisi baru yang ampuh untuk dikemukakan kepada rakyat Johor.

Lantas, sepertimana langkah tipikal diambil oleh pemimpin-pemimpin UMNO termasuklah presiden mereka sendiri merangkap Perdana Menteri yang dipalitkan pelbagai skandal, menjadikan DAP sebagai momokan atau bogeyman adalah resipi turun temurun yang akan digunakan bagi menyemai ketakutan dikalangan rakyat dari menyokong pembangkang.

Naif sekali sekiranya Khaled menganggap taktik seperti ini mampu mematahkan gelombang rakyat yang marah terhadap UMNO dan menuntut perubahan dalam kepimpinan negara.

(Kenyataan media oleh Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 28hb November 2016.)

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles