

Saya ingin ucapkan tahniah kepada pimpinan kawasan Kulai bagi parti-parti Pakatan Harapan, iaitu Parti KeADILan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Parti Tindakan Demokratik, bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana berjaya menganjurkan Konvensyen Bersama peringkat kawasan Parlimen yang pertama di Malaysia.
Gabungan politik bersama
Semoga Konvensyen Bersama ini akan menimba pengajaran daripada pengalaman pilihanraya umum ke-13 yang lalu, iaitu menyedari bahawa parti pembangkang bukan sahaja memerlukan gabungan politik bersama tetapi juga dasar dan mesaj bersama.
Ini amat penting bagi memastikan kita bergerak atas satu matlamat yang sama untuk menghadapi PRU ke-14.
Walaupun bahasa dan gaya kita mungkin berbeza, tujuan dan cita-cita kita adalah satu – untuk menumbangkan UMNO-BN bagi menubuhkan kerajaan baru yang benar-benar dapat memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat.
Oleh itu, amat penting juga bagi kita untuk meyakinkan semua lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama melalui kempen bersama di peringkat kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Mengimbas kembali, dalam PRU ke-13 yang lalu, Pakatan Rakyat telah menawarkan janji-janji untuk menurunkan harga minyak, mengurangkan harga kereta, melupuskan hutang PTPTN dan memansuhkan bayaran tol. Dengan itu, kita berjaya mendapat sokongan kelas pertengahan yang bermastautin di kawasan bandar.
Tetapi, hakikat ekonomi negara ialah masih ramai rakyat Malaysia yang tidak memiliki kereta kerana lebih ramai yang bermotosikal. Tidak semua rakyat berpeluang mendapat pendidikan universiti. Bukan semua rakyat tinggal di Lembah Klang yang dipenuhi dengan plaza tol.
Kebanyakan mereka tinggal di kawasan separa bandar (semi-urban) serta luar bandar. Jadi tawaran Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 tidak begitu menarik untuk mereka dan keluarga mereka.
Dasar yang memahami keadaan dan aspirasi rakyat
Untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, gabungan politik Pakatan Harapan + Bersatu memerlukan dasar-dasar kebangsaan serta negeri yang benar-benar memahami dan akur tentang kehidupan serta keperluan pengundi kawasan separa bandar dan luar bandar.
Oleh itu, dasar bersama yang kita akan gubal nanti perlu lebih mendalam, meyakinkan dan benar-benar memahami keadaan serta aspirasi rakyat.
Sebagai contoh, berikutan kenaikan harga minyak, ada wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan menawarkan minyak percuma kepada penunggang motorsikal. Ia datangnya dari duit poket wakil rakyat itu sendiri. Ini satu cara yang baik untuk kita “highlight” masalah kenaikan harga minyak yang semakin tinggi sejak bulan Januari lalu.
Usaha kita telah berjaya membantu penunggang motosikal, malah “memalukan” UMNO sehingga wakil-wakil mereka terpaksa meniru langkah kita memberi minyak percuma. Lebih dari itu, usaha ini dapat mendedahkan kepada rakyat betapa tidak ikhlas UMNO-BN kerana mereka yang menaikkan harga minyak dan kini berpura-pura tunjuk baik dengan memberi minyak percuma yang terhad.
Usaha ini juga memberi peluang kepada kita untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa UMNO sebagai kerajaan perlu menyediakan pengangkutan awam yang lebih baik agar rakyat tidak perlu bergantung kepada kenderaan sendiri, terutamanya motosikal yang amat membahayakan nyawa penunggang dan pemboncengnya.
Menangani isu kaum dan agama
Krisis terbesar negara adalah skandal mega 1MDB yang telah melahirkan pelbagai masalah yang tidak berkesudahan, terutamanya kemerosotan ekonomi dan beban tanggungan keluarga. Salah satu kesan buruk ekonomi rakyat adalah kenaikan harga petrol.
Kita semua bengang dan marah dengan kerajaan yang tidak prihatin dengan masalah ekonomi rakyat. Selama dua minggu pertama bulan ini semua orang bercakap tentang kenaikan harga petrol.
Tiba-tiba muncul isu berus bulu babi. Secara tiba-tiba pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyerbu kedai alat tulis di seluruh negara semata-mata mahu merampas berus bulu babi.
Adakah anda perasan bahawa kedua-dua isu, iaitu berus bulu babi dan harga petrol naik, berada di bawah jagaan kementerian yang sama, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan? Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena di situ.
Minggu lalu, saya dan saudara Lim Kit Siang telah melawat keluarga mangsa-mangsa kemalangan yang melibatkan kanak-kanak dan remaja yang menaiki basikal.
Kami amat sedih dan prihatin dengan nasib kedua-dua pihak, iaitu mangsa-mangsa dan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu.
Yang mengejutkan kami, ada pihak yang menuduh Kit Siang dan DAP kononnya kami tidak mempedulikan nasib pemandu kereta tersebut, iaitu seorang wanita keturunan Cina, kerana didakwa lebih prihatin dengan keluarga mangsa-mangsa yang terdiri daripada orang Melayu.
Kami juga terkejut apabila ada bekas wakil rakyat (Zulkifli Noordin) – yang disiarkan melalui sebuah laman web pertubuhan Melayu-Islam (ISMA) – yang cuba mengaitkan kemalangan itu dengan isu perkauman; tajuk tulisan tersebut adalah “Kes rempuh basikal: Adakah pemandu wanita Cina diberi perlindungan istimewa?”.
Saya melihat ada liku-liku bahaya di hadapan kita. Kuasa-kuasa jahat cuba menjadikan semua isu sebagai isu kaum dengan niat untuk menakut-nakutkan rakyat supaya lari berselindung di sebalik tembok kaum masing-masing.
Mereka sengaja berbuat demikian agar kita rakyat Malaysia gagal bersatu hati, dan tentunya tidak dapat bersama untuk menumbangkan sebuah kerajaan kleptokrat yang semakin terpisah daripada rakyat, malah tidak mempedulikan lagi keperluan rakyat.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakan-rakan seperjuangan di sini agar kita tidak jatuh ke dalam perangkap yang sama, iaitu bermain politik perkauman seperti mereka. Itulah yang mereka mahukan, iaitu kita tenggelam bersama mereka dengan politik benci-membenci antara satu sama lain.
Kita perlu menawarkan satu wawasan besar untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Hanya dengan gelombang rakyat pelbagai kaum dan agama akan dapat melawan UMNO-BN walaupun mereka mempunyai wang, menguasai jentera kerajaan dan mengawal media. Kuasa dan undi rakyat menjadi penentu perubahan negara.
Memulakan langkah mengubah kerajaan
Sejak selepas PRU ke-13, kita sudah bersiap sedia untuk berganding bahu bagi menubuhkan sebuah kerajaan baru yang bersih, telus, amanah, cekap dan jujur. Namun seperti yang diketahui umum, gabungan yang kita bentuk selepas PRU 2008 terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Dan kini kita kembali bersedia.
Setakat ini, kawasan-kawasan bandar besar lebih cenderung untuk memilih parti-parti pembangkang, dan tidak akan beralih kembali kepada Barisan Nasional selagi parti pemerintah masih dibelenggu oleh skandal mega 1MDB di samping keadaan ekonomi yang amat membebankan rakyat.
Sebagai contoh, untuk kawasan-kawasan bandar dan bandaraya di Johor, saya rasa tidak mustahil Pakatan Harapan + Bersatu dapat memenangi kawasan-kawasan Parlimen seperti Pasir Gudang (undi diperolehi BN 49.6%), Pulai (51%), Tebrau (51%) dan Johor Bahru (55.7%).
Kawasan tumpuan atau “battle ground” untuk PRU ke-14 adalah kawasan-kawasan marginal di separa bandar di seluruh negara. Di Johor, kawasan-kawasan Parlimen Labis (undi diperolehi BN 49.5%), Segamat (50.3%), Ledang (50.7%), Muar (51%), Sekijang (53.2%), Tanjong Piai (55%) dan Pagoh adalah kerusi-kerusi marginal Barisan Nasional yang bakal ditumbang.
Syarat kita untuk menang sudah pun saya sebutkan awal tadi, iaitu kiat perlu ada satu matlamat bersama yang dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar, mesej dan kempen bersama. Itulah harapan rakyat dan itulah yang akan kita penuhi bagi memenuhi aspirasi mereka.
Perlu saya ingatkan di sini bahawa satu lagi pengajaran daripada PRU ke-13 ialah walaupun kerjasama Pakatan Rakyat di peringkat pusat pada masa itu agak baik, jentera parti masing-masing di peringkat Negeri dan kawasan Parlimen gagal digabungkan sepenuhnya dengan cekap dan berkesan.
Sehubungan dengan itu, saya harap Konvensyen Kawasan Kulai hari ini akan memberi kita peluang untuk menjana kempen bersepadu di Kulai dan menjadi contoh serta teladan untuk kawasan-kawasan lain dalam persediaan menuju PRU ke-14.
Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada pihak penganjur program hari ini. Selamat berkonvensyen.
Ucapan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong di Konvensyen Pakatan Harapan + Bersatu Kawasan Parlimen Kulai pada 25hb Februari 2017
Share this article
Related Articles


- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity

- 6 Sep 2023·
Greater Johor Bahru as the second metropolitan
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.