
Krisis kepimpinan Khaled Nordin mengadaikan tanah dan maruah negeri Johor
- 28 February 2017
- Institution, Johor

Kami berasa amat kesal bahawa kerajaan negeri Johor gagal mengambil sebarang tindakan untuk mempertahankan integriti serta reputasi institusi negeri setelah terbongkarnya skandal tanah melibatkan pegawai-pegawai kanan Menteri Besar Khaled Nordin.
Dua hari sudah berlalu berikutan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam orang individu untuk siasatan lanjutan berkaitan skandal tanah tersebut, termasuk pegawai kanan seorang EXCO dan anak EXCO tersebut.
Jelasnya, kes rasuah yang melibatkan penyelewengan tanah negeri merupakan krisis kepimpinan Menteri Besar Khaled Nordin. Menteri Besar sendiri merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi yang merupakan jawatankuasa utama berkaitan hal ehwal tanah di negeri Johor. (Refer http://ptj.johor.gov.my/index.php/component/content/article/256)
Namun sehingga kini, Khaled Nordin hanya mampu mendiamkan diri dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kes tersebut
Justeru, DAP Johor mendesak Khaled Nordin selaku Menteri Besar Johor melaksanakan LIMA langkah berikut dengan serta merta:
1) Menggantungkan tugas EXCO yang berkaitan dengan skandal tanah tersebut sehingga selepas SPRM membersihkan nama beliau;
2) Melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi dan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memangku jawatan tersebut sementara tempoh siasatan SPRM;
3) Membekukan semua kelulusan tanah yang terlibat dalam skandal tersebut;
4) Membentuk sebuah jawatankuasa terpilih Dewan Negeri yang dipengerusikan oleh Ahli Pembangkang yang bertujuan memantau siasatan skandal ini dan kemudian membentangkan satu laporan terperinci kepada Dewan;
5) Penyemakan semula semua permohonan tanah yang telah diluluskan dalam lima tahun;
6) Melaksanakan dasar pengisytiharan harta untuk kesemua Ahli EXCO kerajaan negeri Johor sebagai mencegah perbuatan khianat di kalangan Eksekutif.
Skandal tanah ini amat jelas; anak dan pegawai khas seorang EXCO kerajaan negeri terlibat dalam proses perundingan antara pihak kerajaan dan sektor swasta. Perkara yang dirundingkan adalah berkaitan dengan portfolio EXCO tersebut iaitu perihal jual beli tanah negeri.
Mengikut laporan media, SPRM bakal menahan lebih ramai individu dalam skandal tanah ini termasuk pegawai-pegawai kerajaan negeri yang lain.
Yang paling memeranjatkan ialah skandal tanah ini berlaku di bawah perhatian Menteri Besar sendiri yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi serta pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sebagai ketua kerajaan, Khaled Nordin seharusnya mengambil tindakan segera dan memberi penjelasan untuk mempertahankan reputasi “Team Johor” beliau. Keputusan beliau untuk mendiamkan diri bukan satu langkah yang bijak malah menimbulkan syak wasangka berlebihan tentang sejauh mana penglibatan pemimpin dan pegawai kerajaan negeri yang lain, termasuk beliau sendiri dalam skandal tanah ini.
Selain itu, kes penyelewengan tanah negeri merupakan pengkhianatan besar terhadap rakyat dan kedaulatan negeri Johor. Tanah negeri dijual beli melalui perbuatan rasuah dan bukan berasaskan kepentingan awam.
DAP menggesa agar LIMA langkah di atas dilaksanakan dengan segera demi memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri serius dalam membanteras budaya rasuah yang begitu berleluasa dalam pentadbiran Barisan Nasional sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.
Langkah pengisytiharan harta tersebut telahpun dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor.
Kami ingin memberi peringatan kepada Khaled Nordin bahawa jangan hanya asyik berpolitik dalam membandingkan kerajaan beliau dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. Biar juga bersainglah dari segi urus tadbir baik dan ketelusan. Kini taktik politik murahan Khaled Nordin terbongkar dengan krisis kepimpinan beliau sekaligus menyebabkan tergadainya tanah dan maruah negeri Johor yang tercinta.
(Kenyataan Media oleh DAP Johor pada 27hb Februari 2017 (Isnin) di Johor Bahru.)
Share this article
Related Articles


- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆

- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.