PAKATAN HARAPAN KLUANG GESA USAHA NAIK TARAF JALAN FT50 MELIBATKAN LALUAN AYER HITAM – KLUANG DISEGERAKAN

Umumnya, rakyat Kluang sedia maklum akan kes-kes kemalangan nyawa yang kerap berlaku di Jalan FT50 Batu Pahat – Kluang. Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong telah mengangkat isu keselamatan jalan ini sejak sidang dewan rakyat di Parlimen pada akhir tahun yang lalu.

Pada 24 Oktober 2016, beliau telah mengemukakan soalan pada sesi soal jawab parlimen. Intisari jawapan diberikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Binti Hj Abdul Rashid Shirlin ketika itu antaranya memberitahu bahawa sejumlah anggaran kos sebanyak RM80 juta masih dalam proses menunggu kelulusan daripada Agensi Pusat.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Kluang dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2017 juga telah meminta Kementerian Kerja Raya memasang lampu jalan sepanjang Jalan Batu Pahat, terutamanya dari Tol Ayer Hitam ke Kampung Sri Lalang.

Pada 20 Mac 2017 pula, beliau telah skali lagi mengangkat isu ini menerusi persidangan Kamar Khas. Pada kali ini, Datuk Rosnah menyatakan peruntukan RM80 juta yang diminta menerusi Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Kesebelas tidak diluluskan.

Semalam, buat yang kesekian kalinya Ahli Parlimen Kluang telah mengadakan lawatan ke Jalan FT50 Batu Pahat – Kluang. Turut hadir adalah ADUN Mengkibol Tan Hong Pin, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara kawasan Kluang Sdr Mahadzir Md Zili, Ketua Cabang KeADILan Sembrong Sdr Yusof Ahmad, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia Kluang Radzali Md Noor dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kluang Sdr Sheikh Omar Ali.

Ini juga merupakan gerak kerja bersepadu kali yang pertama di Kluang dengan penglibatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pasca pengisytiharan rasmi penyertaan parti tersebut ke dalam gabungan Pakatan Harapan.

Sebelum memulakan lawatan, satu mesyuarat ringkas telah dijalankan dekat Sri Lalang. Mesyuarat bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bertindak melibatkan keempat-empat parti bagi menggerakkan kempen penaiktarafan keselamatan Jalan FT50 khususnya bagi jalan melibatkan Ayer Hitam – Kluang.

Pakatan Harapan Kluang merakamkan setinggi penghargaan atas usaha Kementerian Kerja Raya. Namun, kami berpendapat respon yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri dalam persidangan Kamar Khas parlimen 20 Mac 2017 yang lalu masih belum menyentuh secara kemprehensif berkaitan penyelesaian isu kemalangan yang kerap berlaku melibatkan laluan Ayer Hitam – Kluang di Jalan FT50 ini contohnya di lokasi berhampiran PUSPAKOM dekat Taman Ria.

Pakatan Harapan Kluang amat bimbang dengan kes-kes kemalangan jalanraya di laluan Ayer Hitam – Kluang yang begitu serius melibatkan nyawa penggunanya.

Berikut adalah antara kes-kes yang berlaku melibatkan kematian di laluan Ayer Hitam – Kluang:

1. 17 April 2016, seorang mati apabila sebuah kereta terbabas ke dalam longkang besar.

2. 8 Mei 2016, seorang lagi mati apabila kemalangan melibatkan bas dan pejalan kaki.

3. 12 September 2016, tiga orang mati dan seorang cedera parah akibat kemalangan pertembungan antara dua motosikal.

4. 19 Februari 2017, sekali lagi kemalangan yang melibatkan pertembungan antara dua buah motosikal yang mengorbankan dua nyawa dan seorang cedera parah.

Untuk makluman, mangsa nahas adalah pelajar perempuan yang berumur 10 tahun. Setelah bertarung nyawa selama 26 hari, anak perempuan malang ini meninggal dunia pada 16 Mac 2017.

Untuk pengetahuan juga, bapa anak perempuan itu juga telah meninggal dunia serta-merta pada hari kemalangan berlaku 19 Februari 2017.

5. 20 Februari 2017 (13 jam kemudian), seorang lagi mati akibat sebuah kereta terbabas melanggar pokok.

Oleh itu, Jawatakuasa Bertindak yang dibentuk akan berbincang dan merangka tindakan sewajarnya termasuklah menggerakkan kempen kesedaran, penyediaan memorandum dan memanjangkan lagi isu ini kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk memastikan penyelesaian segera dan berkesan dapat diambil.

Cadangan-cadangan akan turut disertakan dengan mengambil kira kerisauan penduduk setempat yang terpaksa berhadapan risiko kemalangan maut di situ.

Pakatan Harapan Kluang berharap usaha yang dijalankan dapat membawa kita kepada penyelesaian yang lebih komprehensif dan berkesan dalam menangani permasalahan ini.

Kenyataan disediakan oleh,

SHEIKH OMAR ALI
Koordinator JK Bertindak
Kempen Keselamatan Jalan FT50 Ayer Hitam – Kluang

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More