Menebus perjuangan generasi yang telah disia-siakan: 20 tahun kemudian

Dua puluh tahun lalu, pada 2 Julai 1997, matawang baht Thailand diserang spekulator matawang yang mengakibatkan Krisis Kewangan Asia. Ketika itu saya berumur 20 tahun dan saya akan mencecah umur 40 pada hujung tahun ini.

Pada tahun 1997, saya tidak tahu bagaimana perasaan menjadi remaja berusia 20 tahun. Kini saya faham. Untuk sebuah negara yang beku di segi perubahan sepanjang tempoh dewasa generasi saya, ia bukan pengalaman yang menggembirakan.

Ketika itu, saya seorang pelajar di kolej swasta di Klang, Selangor dalam pengajian Program Pemindahan Ijazah Amerika (ADTP) dengan harapan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Pada awal tahun 1997 ringgit berada pada kadar 2.5 kepada satu dolar tetapi jatuh menjelang Januari 1998 pada kadar serendah 4.9 kepada satu dolar.

Sekitar Ogos 1997, ketika serangan matawang di Thailand merebak ke Malaysia, Indonesia, dan Korea Selatan, rakan-rakan sekolej yang bersedia melanjutkan pelajaran ke Amerika kelam-kabut menukar ringgit mereka kepada dolar sebelum nilai tukaran jatuh lebih rendah.

Pada suatu pagi di bulan September pada tahun sama, salah seorang rakan sepengajian keluarga berada tiba-tiba menangis ketika dalam sesi kuliah. Dia memberitahu kami bahawa pada minggu sebelumnya ayahnya menanggung kerugian teruk dan kehilangan harta keluarga. Dia tidak pernah merasa hidup papa kedana. Itu kali terakhir saya melihatnya.

Harta yang dikumpul berdekad lamanya hasil kerja keras dan keuntungan spekulasi tukaran wang pada tahun 1990-an lesap dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kalau pun bukan dalam beberapa hari. Itulah kesan krisis besar pertama yang pernah melanda Asia, sebelum krisis kewangan global yang lebih parah pada 2008.

Mahathir dan anak didik politiknya Anwar

Generasi kami tidak sepatutnya memulakan usia dewasa dalam keadaan seperti itu. Seperti kebanyakan orang ketika itu, kami tidak terkecuali dari dipengaruhi idea-idea besar Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia. Dalam ucapan perpisahan atau valedictorian saya mewakili kelas ’95, saya memuji apa yang saya lihat sebagai waktu yang tepat untuk generasi saya menikmati kemakmuran dan kesejahteraan dalam tahun-tahun mendatang sebagai rakyat Malaysia.
Bukan hanya graduan muda yang menyimpan harapan besar. Ketika tahun yang pesat dengan kemakmuran di antara 1989 dan 1997, ramai rakyat Malaysia yang meninggalkan negara pada 1970-an dan 1980-an pulang ke tanah air untuk mencari peluang baru.

Pada 1 Mei 1997, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad melantik timbalannya Anwar Ibrahim sebagai pemangku Perdana Menteri untuk dua bulan, yang dicatatkan sebagai “pelatih” untuk membuka jalan kepada Anwar mengambil alih kuasa apabila tiba masanya nanti.

Ia mungkin era yang paling gemilang dalam sejarah Malaysia sejak 60 tahun lalu: pemimpin berkebolehan meski bersifat autoritarian Dr Mahathir memberi laluan kepada anak didik politiknya Anwar yang dilihat sebagai pemimpin yang lebih berfikiran terbuka, mesra dan progresif.

Pandangan umum ketika itu adalah rakyat Malaysia rela menggadaikan kebebasan untuk kemakmuran di bawah pemerintahan Mahathir sementara Anwar berjanji akan meneruskan kemakmuran tetapi dalam masa sama perlahan-lahan membebaskan masyarakat daripada belenggu dan ketakutan.

Daripada harapan kepada kekecewaan
Sepanjang tempoh memegang jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 hingga menguatkuasakan tangkapan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, Mahathir dilihat sebagai bapa pemodenan negara. Malah ada yang beranggapan bahawa beliau boleh menjadi pemimpin demokratik, terutama pada awal pentadbirannya di mana mereka yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1960-an dan 1970-an dibebaskan serta-merta. Tidak dapat dinafikan, ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981, negara seperti melepaskan diri dari masa lalu.

Di antara pemilihan UMNO pada April 1987 apabila Mahathir mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan kemenangan tipis 43 undi (daripada kira-kira 2,500 undi) dan pilihanraya umum pada Oktober 1990, pentadbiran Mahathir dicabar dari dalam dan luar UMNO. Salah satu cabaran paling kuat adalah penubuhan Semangat ’46 yang kemudian bekerjasama dengan parti pembangkang.

Di antara 1990 dan 1997, selepas mengalahkan pembangkang, Mahathir mengubah persepsi umum terhadapnya melalui pengumuman objektif kebangsaan untuk Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan menggesa perlunya menyatukan masyarakat pelbagai kaum dalam satu visi – Bangsa Malaysia – dan mencetuskan pertumbuhan pesat ekonomi yang tidak pernah terjadi sebelumnya. Ia adalah era ekonomi pasaran limpahan ke bawah.
Bagaimanapun, Krisis Kewangan Asia 1997 memusnahkan impian itu.

Persengketaan Anwar-Mahathir
Persengketaan di antara Mahathir dan Anwar dapat dirasakan sebaik sahaja Mahathir pulang ke tanah air selepas bercuti dua bulan. Masing-masing berbeza pendapat dalam menangani krisis kewangan yang sedang terjadi. Daripada persoalan sama ada spekulator matawang George Soros terlibat mencetuskan krisis itu kepada isu kadar faedah dan tindakan menyelamatkan syarikat tertentu, kem Mahathir dan Anwar bertelagah tanpa henti dalam setiap dasar.

Sewaktu dua bulan berkhidmat sebagai pemangku perdana menteri, Anwar memperjuangkan penggubalan Akta Pencegahan Rasuah untuk memberi agensi yang berkenaan lebih kuasa. Tindakan itu dilihat sekutu Mahathir sebagai percubaan untuk menyerang mereka, yang kemudian mencetuskan gerakan sulit menjatuhkan Anwar.

Mahathir dan almarhum bekas Presiden Indonesia Suharto berada di Kaherah, Mesir menghadiri sebuah persidangan pada Mei 1998, seminggu sebelum Suharto dijatuhkan pada 21 Mei. Kejatuhan Suharto mengejutkan Mahathir. Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai idea tersendiri, Mahathir tidak pernah mempunyai asas kuat dalam UMNO dan sentiasa perlu mengimbangi kumpulan-kumpulan yang saling bertentangan untuk berada di atas mereka. Tentunya Mahathir cemburu dengan cengkaman kuku besi Suharto ke atas Indonesia.

Ketika itu, Mahathir merasakan anak didik politiknya Anwar sudah bersedia untuk merampas pucuk pimpinannya serta menghapuskan legasinya.

Bagaimanapun, Anwar tidak cukup bersedia untuk mencabar Mahathir. Dalam perhimpunan UMNO pada Jun 1998, Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Zahid Hamidi dipaksa oleh Anwar untuk menarik balik tujuh perenggan dalam ucapannya yang sepatutnya merupakan serangan pertama ke atas Mahathir. Menurut seorang sarjana Korea Selatan Hwang Inwon yang merupakan pakar politik Malaysia, salah seorang orang kepercayaan Anwar pernah menggambarkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu merupakan individu yang tidak cukup daya “killer instinct” dan terlepas peluang keemasan untuk menyerang.

Pertempuran politik yang sengit
Mahathir melawan semula dan mengepung Anwar. Pada September 1998, Anwar dilesapkan dari gelanggang politik dengan cara yang paling tragik.

Saya membaca sejarah sambil mengeluh. Jika Anwar mencabar Mahathir pada Jun 1998, beliau mungkin boleh menang. Atau setidaknya beliau mungkin tidak akan dipinggirkan.

Tapi apa yang terjadi tidak boleh diubah. Sementara negara tidak banyak berubah dari segi ekonomi dan rakyat Malaysia semakin putus harapan, negara menyaksikan perubahan besar politik dalam tahun-tahun selepas itu.

Saya tidak akan terlibat dalam politik sepenuh masa pada usia muda kalau bukan kerana inspirasi daripada gerakan Reformasi yang dicetuskan Anwar. Anwar boleh memilih untuk dipudarkan seperti Musa Hitam – timbalan perdana menteri pertama di bawah Mahathir – sedekad sebelum itu. Tetapi Anwar memilih untuk melawan.

Kesan perjuangan Anwar akhirnya dapat dirasakan dalam pilihanraya pada 2008 dan 2013 yang menyaksikan kedua-dua pihak menerima undi yang hampir sama banyak.

Ironi takdir
Sejarah adalah sesuatu yang ironis. Kini Mahathir sedang melawan Najib Razak – yang dulu merupakan pengganti kegemarannya selepas Anwar. Kini Mahathir bersatu dengan pakatan pembangkang yang lahir daripada gerakan Reformasi yang menentangnya hampir dua dekad lalu.

Tanpa kesungguhan Anwar sejak 1998, Mahathir tidak akan mempunyai pakatan pembangkang yang kukuh untuk beliau berpaling selepas meninggalkan UMNO dan menubuhkan Bersatu pada 2016.

Pada masa sama, Anwar yang sedang dipenjarakan dan partinya memerlukan momentum serta sokongan tambahan daripada gerakan pembangkang yang diterajui Mahathir memandangkan sokongan kepada pembangkang asal yang diterajui Anwar sudah mencapai kemuncaknya pada pilihanraya 2013.

Kedua-duanya adalah pemimpin yang tegas dan mereka berjuang tanpa kenal erti lelah. Semangat mereka tidak mampu dipatahkan oleh penjara (dalam kes Anwar) atau usia tua (Mahathir). Malah, Mahathir, Anwar dan Lim Kit Siang adalah individu yang telah membentuk politik Malaysia sejak 50 tahun lalu.

Persepakatan bersejarah mereka untuk melawan Najib dan UMNO tidak pernah dibayangkan, namun itulah realiti yang sedang kita semua saksikan.

Sejarah menguji Mahathir dan Anwar dengan cabaran yang luar biasa. Mereka perlu bersatu dan kembali berbaik semula dengan ikhlas. Jika tidak, usaha menumbangkan UMNO dan Najib hanyalah mimpi semata-mata.

Menebus perjuangan

Dua dekad lalu, akibat Krisis Kewangan Asia, Mahathir dan Anwar berpecah dan negara terus merudum sejak itu. Kesan dari sebuah negara yang berpecah ke atas kehidupan generasi yang telah disia-siakan amat ketara.
Malaysia kini berada di persimpangan bersejarah. Penyokong Mahathir dan Anwar perlu berbaik semula untuk memberi peluang kepada perubahan dan melahirkan sebuah harapan.

Mari kita sama-sama berdoa dan berharap agar kita dapat membina semula watan tercinta ini, bermula dengan perubahan kerajaan untuk kali pertama sejak Merdeka, dalam pilihanraya akan datang.

Saya percaya Malaysia telah menemukan peluang untuk menebus semula perjuangannya. Kami, generasi yang telah disia-siakan berhutang budi kepada generasi hari ini dan generasi akan datang. Masa untuk berubah sudah tiba. Inilah masanya untuk sebuah kerajaan baru.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles