Gesaan kepada Irwan Serigar Abdullah dan Nancy Shukri untuk merespon siasatan AS ke atas Uber

Kenyataan media oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 22 September 2017 di Kuala Lumpur.

Saya menggesa Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri untuk merespon laporan Bloomberg pada 20 September 2017 bertajuk “Uber Faces Widespread Asia Bribery Allegations Amid U.S. Criminal Probe” (Uber Berdepan Tuduhan Rasuah Berleluasa di Asia di Tengah berlangsungnya Siasatan Jenayah AS.)

Laporan berita itu mendakwa bahawa

“Para pendakwa raya sedang fokus ke atas aktiviti mencurigakan di sekurang-kurangnya lima negara Asia: China, India, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan. Sebagai contoh, firma guaman Uber sedang menyemak laman web perjanjian kewangan yang melibatkan kerajaan Malaysia yang berkemungkinan mempunyai pengaruh di sana.”

“Ketika Jabatan Kehakiman (AS) masihmenyemak kemungkinan kes jenayah, Uber sedang bekerjasama dengan firma guaman O’Melveny & Myers LLP untuk meneliti rekod bayaran luar negara dan mewawancara kakitangan, yang menimbulkan persoalan tentang kenapa urus niaga yang berpotensi bermasalah tidak didedahkan lebih awal.”

“Firma guaman Uber itu juga sedang menyiasat sumbangan korporat yang dimumkan pada Ogos 2016 berjumlah puluhan ribu dolar kepada Inovasi Global dan Pusat Kreativiti Malaysia, pusat usahawan yang disokong kerajaan. Pada ketika itu, dana persaraan rakyat Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), melabur AS$ 30 juta dalam Uber, kata individu yang maklum dengan perjanjian itu. Tidak sampai setahun kemudian, kerajaan Malaysia meluluskan undang-undang perkhidmatan perkongsian kenderaan yang cenderung memberi kelebihan kepada Uber dan perkhidmatan seumpamanya. Para peguam kini cuba menentukan sama ada wujud unsur quid pro quo (permuafakatan).”

Irwan Serigar Abdullah adalah pengerusi Inovasi Global dan Pusat Kreativiti Malaysia (MaGIC) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP). Beliau perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia penglibatannya dalam dakwaan skandal Uber itu.

MaGIC perlu mendedahkan butiran sumbangan yang diterima. KWAP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional, dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) lain perlu mendedahkan pelaburan mereka dalam Uber kepada rakyat Malaysia kerana ada kemungkinan tinggi terjadi konflik kepentingan.

Pada Julai lalu, kerajaan mendesak pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (2010) untuk meluluskan perkhidmatan e-hailing.

Dalam perbahasan di parlimen, saya minta Menteri Nancy Shukri untuk menyediakan butiran pelaburan Khazanah dan GLIC lain dalam Uber namun gagal. Maka, dengan perkembangan terbaru ini, saya menggesa Nancy untuk menjawab pendedahan yang dibuat oleh laporan Bloomberg itu.

Parlimen Malaysia tidak seharusnya meluluskan suatu undang-undang hanya kerana ia dilobi firma asing (Uber) dan beberapa pegawai kerajaan yang mungkin mendapat manfaat secara haram daripada proses itu. Integriti Parlimen kini dipersoalkan. Sementara mata pencarian pemandu teksi, pemandu Uber dan Grab juga dipertaruhkan.

Dalam siri maklum balas saya dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ekoran pelulusan pindaan itu, saya mendapati bahawa kerajaan mengambil perspektif bahawa e-hailing mempunyai masa depan sementara perkhidmatan teksi adalah industri yang semakin tenggelam. Hal ini tidak seharusnya dilihat seperti itu.

Pelulusan perkhidmatan e-hailing tanpa rancangan menyeluruh untuk membantu industri perkhidmatan teksi dan tanpa sebarang perlindungan kepada pemandu e-hailing hanya akan menguntungkan Uber dan Grab. Cepat atau lambat, perkhidmatan teksi akan dilupuskan dan pemandu e-hailing akan lebih diperah lagi oleh Uber dan Grab yang memonopoli pasaran.

Pemandu-pemandu Uber dan Grab sudah mula mengeluh tentang ketiadaan platform untuk mereka menyuarakan kesulitan yang mereka dihadapi. Ramai antara mereka merasakan SPAD dan kerajaan seakan-akan bertindak sebagai jurucakap kepada Uber dan Grab.

Ahli-ahi Parlimen DAP pernah mencadangkan agar sebuah tribunal dimasukkan dalam pindaan terhadap akta itu namun ditolak oleh kerajaan.

Ahli Parlimen DAP juga mencadangkan agar “komisyen” yang dikutip oleh Uber dan Grab diterhadkan kepada 15 peratus namun turut ditolak. Kini, Uber mengutip 25 peratus daripada tambang yang diterima pemandu, sementara Grab pula mengutip 20 peratus. Kerajaan menolak cadangan mengehadkan kadar komisyen.

Kerajaan perlu dilihat adil dan tidak pilih kasih dalam menangani kepentingan umum. Kerajaan juga perlu membantu pihak yang lebih lemah untuk mencapi perjanjian yang seimbang. Dalam isu e-hailing, kerajaan dilihat berpihak kepada Uber dan Grab berbanding kepentingan pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan e-hailing.

Jika kerajaan didapati berpihak kepada Uber kerana rasuah dan pelobi, ia tak ubah sebuah pengkhianatan kepada rakyat biasa Malaysia.

Laporan Bloomberg itu merupakan satu dakwaan serius. Saya menggesa Irwan Serigar dan Nancy Shukri merespon secepat mungkin.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More