Suruhanjaya Tenaga perlu melindungi pengguna dalam proses tuntutan kerugian hasil TNB

 

Ucapan Ahli Parlimen Kluang di Kamar Khas Parlimen pada 23 Oktober 2017

Tindakan tuntutan kerugian hasil oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap pihak yang dituduh terlibat dalam kes-kes penggunaan elektrik secara curang seperti curi elektrik atau ganggu meter telah menimbulkan banyak rungutan daripada kalangan pengguna.

Berdasarkan aduan yang diterima di kawasan parlimen Kluang, kebanyakan pengguna tidak memahami proses tuntutan kerugian hasil TNB, terutamanya cara pengiraan amaun. Pengguna tidak berpuas hati kerana dikenakan bayaran yang tidak munasabah (kadangkala boleh mencecah RM20,000) tanpa diberitahu cara pengiraan terperinci dalam surat tuntutan.

Ada juga pemilik premis yang terpaksa menanggung bil tinggi kerana meter elektrik di premis mereka telah diubahsuai oleh penyewa sebelum ini.

Isu ini melibatkan banyak pengetahuan teknikal dan memang sukar difahami oleh orang ramai.

Pertelingkahan di antara pengguna dan TNB sering dibawa ke mahkamah dan membazir sumber kehakiman negara kita kerana kerajaan persekutuan gagal mewujudkan satu mekanisme yang mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.

Saya bercadang untuk meminda Seksyen 38, Akta Bekalan Elektrik 1990, untuk memperkukuhkan hak-hak pengguna. Tempoh notis pemotongan bekalan elektrik 24 jam perlulah dipanjangkan kepada 72 jam melalui pindaan Subseksyen 38(1). Tempoh pemotongan maksimum 3 bulan perlu dikurangkan kepada 1 bulan melalui pindaan Subseksyen 38(2). Pengguna mesti dijamin hak untuk diberitahu tentang prosedur operasi dan proses tuntutan TNB sebelum suatu pemeriksaan dijalankan.

Garis Panduan Prosedur Tuntutan Kerugian Hasil Oleh Pemegang Lesen Bagi Kes-kes Penggunaan Elektrik Dengan Curang juga perlu dipinda agar TNB tidak menuntut kerugian hasil sewenang-wenangnya. Perkara 4.2.1 perlu dipinda supaya pengguna diwajibkan hadir semasa pemeriksaan TNB dijalankan, walaupun meter ditempatkan di tempat-tempat awam. Perkara 5.2 juga perlu dipinda untuk mewajibkan TNB menunjukkan cara pengiraan dan tempoh pengiraan tuntutan kerugian hasil.

Hubungan antara TNB dan pengguna bukan setakat hubungan di antara syarikat dan pelanggan. TNB sebagai sebuah syarikat pembekal elektrik tunggal di Semenanjung Malaysia, diamanahkan oleh kerajaan untuk mengurus utiliti elektrik bagi manfaat rakyat. Kerajaan mesti memberi perlindungan sewajarnya kepada pengguna TNB supaya mereka tidak akan dieksploitasi.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), khususnya Suruhanjaya Tenaga, harus mengambil inisiatif dan memainkan peranan yang lebih besar. Suruhanjaya Tenaga juga boleh dijadikan sebuah tribunal yang mendengar dan mengadili aduan pengguna terhadap tuntutan TNB.

TNB tidak sepatutnya diberi kuasa mutlak dalam pemeriksaan meter dan pengiraan amaun tuntutan kerugian hasil kerana percanggahan kepentingan. Peranan Suruhanjaya Tenaga sebagai pihak ketiga boleh dijadikan penjaga gerbang dalam tuntutan TNB untuk memastikan proses yang adil dan berkredibiliti.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose โ€” to make profits for its shareholders. For over…
Read More