
Apakah rahsia di sebalik pembinaan Kem tentera Segamat
- 30 October 2017
- Institution
Ucapan Parlimen Semasa Membahas Bajet 2018 (Bahagian II) Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 30hb Oktober 2017
Bagi perbelanjaan pertahanan pula saya ingin menyeru supaya istilah “rahsia pertahanan” tidak dijadikan alasan oleh Kementerian Pertahanan untuk mengelakkan diri dari pemantauan dan pengawasan Dewan yang mulia ini.
Saya minta Kementerian Pertahanan memberi penjelasan sama ada pembinaan Kem Tentera Segamat di negeri Johor dibuat atas pertimbangan strategi pertahanan Negara atau semata-mata untuk mempertahankan kepentingan politik dan pilihanraya bagi parti kerajaan.
Untuk makluman dewan yang mulia ini, Kem Segamat masih dalam proses pembinaan dan papan notis di luar tapak pembinaan menunjukkan bahawa tarikh jangka siap bina kem tersebut ialah 16 April 2018.
Walaubagaimanapun, Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2017 yang sedang dipamerkan telah menunjukkan pendaftaran seramai 1,079 anggota tentera atau pasangan mereka di dua lokaliti baru di kawasan Parlimen P140 Segamat N02 Jementah. Antaranya 1,051 pemilih di Kem Segamat, dan 28 pemilih di Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Segamat.
Isu yang timbul sekarang adalah bagaimanakah seseorang anggota tentera dipindahkan untuk bertugas di sesebuah kem tentera yang masih dalam proses pembinaan dan sudah tentu belum mendapat Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan, atau Certificate of Completion and Compliance – CCC dengan izin.
Ini bukan sahaja merupakan sesuatu manipulasi sistem pilihanraya malah juga telah membawa banyak kesulitan kepada anggota tentera yang sebenarnya bertugas di sesuatu kawasan yang lain dan mungkin terletak jauh dari Segamat. Kerajaan tidak seharusnya menyusahkan anggota tentera sehingga mengheret mereka ke medan pertarungan politik.
Saya juga mencadangkan bahawa Dewan yang mulia ini menetapkan sebarang pembelian aset atau sistem pertahanan yang melebihi RM100 juta oleh Kementerian Pertahanan, mesti dibawa ke Parlimen untuk dibahas, dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara sebagai syarat meneruskan pembelian ini.
Share this article
Related Articles


- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆

- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.