Masalah kelas-kelas tambahan dan isu beg sekolah

Ucapan Kamar Khas Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 27hb November 2017 (Isnin)

Saya ingin membangkitkan beberapa isu yang dihadapi oleh murid-murid Sekolah Rendah terutamanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), iaitu masalah kelas-kelas tambahan dan beban beg sekolah pelajar yang semakin berat.

Pelajar hari ini terpaksa menghadiri kelas-kelas tambahan yang membawa beban dan kesulitan kepada murid, ibubapa dan juga guru sekolah.

Kelas-kelas tambahan yang tidak munasabah dan melebihi masa ini bukan sahaja tidak membantu murid-murid dalam pelajaran, malah akan menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar. Tekanan kewangan Ibubapa juga meningkat kerana terpaksa membeli buku-buku kerja tambahan untuk kelas tambahan mandatori, bahkan kos sara hidup hari ini sudah tinggi dan menyusahkan.

Kelas-kelas tambahan seperti Kelas Awal Pagi dan Kelas bimbingan PIBG telah menyebabkan masa belajar murid-murid dipanjangkan. Masalah kekurangan tidur yang dialami oleh kanak-kanak hari ini turut menjejaskan keberkesanan pembelajaran mereka. Begitu juga guru-guru yang terlibat dalam kelas-kelas tambahan yang sebenarnya di luar bidang tugas mereka.

Banyak sekolah juga mengadakan Kelas Tambahan Cuti Sekolah untuk membantu murid-murid menangani silibus tahun yang baru. Saya minta Kementerian Pendidikan menyatakan pendirian dan penilaian Kementerian dalam keberkesanan dan keperluan kelas-kelas tambahan ini. Adakah kelas-kelas tambahan seperti yang tersebut dibenarkan? Kementerian diminta menyatakan pekeliling-pekeliling sedia ada yang terpakai kepada kelas tambahan. Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh pihak sekolah dalam mengadakan kelas-kelas tambahan ini?

Saya ingin menyeru Kementerian dan pentadbir sekolah, kelas-kelas tambahan bukanlah cara yang betul untuk mendidik generasi baru, sebaliknya ia lebih membebankan daripada membantu.

Selain itu, masalah beban beg sekolah pada murid-murid kian meningkat akibat jumlah buku-buku kerja yang perlu dibeli semakin menambah.

Saya mengalu-alukan tindakan kementerian yang menguatkuasakan semula Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 sebagai satu inisiatif meringankan beg sekolah murid-murid, walaupun pekeliling ini sepatutnya diperketatkan 17 tahun yang lalu.

Sejak bulan Oktober, saya telah mengumpul senarai-senarai buku tahun 2018 dari 60 buah SJKC di seluruh Malaysia untuk rujukan kementerian. Saya mendapati bahawa ada sekolah menukarkan “buku kerja” kepada “buku rujukan” di dalam senarai buku, dan ada beberapa buku-buku kerja dijadikan satu “koleksi buku kerja”, untuk memintas larangan pekeliling. Adakah terdapat “hubungan istimewa” antara pentadbir sekolah dan syarikat buku?

Saya juga ingin bertanya mengapakah pelajar diwajibkan membeli buku latihan bergaris keluaran Jabatan Pendidikan Negeri?

Saya berharap kementerian dapat menangani isu beg sekolah yang sekian lama ini. Sekolah rendah sama ada Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Jenis Kebangsaan pun menghadapi masalah yang sama. Saya sentiasa bersiap sedia untuk bekerjasama dengan pihak kementerian.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles