Cabaran DAP dalam Malaysia Baharu

Untuk menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan berwibawa, amat penting bagi parti-parti pemerintah kerajaan untuk menjadi parti yang stabil, berdisiplin dan bermatlamat.

Berdasarkan objektif ini, saya ingin membincangkan beberapa kesukaran dan cabaran yang dihadapi DAP daripada menjadi parti pembangkang ‘tetap’ kepada rakan kongsi dalam kerajaan gabungan parti.

Daripada Kedai Runcit kepada Pasaraya Besar

Sehingga Tsunami politik 2008, DAP hanya sebuah parti kecil dengan sekumpulan pemimpin dan ahli yang berdedikasi dan tidak pernah meletakkan harapan untuk memerintah di mana-mana peringkat.

Ironisnya, akibat status DAP pada masa itu sebagai pembangkang ‘tetap’, parti ini telah melahirkan personaliti yang dihormati dalam negara seperti Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh, tetapi pada masa yang sama DAP kurang pelapis yang berbakat.

Kini, DAP sebahagian daripada kerajaan gabungan di peringkat persekutuan dan beberapa kerajaan negeri, maka bakat kepimpinan besar kemungkinan dapat dikembangkan.

Cabaran sekarang adalah untuk menguruskan sebuah parti besar yang mempunyai ahli daripada pelbagai latar belakang, tetapi bukan semuanya pernah melalui jalan berliku-liku dan kesukaran yang dihadapi generasi lama dalam membentuk parti.

Daripada penyanyi solo kepada orkestra

Sewaktu menjadi pembangkang tetap, DAP tidak memerlukan penyelarasan dasar.

Mereka hebat dalam mengkritik dan mendedahkan salah guna kuasa kerajaan Barisan Nasional. Mereka ibarat penyanyi solo yang hebat. Menjadi pihak berkuasa bermaksud pemimpin DAP perlu menjadi sebuah orkestra yang harmoni, mempunyai mesej dasar yang jelas dan konsisten.

Rakyat dan rakan dalam Pakatan Harapan meletakkan harapan agar parti seiring dengan dasar kerajaan.

Daripada parti yang bersuara melalui media kepada parti penyelesai masalah

Era pemerintahan Barisan Nasional tidak memberi ruang kepada pembangkang turut serta dalam mentadbir, maka pembangkang hanya menggunakan platform media untuk bersuara.

Saya sentiasa menyarankan lebih banyak jawatankuasa parlimen ditubuhkan dalam mencipta persekitaran dan ekosistem bagi membolehkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang membicangkan isis-isu pentadbiran bersama.

Kini, pemimpin-pemimpin DAP di setiap peringkat perlu melakukan lebih daripada sekadar menekankan masalah kepada media. Kini, mereka perlu menjadi penyelesai masalah (dan diharapkan dapat menjadi inspirasi masa hadapan) di kampung-kampung, bandar, negeri dan peringkat nasional.

Perspektif 20 hari dan 20 tahun

Sebagai kerajaan, kita bukan sahaja menyelesaikan masalah 20 hari akan datang, tetapi turut memikirkan perspektif untuk 20 tahun akan datang, kerana setiap keputusan dibuat hari ini mempunyai kesan jangka panjang.

Ahli politik DAP dan Pakatan Harapan perlu belajar berundingan dengan rakan gabungan, penjawat awam, masyarakat sivil dan peniaga dalam setiap keputusan.

Kita perlu membimbing rakyat memahami kesan sesuatu dasar dan menerima penyelesaian sukar yang tidak semestinya sempurna, supaya perubahan sebenar yang lebih baik akan berlaku kepada semua pihak dan diterima oleh kebanyakan rakyat.

DAP atau Pakatan Harapan?

Seperti rakan-rakan dalam gabungan Pakatan Harapan, DAP tidak mampu untuk memerintah sendiri.

Kita mengharapkan rakan kongsi kita mempunyai semangat gabungan yang sebenar, maka pemimpin DAP perlu juga memastikan di gabungan politik Pakatan Harapan berfungsi dengan efektif dan dapat membuat keputusan berdasarkan kepentingan Pakatan Harapan, bukan kepentingan DAP sahaja.

Kini, cabarannya adalah untuk mengembangkan semangat tersebut di setiap peringkat dan membentuk kerjasama, menghormati antara satu dan yang lain serta memikirkan kepentingan Pakatan Harapan, bukan hanya berdasarkan parti masing-masing, kerana cara ini akan melemahkan kerjasama.

Bukan parti berdasarkan kaum

UMNO dan PAS menggunakan DAP sebagai ‘pihak jahat’ (bogeyman) untuk mencalarkan kewibawaan pemimpin Melayu Pakatan Harapan supaya orang Melayu menolak gabungan ini.

Dukacita sekali apabila beberapa rakan DAP dalam Pakatan Harapan mahu DAP fokus kepada orang bukan Melayu sahaja.

Lebih malang lagi apabila beberapa pihak dalam DAP yang masih berfikir dalam kerangka kaum dan berharap parti menjadi juara untuk orang bukan Melayu.

Pakatan Harapan tidak boleh menjadi lebih Melayu daripada UMNO, lebih Islam daripada PAS, lebih Cina daripada MCA, dan lebih India daripada MIC. Kerangka kaum tidak akan membawa Pakatan Harapan ke arah perjuangan yang sebenar.

Dengan menyedari masyarakat Malaysia masih berpecah, DAP dan Pakatan Harapan perlu mencari naratif dan pandangan yang lebih baik melangkaui perpecahan sedia ada dan memulihkan keadaan negara dengan tidak memberi laluan kepada pandangan ekstremisme menguasai wacana awam.

Kepentingan Bersama

Terdapat dua kepercayaan popular dalam pemikiran ahli politik Malaysia. Pertama, Melayu berada di luar bandar dan kedua, Melayu dan bukan Melayu mempunyai budaya berbeza, justeru tidak mempunyai kepentingan bersama.

Statistik terkini menunjukkan 78 peratus rakyat Malaysia dan 70 peratus Melayu tinggal di bandar, walaupun ramai orang Melayu pulang ke kampung halaman untuk mengundi. Melayu tidak lagi semuanya berada di kawasan luar bandar.

Banyak kaji selidik menunjukkan hasil yang sama: semua masyarakat prihatin tentang pekerjaan , gaji, kos sara hidup, dan peluang mobiliti sosial, pendidikan untuk anak-anak, maruah dan jaringan keselamatan. Kepentingan bersama ini telah menyatukan kita semua.

Banyak lagi perkara yang boleh menyatukan berbanding memecahkan kita. DAP perlu menyuarakan kepentingan bersama dan menyampaikannya kepada seluruh rakyat Malaysia, sebagai sebahagian daripada kerajaan gabungan Pakatan Harapan, yang bekerja seiring dengan rakan-rakan dalam gabungan.

Selamat Ulang Tahun DAP Ke-53.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan