Kembali Bermula

Berpuluh tahun lamanya kita berjuang untuk menumbangkan Barisan Nasional. Suatu tempoh masa yang lama juga akan diambil untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan oleh BN dan Datuk Seri Najib Razak. Memang tidak ada jalan pintas.

Tidak ramai yang betul-betul mengetahui bagaimana kita mampu menumbangkan kelptokrasi dan politik perkauman Najib. Ramai yang hanya mengundi pada hari pilihanraya, dan perubahan terjadi sekelip mata. Bagi mereka yang mahu mengetahui bagaimana kita sampai ke tahap ini, tontoni dokumentari hebat yang sedang ditayangkan di pawagam – ‘M for Malaysia’.

Menitis air mata sambil lagu ‘Bermula Kita’ nyanyian Yuna berkumandang di akhir ‘M for Malaysia’. Dokumentari yang serius dan agak menghiburkan ini mengingatkan kita bahawa pada 9 Mei 2018, jutaan rakyat Malaysia telah mencipta sejarah.

Ia hanya dapat terjadi akibat perdamaian secara besar-besaran antara Dr Mahathir Mohamad dan anak didik yang bertukar musuhnya; Anwar Ibrahim, serta antara penyokong Mahathir dan juga tapak sokongan DAP.

‘M for Malaysia’ merakam kesukaran perdamaian. Kit Siang, Guan Eng, Mat Sabu dan ramai lagi, menjadi mangsa Ops Lalang pada Oktober 1987. Anwar Ibrahim pula menjadi mangsa pada tahun 1998. Dokumentari ini secara jelas memperlihatkan derita dan kesakitan yang ditanggung.

Namun pada 2016, pemimpin-pemimpin yang sama telah berhadapan suatu pilihan yang mustahil: bersatu dan berdamai atau terus melihat Najib memerintah selama-selamanya sehingga habis negara dirompak.

Mahathir, Anwar, Kit Siang dan yang lain-lain secara berani telah memilih untuk berdamai. Ada antara kita yang telah lupa betapa kita di Pakatan Harapan telah begitu berputus asa. Namun kita menangani cabaran-cabaran itu, sambil para pemimpin meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.

‘M for Malaysia’ menghidangkan kisah yang begitu menyentuh hati ini; tentang menyulam sebuah gabungan yang mustahil, dan segala kepayahan yang terkait dengannya.

Melihat babak Saifuddin Abdullah memberitahu khalayak di Hotel Sheraton bahawa Pakatan telah cukup 112 kerusi untuk membentuk kerajaan di layar perak membawa begitu banyak emosi. Kita telah berjaya melakukannya. Kita menang, meski saya tewas di kerusi yang saya tandingi.

Malaysia telah diberi nafas baharu dan permulaan yang baharu melalui peti undi. Setitis darah pun tidak tumpah. Banyak yang telah berubah, tidak kira kecil ataupun besar.

‘M for Malaysia’ mengingatkan saya tentang kesukaran yang telah kita lalui untuk menekan butang ‘reset’ ini. Marilah kita sama-sama menghargai permulaan baharu ini dan melakukan yang terbaik, demi seluruh rakyat Malaysia. Jika kita putus asa sekarang, kita akan menyesal selama-lamanya.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi