Ranjau sepanjang jalan menuju pakatan politik

29 November 1999 merupakan hari yang murung buat DAP. Boleh dikatakan keputusan pilihan raya umum 1999 adalah yang paling buruk dalam sejarah DAP, walaupun jika diambil kira bilangan kerusi yang dimenangi, sebenarnya tidaklah teruk mana. Tetapi Lim Kit Siang dan Karpal Singh – pemimpin besar parti – tewas di kerusi masing-masing di Bukit Bendera dan Jelutong.

Bagi DAP, nampaknya segalanya telah berakhir. Ketika saya mengucapkan tahniah kepada Teresa Kok atas kemenangan pertamanya pada keesokan hari di kedai kopi Seaview berhampiran ibu pejabat lama DAP di Petaling Jaya, beliau dengan sedih berkata bahawa lebih baik dia kalah daripada melihat Kit Siang dan Karpal kehilangan kerusi masing-masing.

Beberapa hari kemudian, Kit Siang meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung, dan mendiang Kerk Kim Hock mengambil alih.

Pada lewat malam hari mengundi, kami pekerja kempen yang muda masih berjaga di ibu pejabat. Kami berkampung di sana sepanjang tempoh kempen kerana berkempen untuk Hew Kuan Yau (Superman) yang turut tewas di kerusi DUN Bukit Gasing.

Berdarah muda, kami bersorak meraikan kemenangan PAS di Terengganu dan Kelantan; sehingga pekerja parti yang lebih tua adan sedang bersedih merasa tidak senang hati. Bagi mereka, DAP tewas kerana bekerjasama dengan PAS dalam Barisan Alternatif.

Perjuangan yang tidak selesai

Sepanjang tempoh dua tahun sehingga DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif pada 22 September 2001, pihak parti terutamanya Kit Siang telah berusaha keras untuk melaksanakan dua tugas besar:

• Meyakinkan orang bukan-Melayu betapa perlunya bekerjasama dengan PAS dalam satu pakatan; dan

• Menjelaskan kepada PAS kenapa parti itu perlu terus istiqamah di jalan tengah, dan tidak tergoda dengan pandangan-pandangan ekstrem.

Pada hari saya melapor diri sebagai pembantu politik pertama Teresa Kok pada 16 Disember 1999, beliau tidak berada di pejabat. Beliau dalam rangka lawatan ke Kelantan dan Terengganu bersama Kit Siang untuk bertemu Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, dan Tuan Guru Hadi Awang.

Sesi-sesi dialog dianjurkan bagi membawa Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Hadi berucap di Dewan Perhimpunan Cina Selangor untuk berinteraksi dengan khalayak bukan-Islam.

Saya turut mengetuai beberapa lawatan pengundi-pengundi Teresa ke pejabat-pejabat kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam usaha melawan kempen ketakutan yang dibangkitkan oleh akhbar-akhbar Cina terhadap PAS.

Dalam suatu majlis makan malam tertutup, saya melihat sendiri bagaimana sukarnya kehidupan buat Kit Siang selepas kekalahannya yang begitu memalukan. Tetapi beliau tidak merajuk atau membuang masa, sebaliknya terus bergerak ke seluruh negara, menentang segala kemustahilan untuk mengekalkan pakatan Barisan Alternatif yang masih muda sehinggalah ia tidak boleh dipertahankan lagi.

Saya sangat mengkagumi mantan presiden PAS waktu itu, Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Saya sering terfikir, kalaulah Ustaz Fadzil yang menang kerajaan negeri Kedah, dan bukannya Hadi di Terengganu; sejarah mungkin berbeza hari ini. Haji Hadi, sejak dahulu hingga kini, tidak peduli sangat tentang perlunya usaha memperkukuh pakatan berbilang kaum.

PAS terus ditekan oleh Utusan dan UMNO kerana berkawan dengan DAP, manakala DAP pula terus ditekan oleh akhbar Cina dan Tamil serta parti-parti bukan-Melayu dalam BN kerana berkawan dengan PAS.

Dalam kempen 1999, MCA Bukit Bintang telah menggantung bendera PAS pada jam 4 pagi pada hari mengundi walaupun PAS tidak bertanding di kawasan itu. Pada kempen 2004, MCA Bukit Bintang bertindak lebih berani dengan menggantung ‘roket hijau’ di seluruh kawasan sepanjang tempoh kempen, bagi mengaitkan PAS dengan DAP walaupun Barisan Alternatif telah dibubarkan pada 2001. Pada ketika itu, anggapannya ialah apabila PAS disamakan dengan DAP, ia akan membawa makna kehancuran politik untuk DAP.

Latar berbeza, aspirasi yang sama

Untuk tempoh 20 tahun akan datang, malah pada ketika ini pun, pergulatannya kekal sama yang kadang kala menyakitkan diri saya.

Pertama, untuk meyakinkan akar umbi DAP serta pemimpin dan rakan gabungannya bahawa kita mesti lakukan apa termampu untuk mengekalkan sebuah pakatan berbilang kaum dengan satu program bersama.

Kedua, untuk meyakinkan seramai mungkin rakyat Malaysia daripada pelbagai latar etnik, agama dan budaya bahawa hasrat dan tujuan kita adalah sama.

Pengalaman melalui kegagalan Barisan Alternatif menyayatkan hati saya tetapi ia juga memberi jawapan bahawa satu-satunya cari untuk menewaskan Barisan Nasional adalah dengan mewujudkan sebuah pakatan berbilang kaum. 

Saya kemudiannya memutuskan untuk mengkaji dan menghasilkan tesis tentang PAS apabila menuntut di Australian National University di bawah seliaan Dr John Funston, seorang cendekiawan yang pakar dalam politik Melayu.

Tesis yang saya kemukakan pada November 2004 berhujah bahawa hasil kemasukan pemimpin muda secara beramai-ramai ketika Reformasi telah mewujudkan dua kumpulan dalam PAS, iaitu golongan garis keras dan arus perdana (hardliners and mainstreamers).

Mereka yang mengambil garis keras tidak berminat untuk mendapat kuasa di peringkat pusat dan tidak peduli tentang sentimen warga bukan-Melayu atau Melayu moderat. Apa yang mereka peduli hanyalah nilai moral yang mereka tetapkan sendiri dalam ruang Melayu sahaja.

Golongan arus perdana – istilah yang digunakan Almarhum Ustaz Fadzil dalam salah satu muktamar PAS bagi menyeru partinya bergerak ke jalan tengah – mahu membina pakatan politik, dan berhasrat menjadikan PAS sebuah parti yang diterima kedua-dua orang Islam dan bukan-Islam.

Sepanjang satu dekad setengah kemudiannya, kita telah melalui era pakatan de facto Bersih (2005-2008), Pakatan Rakyat (2008-2015) dan kini Pakatan Harapan.

Pentingnya membina pakatan

Tempoh 20 tahun yang lalu adalah era yang sangat produktif walaupun memedihkan dalam membina sebuah pakatan politik yang serius dan bertujuan membuat perubahan dalam negara selepas bertahun lamanya menjadi mangsa amalan korupsi dan ketidakpedulian Barisan Nasional. Hasil kejayaan itu terbukti pada Mei 2018.

Apatah lagi, dalam setiap parti komponen Pakatan Harapan, wujud beberapa pemimpin yang percaya dengan usaha membina pakatan dan telah gigih berusaha untuk memastikan pakatan ini berjaya, walau berhadapan situasi sukar.

Kita harus memuji pemimpin dan anggota yang membentuk Amanah pada tahun 2015. Mereka telah melalui pelbagai ujian dan caci maki kerana bertegas tentang perlunya pakatan berbilang kaum, dan bukannya sebuah gabungan eksklusif Muslim sahaja seperti yang diinginkan oleh Ustaz Hadi serta pengikut-pengikutnya.

Dari satu sudut, kita yakin bahawa memang cukup bilangan pemimpin yang percaya dengan projek pakatan berbilang kaum ini.

Tetapi di satu sudut lagi, saya akui bahawa tugas meyakinkan rakyat Malaysia agar melihat seluruh rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada sebuah komuniti impian dengan satu cita-cita, adalah satu tugas yang sukar.

Pakatan terpaksa menggandakan usahanya supaya seluruh rakyat Malaysia menyedari bahawa siapa pun kita, kita menentang rasuah, kita mahukan peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang selayaknya, peluang perniagaan yang adil dan kukuh, percukaian yang adil, pendidikan yang lebih berkualiti, penjagaan kesihatan yang baik, perumahan yang mampu dimiliki, pengangkutan awam berkualiti, alam sekitar yang bersih, mengatasi krisis perubahan iklim dan sebagainya.

Ini sewajarnya menjadi agenda utama dalam percakapan sehari-hari. Kita mesti menjadikan isu-isu ini sebagai isu yang paling menarik emosi.

Sebagai contoh, hilang pekerjaan atau tidak cukup wang belanja untuk makanan anak-anak atau bergelut dengan khidmat kesihatan adalah amat mencabar emosi. Semua yang terlibat merasai pedihnya. Apatah lagi bagi ketua keluarga.

Namu, kita sedar walaupun realiti pahit ini berlaku di depan mata, masih ramai di kalangan kita mudah terpengaruh dengan ribut perkauman hasil kerja juara-juara perkauman di media sosial, selain sikap beberapa pihak media yang masih mesra dengan rejim lama.

Kita harus bekerja dalam satu pakatan dan kita mesti mengusahakan yang terbaik untuk memastikan keseluruhan pakatan kekal di jalan tengah.

Sahabat saya Dr Wong Chin Huat pernah berkata bahawa jalan tengah ini ibarat ‘kopi tanpa gula dan susu’. Pendek kata, tidak sedap. ‘Kita memilih jalan yang kurang enak supaya kekal sihat sejahtera’. Walaupun tanpa gula dan susu itu bererti kopi menjadi pahit, ia baik untuk kesihatan.

Pada suatu tahap, pandangan beliau tepat. Kita sedang mengusahakan jalan tengah kerana alternatifnya adalah kekacauan, malah mungkin pertumpahan darah akibat politik ekstremis dan eksklusif kaum/agama.

Selepas menghabiskan 20 tahun berusaha gigih untuk membina dan memperkukuh sebuah pakatan, dan selalunya diserang dalam parti sendiri kerana didakwa ‘tidak peduli sangat dengan tapak sokongan’, saya tetap bertegas ingin menumpukan seluruh tenaga bagi memastikan majoriti rakyat Malaysia memahami bahawa hasrat kita semua hampir sama – pekerjaan, gaji, peluang berniaga, cukai yang adil, pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan awam, alam sekitar, iklim, dan sebagainya; dan tujuan kita sebagai sebuah negara adalah satu.

Dua puluh tahun selepas 1999, imej Kit Siang berusaha gigih dan tidak mengenal putus asa dalam usaha membina pakatan walaupun beliau sendiri tewas, tetap menjadi sumber inspirasi bagi saya. Tidak kiralah betapa banyaknya ranjau di sepanjang jalan, kita mesti terus memperjuangkan sebuah Bangsa Malaysia (Malaysian Nation) yang boleh kita banggakan.

Diterbitkan terlebih dahulu di Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/501876

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi