Malaysia, bersedia untuk berperang dengan Covid-19

Sebenarnya, kita tidak pernah melihat keadaan seperti ini dalam kehidupan kita. Belum pernah terjadi di Malaysia sejak 1957 dan 1963. Kali terakhir dunia bergolak seakan ini adalah semasa Perang Dunia Kedua, kira-kira 75 tahun lalu.

Sebagai sebuah negara, kita perlu menguruskan pandemik Covid-19 dengan mentaliti seolah-olah negara sedang beperang – iaitu peperangan antara manusia melawan virus. Pada 1941, Amerika Syarikat (AS)  terkejut apabila Pearl Harbor diserang secara tiba-tiba. Sebagai tindak balas terhadap krisis, AS memberi tumpuan untuk menyatukan rakyat, mengumpulkan sumber yang ada bagi meningkatkan penghasilan industri peperangan. Kecekapan, koordinasi dan perubahan besar terhadap penghasilan amat penting pada masa yang sukar sebegini.

Ketika Pearl Harbor diserang, tentera AS mempunyai kekuatan seramai 500,000 orang. Apabila Perang Dunia Kedua tamat, mereka berjaya mengumpulkan lapan juta orang untuk dilatih, menukar kilang-kilang menjadi tempat meghasilkan peluru dan bekalan untuk menyokong angkatan tentera, dan kembali menjalani kehidupan biasa melalui kelulusan undang-undang GI.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa ini untuk meningkatkan ketahanan dan kesediaan negara bagi menghadapi perang melawan Covid-19. Krisis Covid-19 telah mengubah perjalanan dunia. Semuanya tidak akan sama seperti dahulu lagi. Di Malaysia, wabak ini tidak akan berakhir pada 31 Mac 2020 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) tamat. Walaupun MCO tidak dilanjutkan, kita akan kembali “hidup normal” – tetapi suasana akan berbeza berbanding 18 Mac. 

Kemungkinan gangguan ke atas kehidupan akan berlanjutan, dasar jarak sosial (social distancing) dilihat efektif dalam melawan wabak ini. Adakah kita bersedia untuk mempertingkat bilangan pemeriksaan suhu badan di setiap bangunan, mengamalkan penggunaan topeng, dan langkah-langkah lain yang diperlukan? Sehingga terdapat vaksin yang berguna dan dihasilkan secara besar-besaran, maka kita masih perlu mengamalkan langkah-langkah berjaga-jaga yang sama.

Ketika ini, Malaysia berhadapan bahaya risiko seperti di Itali. Jika kita gagal menguruskan MCO secara berkesan, kita akan melihat peningkatan kes secara drastik dalam beberapa hari dan menyaksikan keruntuhan sistem kesihatan dalam seminggu. 

Sebagai kerajaan, masyarakat dan sebuah negara, kita sendiri perlu bersedia menghadapi situasi buruk bagi memenangi pertarungan melawan Covid-19. Kita perlu bergerak pantas dalam tempoh yang singkat sehabis mungkin untuk menang dalam jangka masa panjang.

Untuk dua minggu akan datang, kita perlu mengawal pergerakan masyarakat dan pastikan tidak berlaku gelombang ketiga; atau sekurang-kurangnya kita dapat melengahkan gelombang ketiga sebaik mungkin. Pada masa yang sama, kita mesti berbincang tentang tindakan yang harus dilakukan jika kita kembali kepada kehidupan normal selepas 31 Mac.

Bagi mencapai dua objektif ini, kita harus mengimbas semula beberapa andaian terkini: 

Pertama, andaian mengatakan ujian kepada mereka yang hanya menunjukkan simptom bukan lagi pendekatan terbaik. Rakan saya di parlimen, Kelvin Yii merupakan contoh kes yang terdekat. Beliau didapati positif Covid-19 meskipun tidak menunjukkan sebarang gejala. Sekarang kita tahu bahawa mengambil suhu tidak mengesan kes asimptomik secara efektif, termasuk mereka dalam fasa inkubasi.

Kita perlu mengesan mereka yang mempunyai kontak rapat dan memulakan ujian kepada pihak yang berhubung dengan pesakit, tidak kira mereka menunjukkan gejala atau tidak.

Korea Selatan telah menguji lebih 250,000 orang sejak wabak bermula dan kapasiti untuk ujian ini adalah seramai 15,000 orang sehari. Kita perlu memperkasakan industri bagi menghasilkan Kelengkapan ujian secara besar-besaran dan melibatkan pengamal perubatan sektor swasta bagi meningkatkan kemampuan ini. Lebih banyak tenaga manusia diperlukan untuk menyelamatkan mereka yang dijangkiti dan mereka yang telah terkesan teruk akibat jangkitan.

Kedua, andaian yang mengatakan tidak perlu mengenakan topeng sekiranya mempunyai selsema perlu dicabar. Kita perlu mempertimbangkan keperluan untuk menghasilkan topeng secara besar-besaran dan pengagihan pembasmi kuman kepada semua masyarakat, termasuk di luar bandar dan pekerja asing tidak berdokumen. Kita perlu menggerakkan para pengeluar, dan ketua komuniti untuk memudahkan pengedaran pada skala yang begitu besar.

Ketiga, kita perlu meningkatkan kapasiti hospital secara drastik. Ini termasuk bilangan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peralatan seperti alat bantuan pernafasan serta alat pelindungan untuk kakitangan perubatan. Tindakan segera perlu dilakukan sebelum hospital dan doktor kita terpaksa berfungsi dengan kapasiti berlebihan, seperti kes di Itali apabila ramai pesakit terpaksa dihantar pulang ke rumah. Memandangkan kita mempunyai 450 alat bantuan pernafasan di hospital swasta berbanding hospital kerajaan, maka perlu ada rancangan untuk melibatkan hospital dan pihak swasta dalam perang Covid-19.

Keempat, kita harus memikirkan semula keselamatan komuniti. Perlunya persediaan alat untuk membaca suhu badan di lapangan terbang, kemudahan pengangkutan awam dan bangunan utama apabila ia dibuka semula untuk orang awam, selepas 31 Mac. Penjaga keselamatan di tempat-tempat ini perlulah dipastikan sihat dan perlu diberi latihan tambahan. Kita tidak boleh bergantung kepada pekerja asing tidak terlatih dalam hal ini (mereka mungkin tidak fasih berbahasa tempatan). Pekerja Malaysia yang boleh dilatih dalam tempoh yang singkat dalam masa dua minggu hadapan diperlukan untuk menjaga tempat-tempat tersebut. 

Bagi melaksanakan perkara ini, kita memerlukan institusi dan individu yang betul.

1. Usaha bi-partisan diperlukan

Amat malang ketika negara sedang bertarung dengan Covid-19, Malaysia berhadapan krisis politik domestik dan Perdana Menteri hari ini mendapat kuasa melalui percaturan politik. Walaupun kerajaan ini tidak mempunyai legitimasi politik, Pakatan Harapan bersedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional bagi menghadapi krisis ini atas kepentingan negara. Kerajaan juga perlu bersedia untuk bekerjasama. Ia bermula dengan Perdana Menteri bekerjasama dengan pemimpin tertinggi, Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Harapan.  Bukannya meminggirkan mereka daripada mesyuarat koordinasi. Perdana Menteri perlu bersedia mengambil pendekatan negarawan agar semua pihak dapat bekerjasama.

2. Pendekatan “kerajaan menyeluruh” diperlukan.

Perdana menteri telah memberi ucapan siaran langsung di televisyen tentang Covid-19 dalam tempoh 7 hari. Tetapi tidak boleh sekadar beliau sahaja. Seluruh jentera kerajaan memerlukan penyelarasan. Tangan kiri mesti tahu apa yang dilakukan tangan kanan. Seluruh kabinet perlu bersedia dan merancang untuk berhadapan dengan kemungkinan terburuk. Penglibatan kerajaan negeri, tanpa mengira parti, perlu diselaraskan dalam usaha ini.  Lebih baik sekiranya Perdana Menteri muncul di siaran televisyen akan datang di Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) dan berkongsi statistik terperinci, memberi makluman kepada rakyat tentang langkah diambil kerajaan secara rentas kementerian. Rakyat perlu tahu apa yang sedang berlaku berbanding arahan untuk “duduk di rumah diam diam”.

3. Kita memerlukan rakyat Malaysia menjaga antara satu dan yang lain. #KitaJagaKita

Anak-anak petugas perubatan perlu dijaga ketika mereka bekerja lebih masa untuk menyelamatkan nyawa. Penglibatan aktif masyarakat amat penting dalam keadaan negara berhadapan krisis. Kita perlu mahasiswa untuk bersedia menyediakan makanan kepada rakan mahasiswa yang tidak mempunyai makanan. Kita perlukan pemuda luar bandar membantu warga emas supaya mereka tidak berseorangan. Kita perlu lebih ramai orang untuk dilatih sebagai pembantu hospital dan kemudahan perubatan.

Kita perlu semua pihak memainkan peranan tanpa mengorbankan kesihatan mereka. Kita perlu menyatukan semua pihak untuk bersama berhadapan dengan krisis ini. Penglibatan rakyat diperlukan, lebih penting daripada duduk di rumah menonton HBO. Kita tidak seharusnya mengharapkan Kementerian Kesihatan dan kerajaan melakukannya sendiri. 

4. Perlukan kerjasama hospital swasta, klinik dan perniagaan.

Saya memberi penghormatan yang tertinggi kepada kakitangan Kementerian Kesihatan, Pengarah Kesihatan dan para jururawat. Hakikatnya, mereka tidak boleh melakukannya sendiri. Kita perlu pantas menggerakkan hospital swasta, tentera dan klinik untuk memainkan peranan. Sekurang-kuranya berilah mereka arahan mengenai peranan mereka dan sediakan sumber yang secukupnya, latihan yang bersesuaian dan mencukupi secepat mungkin dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes seperti di Itali dan gelombang ketiga. Kebanyakan hospital swasta dimiliki oleh GLC. Mereka perlu menggerakkan usaha ini bersama pemilik GLC sebagai satu khidmat negara.

5. Kita memerlukan pendekatan keselamatan kesihatan 

Keputusan untuk menggunakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menyelaras langkah keselamatan amat dipuji. Tetapi, MKN selama ini bertindak seperti sekretariat. Ia memerlukan lantikan seseorang dengan tahap seperti menteri sebagai penasihat MKN, menteri kesihatan boleh menjadi ahli yang hadir bersama dalam Sidang Khas MKN , dipengerusikan oleh Perdana Menteri sehingga pandemik berakhir.

MKN juga perlu mempertimbangkan pembentukan panel penasihat, terdiri daripada pakar perubatan profesional dan saintis bagi memastikan keputusan dibuat dengan sokongan saintifik.

Kesemua pihak berkuasa seperti polis, angkatan tentera, pegawai penjara, dan imigresen (termasuk kastam) perlu dididik agar dapat menyelamatkan diri mereka daripada menjadi mangsa Covid-19, dan selamat menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan orang lain.

Peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dipertingkatkan, dibawah arahan agensi awam. ATM sentiasa bersedia ketika krisis berlaku dan mereka sentiasa mempunyai peranan sekunder bagi membantu pihak berkuasa awam bagi memantau lapangan dalam senario yang tidak menentu ini.

Reaksi kita terhadap krisis sepatutnya merangkumi mengukuhkan daya tahan dan persediaan, bukan panik dan ketakutan. Dengan penyelarasan dan kerjasama seluruh rakyat Malaysia, kita mampu memenangi ‘peperangan’ ini bersama-sama.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan