Agenda ekonomi negara pasca Covid-19

Mendengar beberapa bahagian ringkas tentang ekonomi dalam ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei membuat saya terfikir kalau-kalau kerajaan benar-benar tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara. Contohnya seperti Bantuan Prihatin Nasional yang merupakan satu langkah ‘memadam kebakaran’ ketika rakyat Malaysia berdepan kejutan ekonomi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama antara 18 hingga 31 Mac. Kini, lapan minggu kemudian, semuanya mungkin sudah hangus dijilat api. Tiba masanya untuk membina semula ekonomi dari peringkat awal.

Untuk membingkai pemikiran kita dalam hal ini, adalah penting untuk kembali kepada asas, dan mempertimbangkan anasir-anasir KDNK dalam sebuah ekonomi mudah. KDNK = C + G + I + NX, atau (penggunaan + perbelanjaan kerajaan + pelaburan + eksport bersih). 

Malaysia harus memikirkan bagaimana model ekonomi sedia ada akan dipengaruhi oleh Covid-19 dan bagaimana untuk mencegah, memperbaiki dan bergerak maju ke depan. 

Akibat tidak berfikir dan tidak bertindak pantas; banyak penderitaan termasuk kehilangan kerja, muflis, kelaparan, ketidakstabilan dan lain-lain boleh berlaku.

Perubahan besar

Dunia dan Malaysia berkemungkinan tinggi bakal menghadapi perubahan berikut dalam minggu-minggu dan bulan-bukan akan datang. Sebilangan trend ini boleh mengakibatkan kesan jangka panjang kepada ekonomi, mungkin untuk beberapa dekad. 

1) Ancaman terhadap pembuatan yang dipacu pengeksportan dan model negara perdagangan 

Selama lima puluh tahun yang lepas, Malaysia sangat bergantung kepada perindustrian yang dipacu bidang pengeksportan dan perdagangan yang berkaitan dengannya. Malaysia menghasilkan produk pengguna siap untuk melayani pasaran Amerika Syarikat dan Eropah serta barangan perantara yang merupakan sebahagian daripada rantaian besar pembekalan global.

Pandemik Covid-19 akan memaksa syarikat global dan tempatan untuk beralih daripada model rantaian pembekalan Just-In-Time (kecekapan) ke Just-In-Case (ketahanan). Ekonomi-ekonomi maju cenderung membawa pulang beberapa pusat pembuatan yang kini terletak di negara-negara membangun, dan akibatnya rantaian bekalan global akan menyusut. Persoalannya ialah bagaimana dan sejauh mana Malaysia akan terjejas. 

Kesan jelas terawal adalah pengurangan eksport dan pengurangan pelaburan langsung asing, yang akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan. Kita bahkan mungkin kehilangan keupayaan teknikal dan pengetahuan teknologi sekiranya syarikat-syarikat ditutup secara besar-besaran.

2) Gangguan besar terhadap sektor perkhidmatan

Covid-19 dan penutupan aktiviti banyak mempengaruhi sektor perkhidmatan. Syarikat penerbangan, hotel, restoran, pelancongan dan sektor lain yang berkaitan akan menderita untuk bulan-bulan mendatang bahkan mungkin bertahun-tahun. Walaupun vaksin ditemui, masa yang lama diperlukan untuk memulihkan sektor perkhidmatan kembali ke sedia kala.

Sekali lagi, ini akan menyebabkan penurunan eksport, kerana pelancongan, persidangan dan lain-lain turut dianggap sebagai eksport perkhidmatan. Kita harus bersiap sedia untuk lanjutan kehilangan pekerjaan dan penurunan tahap kesejahteraan mereka yang kehilangan pekerjaan serta taraf hidup berikutan hal itu, yang mungkin sukar dipulihkan. Sebilangan besar di sektor perkhidmatan adalah pekerja sektor tidak formal tanpa perlindungan pekerjaan minimum. Masalah mereka pastinya lebih teruk.    

3) Kekurangan komoditi

Harga petrol yang paling rendah dalam sejarah akan memberi kesan besar kepada pendapatan kerajaan, dan juga pekerjaan di sektor minyak dan gas. Harga minyak sawit juga rendah dan ketika harga petrol rendah, tidak ada insentif tambahan untuk beralih ke biodiesel. Tanah di semenanjung Malaysia secara relatifnya kurang subur berbanding tanah di Indonesia. Upah juga jauh lebih rendah di Indonesia. Krisis ini akan mendorong para peladang untuk memikirkan kembali sama ada bidang pertanian makanan adalah lebih berdaya maju. Tetapi sekali lagi, syarikat-syarikat besar mungkin dapat beralih dengan pantas, manakala ratusan ribu pemilik kecil akan harus dibimbing oleh Kerajaan dengan bantuan, insentif dan penyelidikan pertanian.    

Secara keseluruhan, ketiga-tiga trend yang didorong secara luaran seperti yang dinyatakan di atas akan memberi kesan mendalam dan berjangka panjang bagi ekonomi kita, pertama sekali pada tahap pendapatan boleh guna dan penggunaan swasta, dan kedua pada sektor domestik yang bergantung pada pelaburan swasta. 

4) Pertumbuhan yang dipacu penggunaan (consumption) berdepan masalah

Sepanjang dekad terakhir sejak Krisis Kewangan Global 2008, Malaysia semakin bergantung kepada penggunaan domestik yang didorong hutang. Penggunaan domestik sebahagian besarnya didorong oleh hutang disebabkan oleh kebekuan gaji sepanjang dua dekad lampau.

Hutang isi rumah telah melebihi 80 peratus kepada KDNK selama lebih sedekad. Sekiranya ramai rakyat Malaysia mula kehilangan pekerjaan atau menghadapi penurunan pendapatan sebenar, dan secara amnya takut keadaan ekonomi tidak menentu pada masa akan datang, mereka akan kurang berbelanja. Lebih buruk lagi, kadar simpanan tidak akan meningkat kerana hutang yang ada harus dilunaskan.  

Sektor peruncitan sangat bergantung kepada perbelanjaan berasaskan pendapatan boleh guna ini. Kesan kejatuhan ekonomi, misalnya terhadap pemilik gerai pasar malam adalah sangat serius, apatah lagi syarikat-syarikat besar seperti pusat membeli-belah dan perniagaan yang menjual barang-barang pengguna. Kehilangan pekerjaan akan berlanjutan, dan mencetus satu kitaran yang berbahaya. 

5) Limpahan hartanah, pembinaan dan institusi perbankan

Bingung kita dibuatnya apabila memandu melalui begitu banyak kondominium, pusat membeli-belah dan blok pejabat di dalam dan sekitar Kuala Lumpur. Limpahan hartanah turut terdapat di negeri dan bandar-bandar lain. 

Sektor hartanah banyak bergantung kepada pelaburan swasta dalam negeri, misalnya keluarga yang membeli satu atau dua unit untuk pelaburan. Dengan penurunan pendapatan boleh guna dan hutang yang sudah berada pada tahap tinggi, model ini mungkin sudah tidak relevan.

Sebilangan besar portfolio pinjaman bank di Malaysia adalah berkaitan pinjaman hartanah dan kenderaan; manakala GLC dan GLIC memegang saham besar dalam syarikat pemaju hartanah utama. Sektor pembinaan sangat bergantung kepada pemaju swasta. 

Ledakan gelembung hartanah akan memberi kesan langsung kepada GLC dan GLIC, malah lebih buruk lagi, ini akan menimbulkan risiko tambahan yang signifikan kepada keseluruhan sistem perbankan dan kewangan, yang akan menekan ekonomi lebih jauh.

Merangka “soft landing” untuk sektor harta tanah memerlukan kehendak politik yang kuat dan pemikiran yang jernih dan tidak terikat dengan kegemilangan dan amalan masa lalu, serta kepentingan peribadi.        

Akibat tidak melakukan apa-apa

Ringkasnya, senario yang dijelaskan di atas membawa kepada penurunan penggunaan, pelaburan dan eksport swasta, serta penurunan KDNK secara keseluruhan. Akan wujud akibat sosial dan politik yang besar sekiranya kerajaan memilih untuk tidak melakukan apa-apa atau mengambil langkah minimum. Lebih buruk lagi, jika kerajaan gagal memahami betapa besarnya krisis ini, kita semua akan hancur.

Kita harus menghadapi kegelisahan ekonomi yang meningkat akibat pelbagai tekanan ekonomi kepada individu, keluarga, syarikat dan sebagainya. Rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura tidak akan mempunyai pilihan selain kembali ke Malaysia tanpa pekerjaan. Mereka memerlukan pertolongan. Akan wujud kesan kesihatan akibat daripada kehilangan pekerjaan. Kesihatan mental, bunuh diri, penyalahgunaan dadah adalah antara cabaran dalam hal ini. Mereka yang kehilangan sumber pendapatan dan terjerumus ke kancah jenayah juga akan menjadi satu cabaran. Selanjutnya, kumpulan yang merasa tersisih secara ekonomi akan beralih kepada idea-idea ekstremis yang ganas dan mengakibatkan ketidakstabilan politik.  

Terdapat satu pembolehubah yang belum kita bincangkan dalam model ringkas ekonomi ini, dan pembolehubah itu adalah “G”, faktor kerajaan atau perbelanjaan kerajaan. Kerajaan harus bertindak menggunakan semua alat polisi yang ada di negara ini untuk “soften the blow” akibat krisis maha besar sekali dalam satu abad ini. Hanya kerajaan yang mempunyai sumber dan alat untuk bertindak dengan berkesan. Membiarkan perniagaan untuk menghadapinya sendiri bermakna banyak yang akan gulung tikar, manakala berjuta-juta lagi akan kehilangan pekerjaan apabila sampai waktunya. Badan amal tidak akan dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kerajaan.  

Walaupun kita tahu keadaan tidak akan berjalan seperti biasa, kerajaan juga harus bergelut dengan hakikat bahawa ia akan mengutip hasil yang lebih sedikit berbanding sebelumnya. Kerajaan harus membuat keputusan besar sama ada untuk meminjam lebih banyak (memperluas defisit) atau melaksanakan program secara sedikit. Dan dengan ketidakpastian politik dan persaingan kepentingan peribadi dalam Perikatan Nasional, kerajaan ini mungkin akan menyaksikan penyusutan dalam kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan anti-rasuah, yang bermaksud lebih banyak kebocoran dari sumber yang sudah cukup terhad. 

Tetapi sangat penting untuk mengetahui bahawa pembiayaan kerajaan hanyalah salah satu daripada banyak alat yang ada dalam peralatan pemerintah. 

Objektif dan peranan suatu Kerajaan

Kembali kepada asas, kita mesti bertanya apakah objektif dasar suatu Kerajaan

Sehingga kini, kerajaan Malaysia meletakkan pertumbuhan KDNK sebagai objektif utamanya dalam menguruskan ekonomi. Diandaikan bahawa manfaat pertumbuhan ini akan mengalir dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Bank Negara melihat fungsi dirinya untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan, kadar faedah dan kadar inflasi bagi menyokong pertumbuhan yang luas. Peranan GLC/GLIC lebih berbelit-belit. Ada yang bertujuan untuk menyokong perniagaan Bumiputra, ada yang hanya memenuhi KPI, yang mungkin bersilang dengan objektif kerajaan yang lain. Sekiranya objektif ini dituruti secara membuta tuli, dalam keadaan seperti ini, kerajaan tiada pilihan selain menebus kerugian di sektor swasta dengan menambah perbelanjaannya sendiri.

Tetapi dalam krisis ekonomi yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia harus memikirkan semula objektif utamanya untuk ekonomi. Saya mencadangkan bahawa objektif utama adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang selayaknya. Selebihnya akan mengalir dari sini. Semua objektif lain harus diletakkan di bawah objektif utama ini.   

Penciptaan peluang pekerjaan dengan gaji selayaknya harus menjadi tajuk utama dalam wacana ekonomi.  

Kerajaan mempunyai banyak peranan dalam ekonomi, misalnya, sebagai pengatur, pelabur dan penyelaras tindakan kolektif. 

Sektor yang menjana pekerjaan

Kerajaan mesti melihat kepada keseluruhan kelengkapan yang boleh digunakan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang layak untuk rakyat Malaysia sehingga kebanyakan rakyat Malaysia dapat mengatasi krisis Covid-19 tanpa terlalu banyak risiko.

Untuk mewujudkan pekerjaan, kerajaan harus memiliki iltizam politik yang kuat untuk mengambil kepentingan, melaksanakan reformasi yang diperlukan dan berkoordinasi secara besar-besaran untuk meruntuhkan penghadang dan ketidakcekapan.  

Saya ingin menggariskan sepuluh “sektor menjana pekerjaan” berikut sebagai permulaan. Ini bukan senarai eksklusif. Tetapi ini bermakna lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia. 

1) Baris depan penjagaan kesihatan dan penjagaan yang lebih luas

Malaysia perlu mereformasi sistem penjagaan kesihatannya agar negara lebih kuat dalam menghadapi pertempuran berpanjangan melawan Covid-19 dan cabaran-cabaran lain. Malaysia perlu membayar jururawat berpengalaman dengan lebih baik agar mereka tidak menyeberangi sempadan untuk bekerja di Singapura dan Arab Saudi. Masyarakat yang semakin meningkat usia akan memerlukan lebih banyak pekerja penjagaan untuk warga lanjut usia; manakala masyarakat yang mahu lebih banyak wanita menganggotai tenaga kerja juga perlu memperluas sektor penjagaan kanak-kanak. Bidang pekerjaan penjagaan yang lebih luas harus menjadi sektor baru utama yang mengambil lebih ramai rakyat Malaysia bekerja.

2) Bekalan perubatan global 

Malaysia adalah pengeluar sarung tangan dan kondom perubatan yang utama di dunia. Kita harus bercita-cita menjadi pengeluar topeng N95, PPE dan alat perubatan lain yang diperlukan untuk mengusung dunia menghadapi Normal Baharu pasca Covid-19. Malaysia harus meletakkan dirinya sebagai pengeluar bekalan perubatan berkualiti untuk golongan “satu bilion terbawah”. Usaha besar seperti ini akan membantu mewujudkan pekerjaan, memperoleh mata wang asing, dan melayani keperluan perubatan negara-negara membangun. Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk melakukannya kerana kita menghasilkan sumber utama yang diperlukan dan dengan itu dapat memperoleh lebih banyak nilai dari seluruh rantaian bekalan.  

3) Menyusun semula perkhidmatan dan kerja penting

Ketika sebahagian besar dunia berada dalam keadaan terkurung, kita menyedari bahawa kerja perlu diteruskan, tetapi ia dapat dilakukan dengan cara yang berbeza dengan menggunakan teknologi. Ini sangat relevan untuk agenda “pekerjaan yang baik”. Sebagai contoh, Malaysia dapat mengurangkan bilangan pekerja asing sebagai pengawal keselamatan dengan penggunaan CCTV dan alat lain oleh seorang pengawal keselamatan warganegara Malaysia yang terlatih dan digaji tinggi. Pengumpulan sampah sebahagiannya boleh dilakukan secara automatik untuk mengurangkan tenaga kerja daripada lima pekerja asing dalam satu kenderaan kepada satu atau dua rakyat Malaysia yang digaji tinggi dalam satu kenderaan. Dan begitulah selanjutnya. Tetapi agar ini dapat dilaksanakan, kita harus menangani pekerjaan yang mendorong penggunaan tenaga kerja asing tidak mahir, dan kemudian mendidik rakyat Malaysia agar faham bahawa “maju” ertinya menggunakan manusia untuk mengendalikan mesin (lebih banyak automasi) dan tidak menggunakan manusia (memperhamba buruh asing) seolah-olah mereka adalah mesin.   

4) Bekalan makanan

Apabila berlakunya krisis, jaminan bekalan makanan harus dipandang serius. Kita telah mengimport makanan dalam peratusan yang begitu tinggi sementara tanah negara ini digunakan untuk menanam komoditi, terutamanya minyak sawit. Keseimbangan itu mesti berubah. Banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat Malaysia dapat diwujudkan. 

5) Ekonomi digital / keselamatan siber

Covid-19 memaksa ramai orang untuk mengalami dan hidup dalam ekonomi digital dengan begitu pantas. Dalam ekonomi ‘contactless’ pasca Covid-19, dompet digital, kedai digital dan banyak aktiviti lain membantu masyarakat untuk mengekalkan taraf hidup dan gaya hidup mereka sambil menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Kita juga perlu mengukuhkan keselamatan siber, melindungi daripada kebangkitan penipuan digital, cetak rompak dan serangan siber di sektor awam dan swasta.

6) Ekonomi kreatif

Revolusi digital telah mendorong kandungan kreatif digital sebagai pemacu utama ekonomi digital. Kita perlu terus melabur dalam kemahiran kreatif, mempertingkat jaring keselamatan sosial untuk para ‘freelancer’ kreatif dan membantu pekerja kreatif memasarkan karya mereka.

7) Ekonomi biru

Dikelilingi perairan dan berada di kedudukan sebelah selat pelayaran tersibuk di dunia, Malaysia perlu memasarkan industri perikanan lestari dan penerokaan saintifik laut yang lebih baik, dan mendorong penggunaan sumber maritim kita secara bertanggungjawab.  

8) Ekonomi hijau dan tenaga bersih

Memiliki industri elektrik dan elektronik yang kukuh, kita dapat terus menyokong pertumbuhan industri selari, termasuk sensor alam sekitar, pemantauan persekitaran IoT dan teknologi tenaga boleh diperbaharui/bersih. 

9) Pembaharuan bandar, pengangkutan, logistik dan aeroangkasa

Oleh kerana kadar urbanisasi Malaysia meningkat melebihi 70%, bandar akan menjadi penjana pertumbuhan kritikal. Strategi pembaharuan bandar yang digariskan dengan teliti akan membantu meningkatkan kecekapan dalam penggunaan tanah, mempromosikan ekonomi aglomerasi dan membangunkan kawasan bandar kita sebagai ruang mesra manusia dan perniagaan terutamanya memikirkan kembali cara penyesuaian pasca- Covid-19. Beberapa projek kerja awam dapat dirancang untuk memperbaiki sektor bandar dalam membantu sektor pembinaan.  

Pengangkutan, logistik dan aeroangkasa adalah sektor besar yang dapat menghasilkan lebih banyak pekerjaan sambil mendorong Malaysia ke sektor teknologi yang lebih canggih. 

10) Industri pertahanan  

Promosi industri pertahanan Malaysia akan mengembangkan keupayaan pembuatan baharu yang dapat dipindahkan ke sektor pembuatan lain, sambil meningkatkan kemampuan pertahanan kita. 

Setiap sektor ini memerlukan kerajaan untuk mengkoordinasikan faktor-faktor pengeluaran untuk mencapai objektif mewujudkan pekerjaan. Kerajaan harus memikir semula peranan pengawalseliaan, pelabur dan koordinatornya supaya semuanya bergerak lancar bagi mewujudkan peluang pekerjaan dengan upah selayaknya untuk rakyat Malaysia. Ini mungkin dalam bentuk pelaburan langsung dalam sektor yang diinginkan, insentif cukai dan peraturan lain, misalnya dalam hal pekerja asing, dan sebagai pengguna utama output sektor-sektor ini. Begitu juga, GLC dan GLIC harus mengkaji apa yang mereka lakukan dan menyesuaikan diri dengan objektif nasional yang baharu. Dengan campur tangan yang disasarkan dan jelas, dana swasta (misalnya bank dan pasaran saham) akan segera menuruti dan mewujudkan kitaran yang baik bagi ekonomi.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi