100 hari berikutnya: Perjuangan demi jiwa raga Malaysia

9 Jun lalu genap 100 hari Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. 100 hari lagi, sehingga Hari Malaysia bakal menyaksikan satu tempoh yang amat sukar untuk negara kita tercinta.

Perjuangan demi menyelamatkan jiwa raga negara ini adalah bukan setakat permainan angka di Parlimen. Bahkan semua ini adalah soal masa depan kita semua sebagai suatu bangsa.

Rejim Umno dahulu yang telah menyelinap masuk dan menjadi kerajaan melalui Langkah Sheraton tidak akan mudah mengalah. Ertinya setiap seorang daripada kita yang menentang rejim lama ini mesti bersatu padu untuk mencetuskan sebuah gerakan yang akan mampu memulihkan harapan dan maruah negara.

Rejim lama Umno

Jangan tersilap, kerajaan Perikatan ini adalah sebuah alat politik untuk Umno, terutamanya mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk meloloskan diri dari penjara dan kembali ke pusat kuasa.

Umno dan wajah-wajah terkait Najib seperti Musa Aman dan Riza Aziz telah dibebaskan, seorang demi seorang. Inilah perlawanan yang sebenar.

Muhyiddin hanya sekadar membidani kelahiran semula rejim lama Umno ini.

Tun Dr Mohamad telah melihat perkara ini dengan begitu jelas sekali. Beliau memaklumkan pimpinan Bersatu dan Pakatan Harapan bahawa sekiranya beliau menerima Umno dan BN secara en bloc (42 kerusi) dengan syarat DAP (42 kerusi) dibuang daripada kerajaan, beliau akan terpaksa menerima Najib, Zahid Hamidi, Tengku Adnan dan yang lain-lain. Walaupun mereka tidak menuntut supaya pendakwaan terhadap mereka digugurkan pada awalnya, mereka pasti akan berbuat demikian di kemudian hari, dalam masa enam bulan.

Tiga bulan telah berlalu, dan telahan Dr Mahathir ternyata betul.

Muhyiddin mahu memecahbelah Pakatan Harapan dan kesemua sekutunya. Ugutan, tekanan dan taktik kotor sedang digunakan terhadap Ahli-ahli Parlimen Pembangkang dengan harapan ada antaranya yang bakal menyerah. Jika Muhyiddin dapat meningkatkan majoritinya kepada 125 kerusi dalam tempoh dua minggu lagi, beliau boleh jalan berkepak masuk ke Parlimen pada 13 Julai, mengetahui kerusinya dijamin selamat. Dan jika demikian, beliau boleh duduk selesa di kerusi kuasa buat satu tempoh, sebelum memulakan langkah-langkah autoritarian demi menghancurkan sebarang ancaman baharu ke atas pentadbirannya.

Tetapi Muhyiddin masih diboncengi Umno dan terutamanya Najib, menanti masa untuk menggulingkan Muhyiddin dan mengembalikan rejim lama yang dikuasai Umno.

Umno (BN) dan PAS mempunyai 60 kerusi terkumpul di Parlimen, dan mampu mencetuskan pilihan raya mengejut jika menarik diri dari gabungan Perikatan Nasional.

Satu lagi senario lebih hampir kepada situasi semasa. Jika Muhyiddin tidak berjaya menambah majoritinya dalam tempoh dua minggu akan datang dan justeru terpaksa mengelak sidang Parlimen pada bulan Julai, beliau mungkin akan mengadakan pilihan raya pada bulan September/Oktober, seperti yang sedang digembar-gemburkan sekarang. Dengan berbuat demikian, beliau mahu mendapatkan mandat baharu. Baginya, keadaan kian terdesak dan bagi kerajaannya membentangkan Belanjawan 2021 kepada Parlimen yang tidak berubah adalah kerja sia-sia kerana berkemungkinan ia tidak mendapat sokongan.

Dengan mengadakan PRU awal, Muhyiddin berharap Umno dan PAS akan memberi ruang kepada puaknya dalam parti Bersatu dalam pengagihan kerusi.

Rakyat Malaysia yang telah menumbangkan rejim lama Umno pada 2018 harus sedar bahawa situasi Perikatan adalah amat tidak menentu dan satu-satunya cara untuk menghalang pemulihan rejim lama ini ialah dengan mengenepikan segala perbalahan, bergerak dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya dalam tempoh tiga bulan lagi.

Hanya jika Muhyiddin dan Najib sedar bahawa mereka tidak berkemungkinan menang PRU walaupun mempunyai perjanjian pilihan raya yang tegas di mana mereka tidak bertembung satu sama lain – jenuh sebenarnya bagi mereka untuk mempunyai perjanjian begini – kita boleh terus berlawan di parlimen sahaja.

Mahathir dan Anwar

Sama ada kita bersiap sedia menghadapi pilihan raya atau cuba memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, kedua-dua Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempunyai kesedaran penuh bahawa mereka mesti bergabung tenaga – dan bukan sahaja sebagai sebuah ‘perkahwinan paksa’ tetapi sebagai sebuah gabungan yang kukuh dan progresif berjuang dalam pertempuran ke atas rejim lama Umno.

Rejim lama itu bukan akan senang-senang pergi dan menghilang diri. Bertahun juga nanti untuk memastikan kleptokrat seperti Najib bertanggungjawab ke atas jenayah mereka. Begitu juga halnya dalam membangunkan sebuah kerajaan yang bebas rasuah serta membentuk sebuah demokrasi yang mengutamakan kepentingan rakyat biasa.

Dr Mahathir dan Anwar, serta sekutu-sekutu mereka, perlu menyedari bahawa jika kita kembali mentadbir, kita akan harus membina sebuah kerajaan dengan jemaah menteri yang kuat, parlimen yang juga hebat serta kepimpinan perdana menteri yang berkongsi tanggungjawab serta berkonsultasi, dan kurang dominan.

Sepanjang tempoh 22 bulan mentadbir, Dr Mahathir dan Pakatan sebenarnya telah mengurangkan kuasa dan gapaian pejabat dan jabatan Perdana Menteri. Perancangan ekonomi dikeluarkan dari Jabatan Perdana Menteri dan dijadikan sebahagian daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Cubaan dibuat untuk mengembalikan agensi dengan fungsi bertindih ke kementerian masing-masing. Contohnya pengangkutan awam sudah bukan lagi sebuah fungsi di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi Kementerian Pengangkutan, seperti yang sepatutnya.

Namun struktur dan semangat yang menopang jawatan Perdana Menteri Malaysia masih lagi merupakan hasil tinggalan sebuah kerajaan satu parti.

Pada masa akan datang, kita harus menyedari bahawa kerajaan gabungan akan terus menjadi norma dalam politik Malaysia. Dan supaya kerajaan gabungan kekal kukuh – dalam hal ini, supaya mereka yang bersekutu dengan Dr Mahathir dan Anwar boleh hidup bersama untuk satu tempoh yang panjang – adalah penting untuk merangka sebuah format di mana semua pihak boleh rasa selesa meskipun pemimpin mereka tidak menjadi perdana menteri.

Menguruskan perbezaan pendapat mahupun rasa saling tidak percaya, serta membina sebuah kerajaan gabungan yang berdaya tahan diuji masa dan krisis haruslah menjadi keutamaan para pemimpin politik yang mahu membina semula dengan lebih baik.

Saya berharap kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar dapat melihat peranan bersejarah mereka ini semacam Nelson Mandela. Bukan Mandela yang dipenjara selama 27 tahun tetapi Presiden Mandela yang menyedari apa tanggungjawabnya yang sebenar – dalam tempoh yang begitu singkat – untuk membina asas yang kukuh dan boleh bertahan untuk satu atau dua generasi.

Bersatulah Bangsa Malaysia

Selepas 100 hari di bawah pentadbiran rejim lama Umno, ramai rakyat Malaysia kini sedar bahawa meski kerajaan Pakatan tidak sempurna, kerajaan itu telah mencuba untuk berbuat kebaikan. Cemerkap barangkali, tetapi jujur.

Sebaik sahaja perubahan kerajaan berlaku pada 2018, dengan pantas media arus perdana dan mereka yang banyak berpendapat – dan menolak kemungkinan Pakatan menang dalam PRU14 – berhabis-habisan mahu mempertanggungjawabkan Pakatan dengan pengawasan yang paling tegas. Menarik bila dilihat bagaimana pihak media yang sama tidak pun melakukan pengawasan yang sama ke atas kerajaan Perikatan.

Kerajaan Pakatan dituntut berada pada tahap paling sempurna. Sentimen moralisasi ini terus merebak dalam kalangan ramai rakyat Malaysia. Rakan-rakan masyarakat sivil juga turut mengambil garis sangsi ini pada awalnya.

Apa yang perlu dipelajari ialah konteks dan pembingkaian adalah sangat penting.

Memenangi PRU14 adalah usaha kolektif jutaan rakyat Malaysia. Apa yang terjadi pada 9 Mei 2018 bukanlah sebuah perubahan kerajaan yang normal seperti yang berlaku di Australia, United Kingdom dan negara-negara demokrasi lain.

PRU14 adalah kebangkitan aman tanpa pertumpahan darah terhadap rejim lama Umno yang ditadbir para kleptokrat. Ia adalah perubahan politik pertama daripada sebuah kerajaan autoritarian kepada sebuah demokrasi baharu di rantau ini.

Sebuah demokrasi baharu perlu diasuh dan dikonsolidasi. Ketika Pakatan mentadbir, setiap kali saya ditanya tentang peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada Anwar, saya kerap mengulangi bahawa peralihan sebenar ialah menuntun tangan negara ini dalam perubahannya daripada sebuah masyarakat autoritarian kepada sebuah demokrasi, serta menahan tekanan daripada rejim lama Umno.

Rakyat Malaysia sewajarnya sudah memahami bahawa kita semua mesti melindungi hasil kemenangan demokrasi ini bersama-sama. Untuk membina semula dengan lebih baik, semua pihak yang mengimpikan sebuah negara yang bersih dan bebas rasuah serta mempunyai ruang demokrasi; untuk bersatu tenaga dan menolak rejim lama Umno jauh-jauh.

Seratus hari seterusnya adalah tempoh masa yang amat-amat genting.

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan