Dua Tahun Penambahbaikan Parlimen: Meneruskan Agenda Reformasi

Izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Mohamad Ariff bin Md Yusof, Speaker Dewan Rakyat; kerana memberi penghormatan menjemput saya menyertai sidang redaksi “Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat of Malaysia” dan berpeluang berucap di majlis yang begitu istimewa ini.

Pertama kali saya terlibat menjuarai usaha penambahbaikan Parlimen ialah ketika saya membantu Sdr Lim Kit Siang menganjurkan forum “First World Parliament” pada bulan Mei 2004, dihadiri Datuk Seri Nazri Aziz yang merupakan menteri pertama bertanggungjawab atas hal-ehwal Parlimen. Pada ketika itu, Kit Siang baru saja kembali ke Parlimen setelah ‘bercuti’ untuk satu penggal, dan ada seorang Perdana Menteri baharu yang berkempen dengan platform penambahbaikan ini.

Datuk Seri Nazri berjaya mempromosikan beberapa usaha antarabangsa melalui Parlimen seperti pendemokrasian Myanmar, yang saya amat hargai, namun terlalu sedikit penambahbaikan terhadapan fungsi-fungsi Parlimen itu sendiri.

Sepanjang tempoh Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjadi Speaker, satu-satunya perubahan substantif kepada institusi Parlimen ialah penubuhan kamar khas yang memberi lebih masa untuk Ahli-ahli Parlimen berucap. Malangnya, tiada penambahbaikan selain itu sepanjang 10 tahun beliau menjadi Speaker.

Dalam konteks demikian, dua tahun selepas Parlimen ke-14 di bawah pimpinan Tan Sri Mohamad Ariff adalah satu tempoh yang cemerlang untuk penambahbaikan Parlimen yang bakal kita rindui, dan kita harap ia akan kembali dan diteruskan.

Parlimen yang mendepani zaman

Apa yang mahu kita capai melalui penambahbaikan Parlimen?

Parlimen adalah sebuah institusi hidup yang sepatutnya menjadi pusat perubahan deras dalam kehidupan rakyat negara ini. Amalan Parlimen juga sepatutnya mencerminkan keperluan yang sentiasa berubah itu. Malaysia mula menggunakan kerangka kerajaan Parlimen Westminster ketika merdeka pada 1957 dan apabila Parlimen pertama kali bersidang pada 1959.

Menarik untuk dilihat bagaimana jawatankuasa pilihan parlimen yang meneliti fungsi-fungsi kementerian hanya wujud dalam sistem Westminster pada tahun 1979 selepas kemenangan Margaret Thatcher. Kamar kedua pula hanya tercipta buat kali pertama di Parlimen Australia dan digunapakai oleh Parlimen Westminster.

Dalam Parlimen ke-14, buat pertama kalinya kita melihat usaha-usaha serius untuk memodenkan institusi Parlimen negara. Saya masih ingat begitu banyak perbincangan dengan Tan Sri Mohamad Ariff. Kita boleh melihat matanya bersinar-sinar kegirangan apabila berkongsi tentang amalan-amalan yang beliau pelajari daripada lawatan dan seminar di luar negara yang dikendalikan pakar-pakar, atau ketika bersedia untuk menggunapakai idea-idea baharu.

Rakan-rakan timbalan menteri dan saya sendiri bertemu dengan Tan Sri Mohamad Ariff beberapa kali dan setiap kali beliau akan mendengar pandangan kami dengan penuh perhatian dan kemudian beberapa amalan diperbaiki dengan segera, dengan bantuan Datuk Roosme Hamzah dan pegawai-pegawai Parlimen. Saya berasa sangat berterima kasih kepada beliau kerana sebelum ini saya kerap melobi untuk beberapa perubahan dengan mantan Speaker, tetapi tidak berhasil.

Satu contoh ialah untuk mengehadkan tempoh masa pertanyaan lisan kepada 6 minit bagi membolehkan lebih kurang 15 soalan dijawab dalam sesi pertanyaan harian sepanjang satu jam setengah. Peraturan 6 minit ini membolehkan lebih banyak soalan ditanya, dan supaya menteri dapat mengetahui hari apa dalam seminggu kementerian mereka perlu menjawab soalan di Parlimen.

Salah satu usaha besar yang masih berterusan ialah untuk membentang RUU Suruhanjaya Parlimen supaya Parlimen mempunyai perkhidmatannya sendiri, daripada menjadi sebahagian daripada kumpulan biasa perkhidmatan awam. Meski kami banyak berbincang untuk memulihkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992, Tan Sri Mohamad Ariff mempunyai idea yang tepat bahawa Parlimen Malaysia berhak mempunyai sebuah Akta baharu untuk mengelola pentadbirannya.

Mentadbir bersama

Fungsi utama Parlimen dengan gaya Westminster ialah untuk menubuhkan kerajaan dan keyakinan terhadap kerajaan boleh diuji di dalam sidang Dewan. Tetapi Parlimen tidak boleh dikesampingkan dan dijadikan ‘rubber stamp’ selepas kerajaan ditubuhkan. Inilah yang terjadi sepanjang sejarah Parlimen Malaysia sehinggalah tahun 2018.

Adalah sukar untuk meyakinkan pihak Eksekutif untuk mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan supaya Ahli-ahli Parlimen dapat terlibat sama dalam pentadbiran, dan untuk orang ramai tampil dengan pandangan masing-masing dalam pemeriksaan Parlimen.

Kerajaan perlu melihat Parlimen sebagai rakan kongsi urus-tadbir bagi membolehkan jawatankuasa Parlimen bercambah, selain memupuk perbahasan dan soalan-soalan yang lebih berkualiti di dalam Dewan.

Menteri-menteri tidak akan tahu segalanya yang terjadi di bawah tanggungjawab mereka. Zaman kerajaan ‘paling tahu’ sudah lama berlalu. Ketelusan dan akauntabiliti menteri terhadap Parlimen serta penjawat awam kepada jawatankuasa Parlimen dapat memastikan kerajaan diuruskan dengan mengutamakan kepentingan awam.

Mentadbir bersama melalui jawatankuasa Parlimen juga akan memupuk kelahiran kumpulan Ahli-ahli Parlimen rentas parti yang akan menjadi pakar dalam tajuk-tajuk dasar tertentu. Ini akan membolehkan kerajaan yang menyusul dari kedua-dua pihak melatih bakat-bakat baharu untuk ditolak ke bangku hadapan. Interaksi mereka dengan para birokrat dalam urusan jawatankuasa akan turut menjalin hubungan dan semangat keseluruhan-kerajaan. Urusan jawatankuasa juga mengeratkan silaturahim secara rentas parti yang amat penting dalam sebuah demokrasi yang berfungsi.

Saya berasa amat senang hati melihat Parlimen ke-14 mempunyai Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pembangkang dan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas untuk tajuk-tajuk yang pelbagai, contohnya Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri yang boleh menjadi permulaan kepada terbentuknya sistem jawatankuasa pilihan khas kementerian yang berfungsi penuh. Sidang Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam juga dicadang disiarkan secara langsung setelah meminda peraturan.

Banyak lagi perkara perlu dilakukan untuk memperluas mekanisme pentadbiran bersama. Dalam tahun-tahun akan datang, saya tidak meramalkan kemenangan lebih satu pertiga kerusi Dewan oleh satu parti dominan. Semua kerajaan akan datang akan dibentuk melalui gabungan parti-parti dengan kekuatan yang sama dan lebih banyak perubahan kerajaan akan berlaku. Jika kita melihat jauh ke depan, pentadbiran bersama adalah baik untuk negara juga untuk semua pihak di Parlimen.

Memberi waktu dan ruang untuk Ahli Parlimen

Satu peranan penting Ahli Parlimen ialah untuk bercakap bagi pihak pengundi yang mereka wakili dan kepentingan awam yang mereka juarai. Adalah penting untuk Parlimen memberi ruang dan waktu kepada Ahli Parlimen untuk menjalankan tugas penting ini supaya Parlimen terus relevan dalam kehidupan rakyat terbanyak serta memastikan mereka yang berkuasa mendengar suara rakyat melalui wakil-wakil yang mereka lantik.

Kita jujur sahaja. Sehingga ke tahap tertentu, setiap kamar Parlimen adalah sebuah teater. Kita tidak dapat menahan Ahli-ahli Yang Berhormat daripada melakukan persembahan masing-masing. Untuk tempoh masa yang lama, Parlimen Malaysia berdepan dua masalah – tidak cukup masa berucap, dan apabila diberi peluang, Ahli Yang Berhormat akan berucap tentang apa sahaja tajuk, terutamanya ketika membahaskan Titah Diraja dan Belanjawan.

Tan Sri Mohamad Ariff dan Parlimen ke-14 telah membincangkan kebarangkalian memperkenalkan Waktu Pembangkang, sementara beberapa perubahan dilakukan untuk meluaskan peranan Kamar Khas bagi membolehkan lebih banyak bentuk usul dibahaskan agar isu-isu spesifik di kawasan boleh ditangani tanpa membuang masa Dewan.

Ada juga dibincangkan untuk membenarkan jawatankuasa membahaskan belanjawan kementerian di peringkat jawatankuasa berbanding amalan semasa yang menjadikan Dewan sebagai jawatankuasa. Langkah sedemikian akan memberi masa yang mencukupi kepada Ahli Parlimen untuk meneliti Belanjawan kementerian, berbanding pendekatan tergesa-gesa sekarang yang tidak berlaku adil kepada berbilion Ringgit yang diluluskan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Demi kepentingan negara, lebih banyak lagi perkara perlu dilakukan untuk memberi lebih banyak ruang dan waktu kepada Ahli-ahli Parlimen membawa suara rakyat terbanyak ke Parlimen.

Saya percaya Tan Sri Mohamad Ariff dan Parlimen ke-14 telah mencapai prestasi yang tinggi dalam menggubal penambahbaikan yang tidak pernah disaksikan sejak Parlimen Malaysia bersidang buat kali pertama pada tahun 1959.

“Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat of Malaysia” adalah bukti usaha beliau yang merupakan standard paling cemerlang. Ia juga merupakan kenyataan aspirasi dan agenda tidak selesai yang diusahakan seluruh rakyat Malaysia. Generasi masa depan akan berdiri di bahu Tan Sri Mohamad Ariff dan segala usaha beliau antara tahun 2018 sehingga 2020, dalam mencapai tahap Parlimen berkelas dunia.

Di tengah kejatuhan demokratik dunia, serta kebejatan sepanjang satu dekad lampau; Parlimen ke-14 di bawah pimpinan Tan Sri Mohamad Ariff adalah suatu pengecualian yang wajar kita raikan. Saya berharap zaman keemasan ini bukanlah sekadar satu lintasan tetapi proses berterusan pendemokrasian negara kita yang tercinta.

Ucapan ini disampaikan pada peluncuran buku “Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat of Malaysia” pada 7 Julai 2020. Liew Chin Tong menganggotai sidang redaksi buku tersebut.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi