
Ucapan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang Di-Pertuan Agong
- 8 September 2020
- Keselamatan, Politik

Dengan lantikan Yang di-Pertua Dewan yang baru, kita ada peluang juga untuk menjadikan Dewan Negara lebih relevan dalam proses politik dan proses penggubalan dasar kerajaan.
Saya ingin memulakan perbahasan hari ini dengan perbincangan berkenaan pengurusan Dewan Negara.
Pertama sekali, saya ingin membincangkan isu sesi soal jawab.
Saya terlibat dalam perbincangan dengan mantan YDP Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof dalam pelaksanaan peraturan 6-minit untuk setiap soalan pada tahun 2018.
Setiap soalan perlu dijawab dalam 6 minit, serta dua soalan tambahan. Dalam erti kata lain, soalan asal perlu dijawab oleh ahli pentadbiran dalam 2 ½ minit dan dua soalan tambahan tidak boleh melebihi 30 saat.
Kalau setiap soalan boleh dijawab dalam 6 minit, Dewan boleh selesaikan 15 soalan dalam tempoh masa 1 jam setengah.
Untuk ahli pentadbiran, sekiranya Dewan boleh menetapkan 7 atau 8 kementerian sehari, maka setiap kementerian akan mengetahui masa mereka perlu datang ke Dewan untuk jawab dua soalan dalam sesi 1 jam 30 minit setiap pagi.
Adalah penting untuk ahli-ahli Dewan diberikan peluang untuk tanyakan dua soalan tambahan. Lazimnya, soalan tambahan pertama ditanya oleh ahli yang tanyakan soalan utama yang asal; dengan adanya soalan tambahan kedua, maka ada peluang untuk ahli-ahli lain untuk tanya soalan juga. Hal ini juga menjadi satu platform untuk kita menilai keupayaan ahli pentadbiran untuk menjawab soalan secara impromptu.
Kedua, saya ingin membincangkan sistem Senate Estimates.
Kita perlu mengambil iktibar daripada sistem jawatankuasa Senate Estimates yang digunakan oleh Senate Australia.
Senate Estimates merupakan satu institusi yang penting, di mana belanjawan kerajaan diberikan semakan terperinci. Di Australia, badan ini akan bersidang sebanyak 100 hari setahun untuk menyemak belanjawan kerajaan secara terperinci. Dalam sesi-sesi ini, pegawai kerajaan boleh dipanggil dan disoal untuk menjelaskan butiran belanjawan tersebut.
Ketiga, saya ingin mencadangkan kewujudan Senate Foreign Affairs and Defence Committee.
Usul berkenaan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah yang berlangsung semalam menunjukkan keperluan untuk melibatkan Dewan Negara dalam isu antarabangsa dan strategik. Semua ahli Dewan Negara dapat melibatkan diri dalam jawatankuasa ini, termasuk Tan Sri Yang di-Pertua sendiri yang boleh memberi pandangan berdasarkan pengalaman beliau sebagai mantan Menteri Luar Negeri.
Jawatankuasa Dewan Negara ini boleh memainkan peranan di arena antarabangsa seperti jawatankuasa yang sama dalam Senate Filipina.
Dalam Dewan Rakyat, adanya Jawatankuasa Pilih Parlimen berkenaan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pertahanan yang menumpukan perhatian terhadap isu keselamatan dan pengurusan yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
Senate Foreign Affairs and Defence Committee boleh tumpukan aspek strategi geopolitik yang melibatkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri.
Saya juga bersetuju dengan YB Senator Ismail Yusof tentang cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa pilihan bersama Parlimen antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Jawtankuasa ini boleh bertindak bersama membantu kedua-dua Dewan dalam membincangkan isu-isu bersama seperti penubuhan Parliamentary Service Commission.
Selain itu, ada keperluan untuk meningkat fungsi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara. Sekiranya ada ahli-ahli pentadbiran yang memberikan maklumat palsu, misalnya timbalan menteri KKMM baru-baru ini, sewajarnya mereka dirujuk kepada jawatankuasa untuk tindakan yang tegas.
Sebagai mantan Timbalan Menteri Pertahanan, saya akan tumpukan ucapan perbahasan usul junjung kasih Titah Diraja kali ini terhadap isu keselamatan dan pertahanan. Khususnya, saya ingin membahaskan isu kesesakan penjara, isu perolehan kapal tempur pesisir pantai (Littoral Combat Ship – LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), keperluan pendekatan baru pembangunan industri pertahanan tempatan, dan agenda pelestarian kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebelum saya mulakan ucapan perbahasan, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Arwah Prebet Abdul Aziz Aznam, seorang anggota lain-lain pangkat Tentera Darat yang baru meninggal pada 6 September yang lalu. Saya berharap Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia akan beri kerjasama penuh dan menegakkan keadilan untuk Arwah.
Pada 7 September 2020, Ketua Pengarah Kesihatan melaporkan terdapat 50 kes baharu positif COVID-19 yang dikesan dalam Kluster Benteng Lahad Datu, Sabah. Jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini adalah 66 kes. Keadaan ini berpunca daripada ruang lokap yang sempit dan sesak serta penjarakan fizikal juga sukar diamalkan.
Isu ini telah pun saya utarakan dalam satu rencana pada April 16 yang lalu. Dalam rencana tersebut, saya telah menekankan keperluan untuk memikirkan semula pendekatan kita, dan pesanan saya kepada YAB PM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini merupakan Menteri Dalam Negeri
Pada 23 Disember 2019, saya telah menghantar kepada beliau satu pesanan ringkas berkenaan maklum balas daripada pegawai penjara. Terdapat hampir 74,000 banduan tetapi kapasiti maksimum untuk semua penjara kita ialah 52,850. Bilangan ini merupakan lebihan sebanyak 33% berbanding kapasiti maksimum. Hampir 70% daripada bilangan ini merupakan banduan yang disabit kesalahan pengunaan dadah.
Ketika itu, Tan Sri Muhyiddin turut memberitahu saya bahawa terdapat satu jawatankuasa di KDN untuk mencari kaedah untuk mengurangkan banduan. Antara cadangan yang dipertimbangkan ialah decriminalization ataupun penyahjenayahan penggunaan dadah. Akan tetapi, saya berasa tiada kesungguhan politik untuk mempertimbangkan cadangan ini secara serius. Saya berharap kita dapat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Lahad Datu baru-baru ini dan di lokap. Sebelum COVID-19 lagi, sudah ada kebimbangan kesihatan kerana ada wabak tuberculosis di penjara. Saya berharap keadaan ini menjadi satu pendorong untuk kerajaan memandang semula cadangan penyahjenayahan penggunaan dadah untuk mengurangkan kesesakan di penjara.
Isu perolehan LCS baru-baru ini mendapat perhatian berita apabila Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 berkenaan Aktiviti Kerajaan Persekutuan diterbitkan dalam beberapa minggu lepas. Laporan tersebut telah mendedahkan bahawa kapal pertama LCS daripada enam kapal keseluruhan sudahpun melangkaui kelewatan sebanyak 245 hari pada bulan Disember 2019; walaupun 63.8% daripada harga siling RM1.5 bilion untuk kapal ini telah dibayar, kemajuan yang tercapai ialah hanya 42.7%. Pada asalnya, kapal pertama LCS sewajarnya dilancarkan dengan lengkapnya pada bulan April tahun lepas, dan kapal-kapal lain dalam siri tersebut sepatutnya telah memasuki perkhidmatan setiap enam bulan selepas itu.
Apatah lagi, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 telah menekankan kekurangan aset merupakan salah satu faktor yang telah menghindari TLDM daripada menjalankan tugas perondaan zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan menegakkan keutuhan wilayah negara kita dengan sempurna. Oleh itu, sangat jelas bahawa ada keperluan pada saat ini untuk kita tidak lagi mendiamkan diri dan sebaik-baiknya mencari jalan penyelesaian agar TLDM mendapat kelengkapan yang sewajarnya agar dapat menjalankan tugas demi keselamatan rakyat Malaysia.
Saya perlu tekankan di sini bahawa apa yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara hanya merupakan isu permukaan sahaja; the tip of the iceberg. Sebenarnya, permasalahan program LCS ini lebih mendalam. Pertama sekali, program LCS merupakan satu projek yang didorong oleh vendor (vendor driven). Projek tersebut telah diberi secara rundingan terus kepada syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Sdn Bhd pada tahun 2011, yang seterusnya telah membentuk usaha sama ataupun joint venture antara anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard (BNS) dan syarikat Perancis DCNS. DCNS merupakan pihak berkuasa kepada reka bentuk kapal jenis Gowind.
Projek-projek vendor driven ini secara amnya telah banyak merugikan Kerajaan dan tidak memenuhi keperluan ATM mengikuti masa, seperti mana kita lihat dengan kelewatan projek LCS itu sendiri. Sewajarnya, kerajaan Perikatan Nasional iktiraf fakta ini dan tidak lagi membenarkan apa-apa perolehan, terutama sekali yang berkaitan dengan keselamatan negara, yang hanya memanfaatkan vendor.
Permasalahan ini seterusnya telah mendorong kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang. Projek LCS merupakan antara projek pertama yang disiasat oleh jawatankuasa ini. Pada 11 Februari 2020, pasukan Tan Sri Ambrin Buang telah menemui beberapa perkara yang kurang disenangi, dan telah membentangkannya kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.
Yang pertama, sebanyak RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang telah dibayar dahulu tidak boleh dikesan. Yang kedua, kebanyakan kelengkapan kapal-kapal LCS ini telahpun menjadi usang dan warantinya sudah luput walaupun belum dipasang. Kenapa belum dipasang? Sebab detailed design (butiran rekaan terperinci) yang diperlukan untuk padankan sistem elektronik kepada badan kapal belum lagi disiapkan oleh BNS. Dan yang ketiga, baki siling sebanyak RM3 bilion dan dana tambahan yang diminta oleh BNS sebanyak RM1.9 billion disyaki tidak cukup untuk menampung kos kesemua kapal, memandangkan kedudukan kewangan BNS yang tidak meyakinkan, terutamanya dengan liabiliti bernilai RM1.758 bilion berdasarkan laporan JKSTUPKK.
Saya bukannya hendak mempertikai keperluan kapal berkeupayaan LCS; sebaliknya keperluan kapal ini jelas termaktub dalam program pembangunan keupayaan TLDM 15-to-5. Akan tetapi, kemajuan projek perolehan ini perlu diberi perhatian, dan kelemahan dalam sistem perolehan perlu diperbaik agar nilai kepada Rakyat dan TLDM terjamin.
Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar audit forensik dijalankan untuk mengesan ke mana perginya RM1 bilion ini, dan sebaik-baiknya jumlah ini dikembalikan untuk membiayai kos perolehan kapal-kapal ini. Cadangan ini merupakan syor yang telah diberikan oleh Tan Sri Ambrin Buang dan dipersetejui oleh mantan Menteri Pertahanan, Saudara Mohamad Sabu, serta mantan Perdana Menteri ketika mesyuarat khas berkenaan isu LCS pada 11 Februari yang lalu.
Pada masa yang sama, adalah sangat penting untuk kerajaan Perikatan Nasional untuk telus dan bertanggungjawab kepada rakyat tentang perkara ini, memandangkan kos projek tersebut bukanlah nilai yang kecil. Sebaik-baiknya, laporan terkini JKSTUPKK berkaitan isu ini sewajarnya didedahkan agar rakyat sendiri dapat menilai pengendalian projek ini oleh kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan Pakatan Harapan telahpun bertindak demikian dengan isu pertukaran tanah sebelum ini; kesemua 16 laporan berkaitan land swap masih boleh dimuat turun daripada laman web Kementerian Pertahanan.
Pada hemat saya, pendekatan yang diambil oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan hala tuju program LCS ini adalah kurang tepat. Pada 3 Ogos, beliau telah menjelaskan pendekatan kerajaan Perikatan Nasional tentang projek LCS, yang merangkumi tiga kemungkinan:
Yang pertama, melantik syarikat Perancis Naval Group (DCNS), iaitu syarikat usaha sama dan pihak berkuasa reka bentuk LCS, sebagai kontraktor penyelamat dan menggunakan baki siling sahaja untuk mendapatkan sekurang-kurangya dua kapal, atau
Yang kedua, membenarkan BNS untuk teruskan projek ini dengan baki siling, dan sekurang-kurangya dua kapal disiapkan, atau
Yang ketiga, menamatkan projek tersebut dan mencari jalan penyelesaian lain.
Ketiga-tiga cadangan ini langsung tidak menangani masalah-masalah hakiki yang telah saya kemukakan sebentar tadi. Yang pertama sekali, Kementerian telah meletakkan sasaran kapal siap yang terlalu rendah. Sekurang-kurangya dua kapal tidak memadai memandangkan hampir 67% daripada baki siling telah dibayar; bagi saya, sepatutnya dengan nilai ini, kerajaan sepatutnya menerima sekurang-kurangnya empat kapal.
Yang kedua, saya tidak yakin baki siling merupakan nilai yang cukup untuk menyiapkan kapal-kapal selebihnya, biarpun dua buah, mahupun empat buah. Walaupun pendirian YB Menteri adalah berhemah, khasnya memandangkan kegagalan BNS, saya rasa pemikiran yang lebih strategik diperlukan agar nilai kepada TLDM masih terjamin. Hasil yang paling penting di sini ialah TLDM menerima sebanyak mana kapal yang dapat disiapkan.
Yang ketiga, ketiga-tiga cadangan ini turut tidak menangani masalah kehilangan dana RM1 bilion yang telah dibayar terdahulu kepada BNS. Wang ini sangat diperlukan dan seharusnya digunakan untuk tujuan asal; oleh itu adalah sangat penting bagi kerajaan untuk menjalankan audit forensik untuk mengesan dan mengembalikan wang tersebut. Rentetan itu, apa-apa usaha untuk menyelematkan projek ini perlu juga pertimbangkan cadangan untuk menyusun semula tim projek dan bahagian operasi BNS, serta memastikan pihak kerajaan sentiasa memantau kemajuan projek tersebut. Sekali lagi saya perlu tekankan di sini bahawa inilah keputusan terakhir yang dipersetujui oleh Mantan PM Tun Dr Mahathir, Saudara Mat Sabu, dan saya pada 11 Februari yang lalu.
Saya berharap YB Menteri Pertahanan mempertimbangkan cadangan saya untuk memikirkan semula pendekatan Kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini. TLDM sangat memerlukan kapal yang baru agar dapat menjalankan tugas dengan lebih sempurna, terutama sekali dalam keadaan dunia sekarang ini yang semakin tidak menentu.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!