Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Diraja – Bahagian 3, Perolehan Littoral Combat Ship (LCS)

Sebelum saya meneruskan ucapan perbahasan, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Arwah Prebet Abdul Aziz Aznam, seorang anggota lain-lain pangkat Tentera Darat yang baru meninggal pada 6 September yang lalu. Saya berharap Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia akan beri kerjasama penuh dan menegakkan keadilan untuk Arwah. 

Isu perolehan LCS baru-baru ini mendapat perhatian berita apabila Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 berkenaan Aktiviti Kerajaan Persekutuan diterbitkan dalam beberapa minggu lepas. Laporan tersebut telah mendedahkan bahawa kapal pertama LCS daripada enam kapal keseluruhan sudahpun melangkaui kelewatan sebanyak 245 hari pada bulan Disember 2019; walaupun 63.8% daripada harga siling RM1.5 bilion untuk kapal ini telah dibayar, kemajuan yang tercapai ialah hanya 42.7%. Pada asalnya, kapal pertama LCS sewajarnya dilancarkan dengan lengkapnya pada bulan April tahun lepas, dan kapal-kapal lain dalam siri tersebut sepatutnya telah memasuki perkhidmatan setiap enam bulan selepas itu.

Apatah lagi, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 telah menekankan kekurangan aset merupakan salah satu faktor yang telah menghindari TLDM daripada menjalankan tugas perondaan zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan menegakkan keutuhan wilayah negara kita dengan sempurna. Oleh itu, sangat jelas bahawa ada keperluan pada saat ini untuk kita tidak lagi mendiamkan diri dan sebaik-baiknya mencari jalan penyelesaian agar TLDM mendapat kelengkapan yang sewajarnya agar dapat menjalankan tugas demi keselamatan rakyat Malaysia.

Saya perlu tekankan di sini bahawa apa yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara hanya merupakan isu permukaan sahaja; the tip of the iceberg. Sebenarnya, permasalahan program LCS ini lebih mendalam. Pertama sekali, program LCS merupakan satu projek yang didorong oleh vendor (vendor driven). Projek tersebut telah diberi secara rundingan terus kepada syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Sdn Bhd pada tahun 2011, yang seterusnya telah membentuk usaha sama ataupun joint venture antara anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard (BNS) dan syarikat Perancis DCNS. DCNS merupakan pihak berkuasa kepada reka bentuk kapal jenis Gowind. 

Projek-projek vendor driven ini secara amnya telah banyak merugikan Kerajaan dan tidak memenuhi keperluan ATM mengikuti masa, seperti mana kita lihat dengan kelewatan projek LCS itu sendiri. Sewajarnya, kerajaan Perikatan Nasional iktiraf fakta ini dan tidak lagi membenarkan apa-apa perolehan, terutama sekali yang berkaitan dengan keselamatan negara, yang hanya memanfaatkan vendor. 

Permasalahan ini seterusnya telah mendorong kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang. Projek LCS merupakan antara projek pertama yang disiasat oleh jawatankuasa ini. Pada 11 Februari 2020, pasukan Tan Sri Ambrin Buang telah menemui beberapa perkara yang kurang disenangi, dan telah membentangkannya kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

Yang pertama, sebanyak RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang telah dibayar dahulu tidak boleh dikesan. Yang kedua, kebanyakan kelengkapan kapal-kapal LCS ini telahpun menjadi usang dan warantinya sudah luput walaupun belum dipasang. Kenapa belum dipasang? Sebab detailed design (butiran rekaan terperinci) yang diperlukan untuk padankan sistem elektronik kepada badan kapal belum lagi disiapkan oleh BNS. Dan yang ketiga, baki siling sebanyak RM3 bilion dan dana tambahan yang diminta oleh BNS sebanyak RM1.9 billion disyaki tidak cukup untuk menampung kos kesemua kapal, memandangkan kedudukan kewangan BNS yang tidak meyakinkan, terutamanya dengan liabiliti bernilai RM1.758 bilion berdasarkan laporan JKSTUPKK. 

Saya bukannya hendak mempertikai keperluan kapal berkeupayaan LCS; sebaliknya keperluan kapal ini jelas termaktub dalam program pembangunan keupayaan TLDM 15-to-5. Akan tetapi, kemajuan projek perolehan ini perlu diberi perhatian, dan kelemahan dalam sistem perolehan perlu diperbaik agar nilai kepada Rakyat dan TLDM terjamin. 

Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar audit forensik dijalankan untuk mengesan ke mana perginya RM1 bilion ini, dan sebaik-baiknya jumlah ini dikembalikan untuk membiayai kos perolehan kapal-kapal ini. Cadangan ini merupakan syor yang telah diberikan oleh Tan Sri Ambrin Buang dan dipersetejui oleh mantan Menteri Pertahanan, Saudara Mohamad Sabu, serta mantan Perdana Menteri ketika mesyuarat khas berkenaan isu LCS pada 11 Februari yang lalu. 

Pada masa yang sama, adalah sangat penting untuk kerajaan Perikatan Nasional untuk telus dan bertanggungjawab kepada rakyat tentang perkara ini, memandangkan kos projek tersebut bukanlah nilai yang kecil. Sebaik-baiknya, laporan terkini JKSTUPKK berkaitan isu ini sewajarnya didedahkan agar rakyat sendiri dapat menilai pengendalian projek ini oleh kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan Pakatan Harapan telahpun bertindak demikian dengan isu pertukaran tanah sebelum ini; kesemua 16 laporan berkaitan land swap masih boleh dimuat turun daripada laman web Kementerian Pertahanan. 

Pada hemat saya, pendekatan yang diambil oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan hala tuju program LCS ini adalah kurang tepat. Pada 3 Ogos, beliau telah menjelaskan pendekatan kerajaan Perikatan Nasional tentang projek LCS, yang merangkumi tiga kemungkinan:

  1. Yang pertama, melantik syarikat Perancis Naval Group (DCNS), iaitu syarikat usaha sama dan pihak berkuasa reka bentuk LCS, sebagai kontraktor penyelamat dan menggunakan baki siling sahaja untuk mendapatkan sekurang-kurangya dua kapal, atau 
  2. Yang kedua, membenarkan BNS untuk teruskan projek ini dengan baki siling, dan sekurang-kurangya dua kapal disiapkan, atau 
  3. Yang ketiga, menamatkan projek tersebut dan mencari jalan penyelesaian lain.

Ketiga-tiga cadangan ini langsung tidak menangani masalah-masalah hakiki yang telah saya kemukakan sebentar tadi. Yang pertama sekali, Kementerian telah meletakkan sasaran kapal siap yang terlalu rendah. Sekurang-kurangya dua kapal tidak memadai memandangkan hampir 67% daripada baki siling telah dibayar; bagi saya, sepatutnya dengan nilai ini, kerajaan sepatutnya menerima sekurang-kurangnya empat kapal. 

Yang kedua, saya tidak yakin baki siling merupakan nilai yang cukup untuk menyiapkan kapal-kapal selebihnya, biarpun dua buah, mahupun empat buah. Walaupun pendirian YB Menteri adalah berhemah, khasnya memandangkan kegagalan BNS, saya rasa pemikiran yang lebih strategik diperlukan agar nilai kepada TLDM masih terjamin. Hasil yang paling penting di sini ialah TLDM menerima sebanyak mana kapal yang dapat disiapkan. 

Yang ketiga, ketiga-tiga cadangan ini turut tidak menangani masalah kehilangan dana RM1 bilion yang telah dibayar terdahulu kepada BNS. Wang ini sangat diperlukan dan seharusnya digunakan untuk tujuan asal; oleh itu adalah sangat penting bagi kerajaan untuk menjalankan audit forensik untuk mengesan dan mengembalikan wang tersebut. Rentetan itu, apa-apa usaha untuk menyelematkan projek ini perlu juga pertimbangkan cadangan untuk menyusun semula tim projek dan bahagian operasi BNS, serta memastikan pihak kerajaan sentiasa memantau kemajuan projek tersebut. Sekali lagi saya perlu tekankan di sini bahawa inilah keputusan terakhir yang dipersetujui oleh Mantan PM Tun Dr Mahathir, Saudara Mat Sabu, dan saya pada 11 Februari yang lalu. 

Saya berharap YB Menteri Pertahanan mempertimbangkan cadangan saya untuk memikirkan semula pendekatan Kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini. TLDM sangat memerlukan kapal yang baru agar dapat menjalankan tugas dengan lebih sempurna, terutama sekali dalam keadaan dunia sekarang ini yang semakin tidak menentu.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi