
Meningkatkan Peranan MKN Sebagai Penentu Strategi dan Dasar Keselamatan Negara
- 23 September 2020
- Keselamatan

Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020
Cadangan pindaan terhadap akta MKN 2016 berkenaan pengembalian kuasa pengisytiharan kawasan keselamatan kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan langkah semak imbang yang wajar. Pindaan ini merupakan pendirian asal kami pada tahun 2015, ketika mana kami telah tekankan Perdana Menteri tidak sepatutnya diberikan kuasa tunggal untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan. Kerajaan Barisan Nasional terdahulu telah meluluskan Akta MKN tanpa perkenan Diraja, dan ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar.
Seterusnya saya ingin membincangkan peranan sebenar MKN. Dalam perbincangan berkenaan pertahanan dan keselamatan negara, saya berharap kita dapat mengambil pendekatan dwi-partisan yang akan terus berkekalan.
Sejurus dengan itu, saya juga berharap pindaan ini akan menjadi satu landasan untuk menerajui beberapa pembaharuan lain, terutama sekali tugas utama Majlis Keselamatan Negara sebagai bukan sahaja satu sekretariat, tetapi satu badan yang mengartikulasikan dasar dan strategi keselamatan negara, serta menyelaraskan aktiviti badan-badan keselamatan mengikuti strategi ini.
Perkara ini sudahpun menjadi benda yang lazim di negara-negara lain. Di Jepun misalnya, pada tahun 2013, satu National Security Council telah menggantikan Security Council sebelumnya oleh mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe khususnya kerana institusi sebelum itu dianggap tidak berkesan dan cekap, terutama sekali pada ketika suasana keselamatan Jepun menjadi semakin rumit.
Begitu juga di Australia yang telah menubuhkan National Security Committee of Cabinet pada 1996. Badan ini merupakan satu jawatankuasa jemaah menteri yang terdiri bukan sahaja daripada menteri pertahanan dan keselamatan dalam negeri, malah turut melibatkan menteri kewangan Australia juga.
Badan-badan tersebut yang lazimnya bersidang seminggu sekali telah memainkan peranan sangat penting dalam menentukan dasar dan strategi keselamatan negara melalui penerbitan kertas putih pertahanan saban tahun serta aktiviti koordinasi yang lain, seperti penggabungan maklumat perisikan ataupun intelligence fusion. Pada hemat saya, kelaziman yang dizahirkan di Australia dan Jepun berkaitan pengurusan keselamatan negara sewajarnya dijadikan satu panduan kepada negara kita.
Kita dapat menilai sendiri prestasi MKN negara kita dalam perkara ini berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2018, di mana Bab Enam khas menumpukan perhatian kepada pengurusan keselamatan zon maritim negara. Berikut merupakan satu petikan daripada rumusan eksekutif laporan tersebut:
“Secara keseluruhannya, jabatan dan agensi yang dipertanggungjawabkan terhadap aktiviti kawalan keselamatan dan penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia telah melaksanakan peranan masing-masing berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Bagaimanapun, aktiviti ini masih belum mencapai tahap kecekapan yang optimum kerana wujud isu kurang koordinasi di antara jabatan/agensi dalam penguatkuasaan dari segi perkongsian maklumat dan kekurangan aset.”
Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2018, Rumusan Eksekutif.
Pada hemat saya, rumusan ini jelas menunjukkan beberapa isu kritikal. Yang pertama ialah pemahaman terhadap konsep keselamatan negara itu sendiri mungkin terlalu conventional dan tidak dinamik. Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan menunjukkan ketiadaan dasar dan strategi keselamatan negara yang memanfaatkan sepenuhnya kesemua kementerian dan agensi berkaitan berlandaskan satu misi ataupun sasaran bersama. Hal ini menyifatkan badan MKN sebagai reaktif dan bukan proaktif.
Pada zaman sekarang, kita tidak boleh lagi mengehadkan pemahaman keselamatan negara hanya kepada ancaman yang lazim dibincangkan. Penularan wabak COVID-19 merupakan ancaman yang terbesar zaman kita yang telah menjejaskan mata pencarian rakyat dan menimbulkan ketidaktentuan dan keresahan. Kita perlu ambil iktibar daripada krisis ini dan sewajarnya memikirkan konsep keselamatan negara yang dinamik dan menyeluruh.
Sebelum penularan wabak COVID-19, Sidang MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri hanya bersidang sekali setiap tiga bulan. Manakala, Sidang MKN perlu juga membuat keputusan bukan sahaja berkenaan isu-isu pada peringkat dasar dan strategik, malah perlu menyelesaikan masalah pada tahap operasi dan taktikal. Persidangan yang jarang serta kekerapan isu berbangkit pada tahap pelaksanaan telah banyak menimbulkan permasalahan untuk agensi-agensi keselamatan negara kita. Di sini, jelas kita lihat ada keperluan untuk meningkatkan kekerapan Sidang MKN. Perkara ini sudahpun berlaku ketika PKP baru-baru ini, tetapi ianya bersifat reaktif dan bukan proaktif.
Seterusnya, ketiadaan dasar dan strategi keselamatan negara yang kukuh jelas boleh dilihat dengan tiga dokumen strategik negara yang kurang bersinambung, iaitu Kertas Putih Pertahanan yang dipersetujui Parlimen, Kerangka Baru Dasar Luar Negara daripada Kementerian Luar Negeri, dan Dasar Ketenteraman and Keselamatan Awam daripada Kementerian Dalam Negeri.
Daripada ketiga-tiga dokumen ini, hanya Kertas Putih Pertahanan sahaja yang menzahirkan aspirasi Malaysia sebagai satu kuasa tengah ataupun middle power dan menyifatkan negara kita sebagai negara maritim berakar benua – a maritime nation with continental roots. Ketidaksinambungan dokumen-dokumen ini dalam mentakrifkan Malaysia sebagai negara maritim telah menghindari penjalinan kerjasama kukuh dalam pengurusan keselamatan maritim negara.
Selain itu, hanya Kertas Putih Pertahanan sahaja yang telah mengklasifikasikan ancaman kepada Malaysia mengikut keutamaan dan kepentingan, serta mencadangkan hala tuju dan usaha secara menyeluruh untuk menangani cabaran-cabaran ini. Antara anasir utama yang telah ditekankan dalam KPP ialah persaingan kuasa besar di Laut China Selatan, kegiatan siber elektromagnetik, penggunaan meluas Chemical, Biological, Radiological, and Nuclear Explosives (CBRNE), dan aktiviti lanun dan penyeludupan di kawasan perairan Malaysia misalnya Laut Sulu dan Selat Melaka. Maka, sangat jelas di sini bahawa ada keperluan untuk menyelaraskan dokumen-dokumen ini pada peringkat MKN agar setiap ancaman ini diberi tumpuan yang sewajarnya.
Khususnya, persaingan kuasa besar yang sedang berlaku di depan rumah kita, Laut China Selatan, tidak boleh dipandang ringan. Satu dunia sedang menumpukan perhatian kepada Laut China Selatan dan kita perlu memastikan negara kita dapat menyahut cabaran ini dengan respons yang bersepadu dan tepat. Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, serta agensi lain yang berkaitan perlu berganding bahu di bawah seliaan MKN dalam menjayakan usaha ini.
Sekali lagi, saya ingin menekankan kepentingan fungsi MKN sebagai penyelaras dasar dan strategi keselamatan dipertingkatkan. Saya berpendapat bahawa ada keperluan di sini untuk melantik seorang Penasihat Keselamatan Negara yang setaraf ahli jemaah menteri yang khas menumpukan perhatian kepada isu-isu keselamatan negara secara menyeluruh. Sebagai alternatif, seorang menteri lain boleh juga dipertanggungjawabkan untuk memainkan peranan ini.
Penasihat tersebut akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan satu dasar dan strategi keselamatan negara dikeluarkan, serta menyelaraskan dasar-dasar lain untuk menyokong strategi keselamatan tersebut. Penyelarasan ini sangat diperlukan agar peranan yang dimainkan oleh setiap agensi mendapat bukan sahaja pengiktirafan malah sumber yang setimpal. Selain itu, ia akan mengurangkan pertindihan tugasan dan tanggungjawab, sekaligus memperkemas senarai tugasan setiap badan keselamatan dan penguatkuasaan.
Berikutan cadangan ini, diharapkan bahawa wacana keselamatan negara kita akan menjadi lebih mendalam dan meluas daripada kebiasaan sekarang. Memandangkan keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kembangkan pandangan kita lebih daripada pemahaman terhad kita sekarang.
Ucapan ini telah disampaikan oleh Liew Chin Tong di Dewan Negara pada 23 September 2020.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!