Pasca Wawasan 2020: Membina Semula Gagasan Baharu Politik Malaysia

Dalam ucapan kepada Majlis Perniagaan Malaysia pada 28 Februari 1991, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mempersembahkan gagasan Wawasan 2020 kepada negara; dan dengannya, cabaran Bangsa Malaysia.

Tiga dekad telah berlalu. Tahun 2020 telah datang dan pergi, meninggalkan rasa kecewa yang mendalam kepada masyarakat. Rasa tidak endah dan putus asa pun menular, ditambah dengan rasa hilang punca dan kesedihan yang dicetuskan oleh wabak Covid-19.

Pada saat yang sangat sukar ini, Malaysia tercongok tanpa idea yang jelas tentang cita-citanya, apa yang ingin dicapai, dan di mana tempatnya di persada dunia. Keutamaan paling penting dalam kepimpinan negara pada ketika ini adalah tentang usaha membina naratif masyarakat yang memberi inspirasi dan progresif di mana suatu gagasan politik yang adil, stabil dan inklusif dapat dibangun; selain perihal usaha memperjelas peranan positif negara dalam aturan dunia global. 

Satu set idea yang sesuai dengan kepelbagaian budaya negara dan menyuntikkan dinamisme baharu ke dalam ekonominya yang berorientasi global pada dekad akan datang amat-amat diperlukan.

Kita sudah lama menantikan penyusunan semula sosio-politik dan sosio-ekonomi. Gagasan Wawasan 2020/Bangsa Malaysia telah digagalkan sepenuhnya pada tahun 2005 apabila Umno beralih ke kanan dan kemudiannya terjerumus ke dalam lembah korupsi. Untuk sekurang-kurangnya 15 tahun, Malaysia telah berlayar tanpa sebarang pandu arah. Usaha Pakatan Harapan untuk mencari haluan baharu dengan mudah dikalahkan dalam tempoh dua tahun sahaja, menjadikan “bahtera” negara hilang punca di tengah-tengah ribut Covid-19.

Khoo Boo Teik, seorang cendekiawan dalam sebuah makalah yang ditulisnya tahun lalu untuk ISEAS – Institut Yusof Ishak, telah membuat pemerhatian tajam mengenai dua kompas “gagasan politik” yang telah mengatur dan membimbing masyarakat Malaysia selama setengah abad. Kedua-duanya adalah Dasar Ekonomi Baru (1971) dan Wawasan 2020 (1991). Namun, sudut pandang yang lebih luas menunjukkan dua tempoh lain di luar “gagasan politik” ini. Justeru itu, sejarah Malaysia dapat digambarkan seperti berikut: 

  • Gagasan pasca-kolonial sejak Kemerdekaan pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 sehingga rusuhan 1969;
  • Gagasan Dasar Ekonomi Baru, dari tahun 1969 hingga 1990;
  • Waktu awal Wawasan 2020, dari 1991 hingga 2005 ketika Barisan Nasional meninggalkan jalan tengah untuk menjadi sebuah gabungan sayap kanan;
  • Era Tersasar, yang berlanjutan dari 2005 hingga ke hari ini, di mana gabungan besar UMNO terus menyusut, berkesudahan dengan kemenangan Pakatan Harapan pada Mei 2018 dan Langkah Sheraton yang menewaskannya pada Februari 2020.   

Pada tahun-tahun selepas Merdeka, Tanah Melayu secara beransur-ansur telah mengurangkan kebergantungannya kepada birokrat British dan angkatan tentera Komanwel. Dengan bertindak demikian, ia mengembangkan idea-idea pasca-kolonial mengenai pembangunan negara yang amat diperlukan, bersesuaian dengan keadaan negara yang caca marba. Model ekonomi laissez faire (kebebasan pasaran) digunakan, dengan bergantung kepada eksport komoditi kepada Great Britain, Eropah dan Amerika Syarikat; dan yang lebih penting, sebahagian besar pemilikan modal adalah oleh negara asing. Model politiknya adalah konsosiasionalisme di mana kumpulan etnik utama di negara ini dianggap mampu mentadbir melalui kerjasama antara parti berasaskan etnik yang bekerja dalam suatu gabungan. Ini berterusan sehingga rusuhan kaum pada tahun 1969.

“Gagasan politik” yang menyusul adalah berdasarkan kerangka politik, ekonomi dan keselamatan/dasar luar yang saling berkait rapat. Dasar Ekonomi Baru yang dikemukakan oleh Tun Abdul Razak selepas krisis 13 Mei mendorong Malaysia menjauhkan diri daripada sikap pro-Barat ke kedudukan lebih berkecuali, yang seterusnya membuka jalan bagi Malaysia untuk menjalin hubungan dua hala dengan China pada tahun 1974. Pembentukan hubungan dua hala dengan China berjaya memberikan Barisan Nasional sokongan pengundi jalan tengah kaum Cina pada pilihan raya 1974, walaupun aspek DEB yang lebih agresif menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pengundi bukan Melayu pada umumnya. Ekonomi Malaysia menjadi kurang bergantung kepada modal Britain dan semakin bergantung pada industri pembuatan yang disumberluarkan dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Taiwan. Lebih penting, keperluan bagi perniagaan etnik Cina tempatan untuk menyediakan peluang pekerjaan semakin berkurang dan justeru mengurangi suara yang diberikan kepada parti “ahli perniagaan”, MCA. UMNO semakin kuat mendominasi rakan sekutunya, dan dari pertengahan tahun 1970-an dan seterusnya wang petroleum membolehkan kerajaan Malaysia menggunakan kaedah pentadbiran yang lebih autoritarian. ‘Sumpahan sumber daya’ (resource curse) yang agak ringan turut menghinggapi negara: semakin banyak dolar petrol di negara ini, semakin berkurang keperluannya untuk mengutip cukai, dan semakin sedikit persetujuan awam diperlukan; justeru mendorong kerajaan untuk menggunakan lebih banyak kaedah kawalan yang lebih menekan. Menerima manfaat daripada wang petroleum; rasuah, ketidakcekapan dan autoritarianisme direlakan oleh rakyat; mereka juga tidak merasa perlu melawan.

Ketika ekonomi nasional merosot pada tahun 1985, pasukan ekonomi Mahathir-Daim Zainuddin membuka ekonomi kepada pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik dengan melonggarkan dasar DEB. Inovasi ekonomi yang ketara, seperti penswastaan, banyak dipengaruhi oleh revolusi neoliberal Ronald Reagan dan Margaret Thatcher yang ketika itu sedang berlangsung di pentas global. Diterjemahkan ke dalam konteks Malaysia, intipati daripada pemikiran itu adalah, selagi anda mempunyai wang, anda boleh membeli hak budaya. Oleh itu, di saat mahasiswa bukan Melayu pada tahun 1970-an mengadu mengenai kuota universiti yang mempengaruhi peluang pendidikan mereka, adik-adik mereka pada tahun 1990-an kini berpeluang membayar untuk mendapat pendidikan secara swasta. Akses kepada budaya ‘pengguna-membayar’ inilah yang mendekatkan orang bukan Melayu kepada parti Mahathir pada pilihan raya 1995.

Semasa itu Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia berjalan lancar. Sebagai contoh, tidak seperti pada tahun 1980-an, tahun 1990-an menyaksikan kerajaan Malaysia memberi tumpuan ke luar, yang membolehkannya meremehkan antagonisme dalaman antara kaum. Mahathir begitu bijak sekali memilih untuk menyerang Amerika, British, Australia, Yahudi dan tentu saja Singapura, tetapi jarang sekali beliau menyorot pertembungan dalam negara. Malaysia bahkan berani membantu masyarakat Bosnia semasa perpecahan Yugoslavia, dan berkeyakinan untuk memainkan peranan pemimpin dunia membangun dan dunia Islam.   

Krisis Kewangan Asia yang bermula pada tahun 1997 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 merosakkan reputasi Malaysia di persada antarabangsa dan mencemarkan kepimpinan Mahathir. Lebih penting, ia menjadikan Malaysia kembali memencilkan diri.

Mahathir kini harus menghadapi generasi pengundi muda Melayu yang memberontak menentangnya. Malah ia sebenarnya penerimaan masyarakat umum terhadap Wawasan 2020/Bangsa Malaysia lah yang membantunya kekal bertahan dalam pilihan raya 1999. Pengganti Mahathir, Abdullah Badawi cuba mendapatkan sokongan golongan jalan tengah pada pilihan raya 2004 dengan begitu cemerlang. Tetapi mungkin kerana sebab itu lah beliau tidak dapat menahan serangan dari sayap kanan UMNO pada tahun 2005. Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan ketua pemuda UMNO, memilih untuk menghunuskan keris di perhimpunan agung UMNO, dan justeru menghancurkan gabungan Wawasan 2020/Bangsa Malaysia yang telah diusahakan UMNO bersama mayarakat.

Di sinilah bermulanya pengakhiran “gagasan politik” kedua yang disebut oleh Khoo Boo Teik.

Tempoh 15 tahun sejak 2005 bertumpu kepada persaingan dalaman Umno antara sayap kanan dan sekumpulan pegawai korup dan tidak cekap yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak. Umno terperangkap dalam kedudukan yang sakit ini. Jarum jam tidak dapat dipusingkan ke belakang, dan jalan tengah tidak dapat bertahan lama.

Kekuatan rakyat yang diperlihatkan sepenuhnya dengan demonstrasi Bersih pada tahun 2007 dan kegagalan politik Umno pada pilihan raya 2008, adalah pada mulanya merupakan reaksi kepada peralihan parti itu ke sayap kanan. Tetapi penentangan itu dengan cepat menjadi kukuh dan menjadi kekuatan berterusan yang ternyata mempunyai stamina berkekalan sehingga ia menyaksikan Umno mereput dan rebah pada tahun 2018. Malah sebenarnya, tanda-tanda Umno begitu teruk mereput sudah sangat jelas pada tahun 2013.

Yang di atas hanyalah lakaran beberapa dekad yang lalu. Titik-titik antara politik, ekonomi dan dasar keselamatan/luar negeri perlu dihubungkan untuk pemahaman yang lebih baik mengenai pergulatan kuasa yang sedang berlaku.

2020 adalah tahun penting. Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH dipromosikan dengan idea bahawa kerajaan perpaduan Melayu dapat dibentuk dengan kononnya mengasingkan DAP dan orang bukan Melayu sebagai musuh. Idea terdesak kekuasaan Melayu segera ditolak apabila persaingan antara Umno dan Bersatu semakin memuncak berikutan Sheraton Move. Perbezaan ‘dua darjat’ antara mereka yang mempunyai hubungan dengan orang politik berbanding dan orang kebanyakan adalah jurang yang sebenar sekarang, bukan antara orang Melayu dengan orang bukan-Melayu. 

Keperluan untuk gabungan faktor-faktor baharu yang dapat memberikan pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan percambahan budaya kepada Malaysia menjadi semakin penting ekoran krisis kesihatan Covid-19 dan krisis ekonomi yang berlarutan.

Beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan termasuklah yang berikut:

Pertama, IDENTITI: Tanpa mengekang politik identiti, tidak ada suatu penyusunan baharu yang dapat bertahan lama. Pelajaran yang diperoleh daripada beberapa dekad terakhir telah membuktikannya. Tetapi untuk menangani identiti, kita memerlukan pemikiran baru dan radikal.

Kedua, MEMBANGUN DEMOKRASI: Rakyat Malaysia mesti menerima bahawa populasinya mempunyai banyak perbezaan. Kepelbagaian budaya adalah sememangnya diharapkan daripada masyarakat ini. Malaysia merupakan sebuah demokrasi 50:50, jika kita menyorot pilihan raya umum yang diadakan sejak tahun 2008. Inilah norma baharu, dan adalah lebih baik jika rakyat Malaysia menyedari bahawa ia dapat menikmati pentadbiran yang lebih baik melalui pembinaan gabungan yang lebih bertenaga antara parti-parti yang mempunyai kekuatan serupa.

Ketiga, MEMBANGUN PERTUMBUHAN INKLUSIF: Malaysia perlu membina suatu kitaran yang membayar gaji yang lebih tinggi, kualiti yang lebih tinggi, teknologi tinggi dan produktiviti yang lebih tinggi. Hanya jika ini dapat dicapai, pertumbuhan yang adil dan dinamik dapat berlaku.

Keempat, PEMIKIRAN BAHARU TENTANG KESELAMATAN: Membincangkan masalah keselamatan secara bersama antara pihak keselamatan tradisional seperti polis, angkatan tentera dan pihak berkuasa penjara, bersama badan kesihatan serta para pakar dan perancang bandar, demi menyokong sosio-politik dan kerangka sosio-ekonomi yang progresif, memberi peluang terbaik untuk membangun pemikiran keselamatan yang terkini, berkesan dan holistik. Pemikiran sedemikian menyumbang kepada lahirnya rasa kekitaan nasional dan definisi kebangsaan yang lebih jelas.

Kelima, KEDUDUKAN MALAYSIA DI PENTAS DUNIA: Ketika dunia menjadi begitu berbilang kutub, negara-negara kecil yang berpotensi besar dan mempunyai pengaruh global akan cuba untuk mencapai status kuasa pertengahan. Regionalisasi pada peringkat global akan terjadi serentak dengan regionalisasi kepentingan nasional juga. Bagi mendapat manfaat sepenuhnya daripada senario yang muncul ini, Malaysia perlu menampilkan keunikan budaya, kehebatan ekonominya dan kekuatan serantaunya dengan lebih berkesan, bersekali dengan pandangan jangka panjang mengenai kepentingan globalnya.

Malaysia akan menghadapi pelbagai cabaran pada tahun-tahun akan datang. Unjuran politik dalam negeri tidak boleh berbeza dengan peranannya di peringkat dunia. Lagipun, ekonominya telah selalu bergantung kepada pasaran global, dan kepelbagaian budaya serta reputasinya yang mengaman memungkinkan peranan-peranan penting diterapkan di pentas global.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi